ANAK
JATI....Hamid Hassan, anak jati Tawau
merupakan pesara Yayasan Sabah. Hamid menyertai politik pada tahun 1987 sebagai
Ketua Cawangan Parti Bersatu Sabah di Tanjung Batu Laut Tawau. Hamid dilantik
sebagai Ketua Kampung Tanjung Batu Laut pada tahun 1990. Pada tahun 1995, Hamid
menyertai UMNO dan menjadi Ketua Cawangan Tanjung Batu Laut.
SEDUTAN BUKU IC PROJEK-Agenda Tersembunyi Mahathir?
HAMID @ ZAINI HASSAN, merupakan
pejuang ulung yang tidak jemu-jemu menulis surat kepada Perdana Menteri,
Menteri Dalam Negeri, Timbalan Perdana Menteri, Ketua Menteri, Ketua Polis
Negara, Pesuruhjaya Polis Sabah dan Ketua Komponen Parti Barisan Nasional
menyuarakan kebimbangan dan teguran yang bernas berhubung isu kerakyatan songsang.
Sebagai Lelaki Sejati,
walaupun diugut, diherdik, dicaci, dicerca dan disoal siasat bagaikan penjenayah,
namun Hamid bersemangat waja dan berjiwa perwira. Tidak takut oleh ugutan dan
tidak gentar oleh tekanan pihak berkuasa.
Kesan daripada tekanan
mental dan paksaan fizikal, Hamid lumpuh selama lebih 3 tahun akibat serangan
darah tinggi, kencing manis, gout dan lemah jantung. Kini dengan penuh semangat
membara Hamid kembali memperjuangkan isu petualangan sindiket kad pengenalan
projek setelah mampu berjalan kembali. Wawancara ini menyerlahkan segala-galanya.
Mutalib:
Alhamdulillah saudara sudah beransur sembuh. Semangat saudara cukup kuat.
Apakah saudara masih bersemangat untuk meneruskan perjuangan yang tergendala
kerana uzur?
HAMID: Syukur Alhamdulillah
di atas doa saudara dan seluruh rakyat Malaysia. Saya sudah beransur pulih
setelah mendapat ujian Illahi selama hampir 3 tahun. Ikhtiar saya berhasil.
Semangat saya tidak patah sekalipun saya telah meninggal dunia kerana roh dan
perjuangan saya sudah sebati. Tuhan hanya beri saya CUTI PANJANG daripada
menulis, tetapi fikiran dan jiwa saya terus membara memperjuangkan isu PATI
tanpa jemu.
TIDAK ADA yang dapat menghalang
saya. Saya yakin dan percaya perjuangan yang ikhlas dan menjulang kebenaran
akan menang sekalipun menghadapi pelbagai rintangan dan dugaan. Kalau boleh
saya ingin TUTUP MATA (mati) setelah PATI sifar!
Mutalib:
Apakah mereka (Polis) masih ganggu saudara sekalipun dalam keadaan uzur?
HAMID: Ya. Mereka tetap
mendesak saya datang ke Balai Polis atau Penjara Air Panas untuk mengambil
kenyataan, tetapi saya bertegas mengatakan bahawa saya uzur dan bersedia
disoalsiasat di rumah kerana saya tidak dapat berjalan dan terasa lemah sekali.
Ada juga yang datang ke rumah dan ada juga yang berdegil menyuruh saya ke
Balai. Tetapi saya tidak endahkan mereka. Syukurlah ini baru boleh bangun. Tiga
bulan lalu angkat kakipun tak boleh.
Mutalib:
Kenapa saudara tidak berhenti sahaja daripada mengkritik kerajaan dan
berehatlah kerana kesihatan tidak mengizinkan?
HAMID: Ini hanya ujian Tuhan
dan tidak lebih daripada itu. Kalau saya patah semangat kerana diuji dengan
keuzuran, maka saya adalah manusia yang tewas sebelum berjuang. Saya bukan menentang
kerajaan. Saya menyuarakan hak saya yang dijamin di dalam Perlembagaan
Persekutuan. Saya sanggup tinggalkan Parti Bersatu Sabah (PBS) ketika itu sudah
menjadi Pembangkang dan menyertai UMNO semata-mata mahu memperjuangkan isu ini
daripada dalam kerana PBS ternyata gagal merobohkan ’tembok’ yang membenteng
mereka dengan ’telinga kuali’ Kerajaan Persekutuan.
KUNJUNGAN...
Menerima Kunjungan Pengerusi Yayasan Pembangunan Insan, Datuk Dr Jeffrey
Kitingan yang menghadiahkan buku IC PROJEK kepada Hamid yang tidak jemu-jemu
menulis surat aduan kepadanya berhubung PATI.
Mutalib:
Tetapi bukankah saudara tidak juga berhasil dan gagal menyuarakan isu ini
daripada dalam kerana Kerajaan mempunyai agenda mereka sendiri?
HAMID: Bukan gagal, tetapi belum
berjaya kerana terpaksa merempuh banyak rintangan terutama menghadapi pegawai
polis yang agak kasar dan kurang ajar dan tidak menghormati warganegara asal
kerana mereka mendapat habuan daripada warganegara ASPAL (Asli tetapi Palsu).
Kad Pengenalan mereka memang Asli tetapi Orang atau pemiliknya palsu. Kita kena
terus berusaha tanpa jemu atau putus asa.
Mutalib:
Berbalik kepada isu warganegara ASPAL yang saudara nyatakan tadi, bagaimana
senario terkini?
HAMID: Rakyat Malaysia di Sabah
sangat bimbang kerana kebanyakan PATI telah berjaya memiliki kad pengenalan
biru atau KPT Malaysia dan kini Mykad. Kebanjiran PATI pada masa sekarang juga
sangat membimbangkan.
Walaupun Kerajaan Pusat melalui
Pasukan Petugas Khas Persekutuan (S/L) sedang mengatasinya namun kegiatan
sindiket memberi kad pengenalan ASPAL kepada PATI masih berleluasa di negeri
Sabah khasnya di Tawau sehingga sukar bagai kerajaan membanterasnya kerana
terlalu banyak karenah birokrasi sehingga wang menjadi perantaraan dan
pertukaran dengan kad pengenalan yang amat berharga terutama projek Lepa-Lepa
di Semporna, Sabah.
Kita sedar Kerajaan hanya
bertindak tegas kepada PATI yang memiliki IC atau Kad Pengenalan PALSU kerana
ramai telah disumbat ke penjara setelah didapati bersalah di mahkamah.
Namun belum pernah kita
dengar mereka mengambil tindakan terhadap warganegara ASPAL yang mudah diternak
menjadi pengundi hantu dan kini merupakan kumpulan pendesak di dalam UMNO.
Sebagai Ketua cawangan UMNO
Tanjung Pukat, saya menyedari hakikat ini memang agar sukar dibasmi kerana
mereka rupa-rupanya dilindungi oleh pemimpin UMNO yang beragenda atau menempah
keranda politik mereka!.
Di sana sini kedengaran
rakyat mengeluh bahawa PATI mendapat permit pengangkutan awam, lesen berniaga,
kebun dan sebagainya. Lebih menjengkelkan ramai PATI yang memegang jawatan
dalam politik dan kerajaan.
Pada mulanya saya
menyalahkan pegawai di jabatan kerajaan, tetapi setelah mengetahui bahawa JPN
Malaysia telah mengesahkan kad pengenalan mereka, maka saya tidak jemu-jemu
untuk membuat aduan kepada Kementerian Dalam Negeri Malaysia.
Mutalib:
Kenapa saudara terlalu mengambil berat soal isu ini sedangkan saudara tinggal
di kawasan hitam yang dikelilingi oleh PATI yang memperoleh kewarganegaraan
ASPAL ini?
HAMID: Saya mengambil berat
perkara ini kerana memikirkan masa depan anak cucu saya. Saya tidak mahu
dipersalahkan oleh generasi akan datang. Dahulu sebagai Ketua Kampung, saya diibaratkan
sebagai mata dan telinga kerajaan. Saya telah menjalankan tugas dengan penuh
amanah membuat aduan mengenai isu ini, namun semua aduan yang saya buat belum
berhasil.
Dengan itu saya telah
memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Kampung sebulan notis. Bagaimanapun
kerajaan Negeri Sabah mempunyai kuasa untuk menamatkan perkhidmatan saya
sebagai Ketua Kampung pada bila-bila masa. Saya meletakkan jawatan bukan kerana
menolak dasar kerajaan tetapi tidak berpuas hati terhadap JPN Malaysia. Pada
mulanya Wakil Rakyat enggan menerima perletakan jawatan saya, namun saya terus
menerus mengkritik beliau sehingga dipecat SERTA MERTA!
Kini saya berjuang atas tiket
UMNO iaitu sebagai Ketua Cawangan UMNO Tanjung Pukat setelah ahli cawangan saya
enggan menerima perletakan jawatan saya.
Mutalib:
Berapa ramai penduduk @ pengundi Tanjung Pukat dan bagaimana status mereka?
HAMID: Rakyat tempatan 900
orang dan PATI 6,000 orang. Saya tak tahu nak cakap apa. Saudara fikirlah
sendiri nasib saya dan orang tempatan jika berlaku sesuatu kepada kami di sini!
Mutalib:
Mungkin saudara tidak mempunyai bukti yang kukuh dan kerana itu tidak hairan
jika aduan saudara tidak diterima atau dipandang enteng oleh pemimpin negara?
HAMID: Penjelasan dan
bukti-bukti yang telah saya berikan kepada mereka adalah cukup jelas yang
membabitkan PATI yang telah berjaya miliki kad pengenalan Malaysia.
Namun jika kad pengenalan
warga ASPAL ini dirujuk kepada JPN Malaysia, pasti jawapannya mereka ini telah
memperoleh kad pengenalan dengan cara yang betul dan berdasarkan Perlembagaan
Malaysia kerana nama dan nombor kad pengenalan mereka telah dimasukkan ke dalam
buku atau komputer oleh kakitangan JPN Malaysia yang tidak bertanggung jawab.
Yang sebenarnya semua rakyat
Malaysia di Sabah terutama kakitangan kerajaan mengetahui perkara ini dan tidak
berpuas hati terhadap JPN Malaysia tetapi takut untuk menyuarakannya.
Saya akui bahawa bangsa
Bugis adalah warganegara Malaysia. Seperti di Johor terdapat bangsa Bugis yang
sangat ramai. Tetapi mereka (Bugis) di Johor adalah lahir di Malaysia atau berada
di Malaysia sebelum merdeka.
Tetapi di negeri Sabah
kebanyakan mereka (Bugis) datang ke Sabah semasa kerajaan BERJAYA hinggalah
sekarang. Kerana bangsa Bugis sangat ramai di Merotai, mungkin salah satu sebab
pemilihan Dr Pataware Patawi sebagai Adun UMNO di Merotai.
Mutalib:
Kelihatan pada saya seolah-olah saudara tidak menyukai Dr Patawari atas
sebab-sebab tertentu? Apakah warga UMNO Tawau juga tidak menyukai beliau?
HAMID: Pemilihan Dr Pataware
Patawe sebagai calon UMNO/BN di Merotai ketika itu telah mengguris perasaan
bumiputera di Merotai. Kebanyakan berpendapat tiada lagikah bumiputera yang
boleh diketengahkan sebagai calon di Merotai?. Dr Pataware Patawe yang
dilahirkan di Indonesia memang benar mengikut saluran untuk mendapatkan kad
pengenalan (warganegara).
Tetapi Kerajaan BN sewajarnya
mengutamakan bumiputera tempatan. Kalau di dalam Islam ada perbezaan di antara
anak angkat dan anak rahsia. Anak angkat tidak dapat harta pusaka. Apakah
KELEBIHAN Dr Pataware Patawe?
Ahli UMNO/BN di Merotai
marah kerana susah berjumpa dengan Adun Merotai. Kata mereka kalau Dr Pataware
Patawe datang pagi ke Tawau, pulang ke Kota Kinabalu petang. Kalaupun bermalam
tidur di hotel. Dr Pataware Patawe tidak mempunyai rumah di Tawau.
Semasa pilihanraya umum negeri
Sabah lalu, Dr Pataware terpaksa menyewa rumah berhampiran Hospital Besar
Tawau. Memang benar Dr Pataware mempunyai dua buah rumah tetapi di Kota
Kinabalu iaitu untuk isteri pertama dan isteri kedua.
Kami di Merotai sudah jemu
mendengar cerita bahawa isteri Dr Pataware Patawe pertama (Kadazan) berkeluarga
dengan isteri YAB Datuk Seri Panglima Osu Haji Sukam dan isteri Kedua (Bajau)
Dr Pataware Patawe berkeluarga dengan
Osu Haji Sukam.
Memang amat memalukan apabila
Dr Pataware telah melantik Palurui Hassan sebagai Pengerusi JKKK Tanjung Batu
Laut sedangkan Palurui adalah PATI Indonesia yang telah mengaku lahir di Sabah.
Palurui telah menceroboh tanah kerajaan (Hutan Simpan Kelas Satu Bukit Kukusan)
untuk membina kilang papan (Syarikat Ratna Bersaudara).
Mutalib:
Pada pandangan saudara wajarkah warga ASPAL ini diberi peranan dalam parti
kerana Kerajaan BN telah menerima mereka secara sah?
HAMID: Masa depan politik
Sabah biarlah ditentukan sendiri oleh rakyat Malaysia. Kalau selama ini hak
rakyat Malaysia di Sabah telah dirampas oleh PATI Indonesia dan Filipina, tapi
sekarang ditambah lagi oleh satu negara iaitu Pakistan.
Negeri Sabah adalah tanah
tempat tumpah darah kami. Tembuni kami ditanam di bumi negeri Sabah. Kami
sekarang hidup dalam ketakutan di negeri sendiri.
TERLEPAS…Walaupun
PATI yang dituduh membunuh Datuk Norjan Khan Bahadar terlepas atas masalah
teknikal, namun membuktikan IC Projek yang dimiliki tertuduh membolehkannya
bekerja dan membahayakan nyawa orang
lain. PATI tersebut menetap di Tawau.
Kebanyakan kes jenayah serius
dilakukan oleh PATI dan kebanyakan anak mereka berkeliaran di bandar Tawau
meminta sedekah, menghidu gam dan sebagainya. Apakah pandangan para pelancong
luar negara terhadap perkara ini?
Mutalib:
Wakil rakyat saudara menganggap dakwaan saudara tidak berasas dan palsu kerana
cemburu dengan kejayaan pihak yang didakwa sebagai warga ASPAL? Apakah jaminan
yang saudara boleh berikan?
HAMID: Mungkin saluran yang
saya gunakan selama ini salah. Patutkah saya ketika itu selaku Ketua Kampung
yang diibaratkan sebagai mata dan telinga kerajaan berdiam diri? Sekali lagi
saya merayu pihak berkuasa agar menyiasat semua aduan yang telah saya berikan
selama ini, terutama Jabatan Pendaftaran Negara kerana mencabar kewibawaan
mereka.
Saya bersumpah dengan nama
Allah, sekiranya aduan saya didapati semua tidak benar, saya bukan sahaja
sanggup di penjara tetapi sanggup di hukum mati.
Mutalib:
Pada pandangan saudara kenapa PATI suka datang ke Sabah dan memilih Tawau
sebagai destinasi mereka?
HAMID: Pendatang tanpa izin
suka datang ke Tawau kerana peluang pekerjaan yang banyak mempunyai ramai
keluarga yang telah berjaya memiliki kad pengenalan ASPAL yang mengaku lahir di
Sabah.
Mereka inilah yang menjadi
pelindung kepada PATI dan tidak hairan jika ada sebarang operasi hanya beberapa
orang yang ditangkap. Jika ada ahli UMNO yang ditangkap, akan dibebaskan juga
setelah campurtangan politik sekalipun ahli berkenaan tidak memiliki sebarang
dokumen kerana dokumen yang mereka gunakan semasa menjadi ahli dahulu adalah
palsu.
MATI.....Surat
Akuan Berkanun Hamid yang mengesahkan bahawa kenyataannya adalah benar dan
sanggup di penjara atau di HUKUM MATI jika tidak benar!
Mutalib:
Apakah cadangan saudara bagi mengatasi masalah ini?
HAMID: Cadangan saya, setiap
PATI yang ditangkap dan di bawa ke penampungan atau memiliki salinan kad ASPAL,
mestilah memberitahu siapa yang membuat kad pengenalan mereka. Sekiranya nama
seseorang kerap disebut, pihak berkuasa patut menyiasat/memerhati gerak geri
penama tersebut.
Beberapa tahun lalu (semasa
kerajaan BERJAYA) saya pernah ditanya oleh masyarakat kampung (rakyat asing) mengenai kad
pengenalan yang mereka miliki.
Saya tanya adakah kamu buat
kad pengenalan di Pejabat Pendaftaran Negara Tawau? Mereka kata tidak, tetapi
dibuat di rumah pengurus.
Antara nama yang masih saya
ingat mereka sebut ialah Samsul Alang Hamsah (bekas tanahan ISA) dan
Allahyarham Dullah Suing.
Sementara dalam kerajaan PBS
nama yang sering mereka sebut ialah Andy Bandy Pilo (bekas tahanan ISA),
Persatuan Kebangsaan Bugis Bersatu (PKBS) dan sebagainya.
Betapa malunya saya sekarang
kerana kad pengenalan ASPAL ini telah berjaya ditukar kepada Mykad.
Rakyat Pakistan pula yang
menjual kain dan jika saya tanya di mana kamu dapat kad pengenalan, mereka kata
Datuk Harris yang beri.
Ada juga PATI yang
memperoleh kad pengenalan ASPAL ini memohon Sijil Kelahiran Daftar Lewat dengan
cara memalsukan keterangan diri dengan kerjasama Pegawai JPN, Ketua Kampung dan
Ketua Anak Negeri yang rasuah dan pecah amanah.
Mutalib:
Adakah bukti lain atau asas kukuh untuk membuktikan dakwaan saudara?
HAMID: Sejak Dato’ Seri Megat
Junid Megat Ayob menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia lagi sehinggalah
sekarang, banyak bukti telah saya berikan. JPN mengesahkan kad pengenalan
seseorang hanya berpandukan nama dan nombor kad pengenalan seseorang ada
tercatat di dalam buku atau komputer yang dimasukkan oleh kakitangan JPN yang
tidak bertanggung jawab.
Manakala saya sebagai Ketua
kampung yang diibaratkan sebagai mata dan telinga kerajaan mengesahkan mereka
rakyat asing berpandukan seperti berikut;
a) Saya mempunyai rekod
banci penduduk. Pertama mereka sampai menggunakan pasport atau masuk secara
haram.
b) Di dalam Sijil Kelahiran
anak-anak mereka ada tercatat nombor pasport ibu bapa.
c) Mereka selalu balik
kampung (Indonesia/Filipina) begitu juga keluarga mereka (pendatang tanpa izin)
masuk secara haram ke negeri Sabah. Tidak berapa lama, mereka juga mendapat kad
pengenalan ASPAL.
d) Mereka sendiri bercerita
bahawa di kampung mereka (Indonesia) mereka mempunyai rumah dan kebun.
e) Kita sebagai anak jati
Malaysia mempunyai tanda di lengan (suntikan cacar berbentuk bulat) walaupun
tidak semua yang jadi. Manakala mereka (rakyat asing Indonesia) juga mempunyai
tanda di lengan berbentuk bergaris panjang.
f) Mereka rakyat asing
(Indonesia) selalu bertanya kepada saya ini malam ada polis checkingkah? Saya
kata saya tidak tahu. Mereka pandai berkata, polis mesti melalui Ketua Kampung
jika mahu checking. Saya kata tidak. Polis mempunyai kuasa pada bila-bila masa
membuat checking tanpa memberitahu Ketua Kampung. Sekiranya mereka benar-benar
lahir di Malaysia kenapa mereka patut takut jika polis membuat checking dari
rumah ke rumah.
g) Dalam perbualan harian
mereka sendiri berkata, kami datang hanya untuk cari makan Pak. Orang kasi IC
kami ambil. Lalu saya tanya kamu buat di Pejabat Pendaftarankah? Tidak Pak, di
rumah Pengurus.
h) Mereka memberitahu pembayarannya
RM350 dan sekarang saya dengar sehingga RM1,200. Pengeluaran kad pengenalan
kepada rakyat asing bermula sejak kerajaan BERJAYA.
i) Kalau di Tawau, nama-nama
yang sering mereka sebut mengurus kad pengenalan untuk rakyat asing ialah
Samsul Alang Hamsah (bekas tahanan ISA); Andy Bandy Pilo (bekas tahanan ISA);
Puan Apsah Maming (bekas tahanan ISA) dan penduduk Tanjung Batu Laut) Persatuan
Bugis dan banyak lagi nama-nama yang mereka sebut.
Mengikut seorang bekas
pemimpin parti BERJAYA yang tidak mahu namanya disebut, memang ada arahan dari
KL membuat kad pengenalan. Tetapi disalahgunakan. Tujuan pemimpin KL (arahan)
ialah untuk rakyat pedalaman yang tidak mempunyai kad pengenalan atau rakyat
asing yang telah lama memegang kad pengenalan merah. Pemimpin KL tidak pernah
mengarahkan rakyat asing diberikan kad pengenalan yang mengaku lahir di negeri
Sabah.
JPN Malaysia Tawau juga
masih mengarahkan seseorang pemohon untuk meminta surat pengesahan suami isteri
daripada Ketua kampung. Berkali-kali saya katakan (melalui surat) bahawa Ketua
Kampung tidak mempunyai kuasa untuk membuat surat pengesahan suami isteri.
Pengesahan suami isteri
hendaklah dirujuk kepada Imam Bertauliah atau pihak MUIS. Ketua Kampung hanya
boleh mengesahkan seseorang tinggal di kampung jagaannya.
Rakyat asing PEMBOHONG!
Sijil nikah mereka (Akta Nikah Indonesia) bukan hilang, tetapi tidak berani
menunjukkan kerana mereka sekarang telah berjaya memiliki kad ASPAL. Ada di
antara mereka memiliki Akta Nikah Indonesia dan ada juga yang memiliki Sijil
Nikah Malaysia secara sah.
Tetapi mereka takut kerana
di dalam Sijil Nikah tersebut ada tercatit nombor pasport mereka sedangkan
mereka sekarang mempunyai kad ASPAL yang mencatatkan kelahiran mereka di salah
sebuah kampung di negeri Sabah.
Apakah lagi kami rakyat
tempatan tidak marah kepada PATI yang telah berjaya memiliki kad ASPAL,
sedangkan PATI sendiri marah. Kata mereka, kami sama-sama datang dari
Indonesia/Filipina, mereka sudah dapat kad pengenalan sedangkan kami masih pasport
atau kad pengenalan merah.
Mutalib:
Apakah ciri jelas yang mudah dilihat terutama sekarang ini mereka telah
memiliki Mykad, sama seperti yang saudara miliki?
HAMID: Kalau JPN Malaysia
hendak mengesan kad pengenalan rakyat asing memang boleh dan terlalu mudah.
Semua kad pengenalan biru ada pendua yang disimpan rapi di dalam rekod komputer
dan di Jabatan Pendaftaran Negara di Kota Kinabalu. Kad pengenalan biru PATI
yang berumur di antara 30 tahun hingga 60 tahun tidak tercatat nombor kad
pengenalan lama. Sedangkan rakyat Malaysia yang berumur 12 tahun diwajibkan
membuat kad pengenalan.
Kenapa mereka tidak mempunyai
kad pengenalan lama? Jawapannya mereka rakyat asing. Bil daftaran juga tiada.
Manakala tempat daftaran juga tiada. Sedangkan setiap kad pengenalan ada
mencatatkan tempat daftaran yang menunjukkan pejabat JPN Malaysia tempat
seseorang membuat kad pengenalan.
Bukti besar mereka bukan
membuat kad pengenalan di pejabat JPN Malaysia. Memang benar pengakuan mereka
bahawa kad pengenalan mereka dibuat di rumah pengurus. Hanya sebilangan kecil
sahaja dibuat di pejabat JPN .
Seorang kakitangan JPN
Tawau, Awang Mohd Amin Ibrahim adalah kakitangan JPN Malaysia Tawau yang selalu
disebut-sebut oleh rakyat asing bagus kerana boleh menolong mereka membuat kad
pengenalan rakyat asing. Selain itu, nama Puan Murni juga mereka (rakyat asing)
katakan bagus boleh menolong membuat kad pengenalan rakyat asing.
Ada di antara mereka (rakyat
asing) berkata kad pengenalannya dibuat di Semporna semasa Puan Murni bertugas
di sana.
Bagi orang awam, mereka
boleh kenal PATI yang memiliki kad ASPAL dengan mudah kerana di belakang mykad
mereka tercatat nombor kad pengenalan lama menurut nombor siri yang dihuraikan
di muka surat 157, buku IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah yang saudara tulis.
Mutalib:
Sepanjang menjadi Ketua Cawangan UMNO, apakah insiden yang melibatkan PATI
paling memalukan pernah berlaku di Tawau?
HAMID: Perkara yang paling
memalukan UMNO ialah pada 15/3/1998 apabila bekas tahanan ISA, Samsul Alang
Hamsah yang menjadi 'Penjenayah' atau 'Petualang IC Projek' dikekalkan semula
sebagai Timbalan Ketua Bahagian UMNO
P 165 Tawau walaupun telah ditahan di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri selama dua tahun.
Pada fahaman kami, ahli UMNO
boleh aktif dan memegang jawatan sekiranya dilepaskan sepenuhnya, bermakna
seseorang itu telah lupus semua jawatannya sewaktu ia ditahan di dalam Akta ISA
dan hendaklah bermula daripada bawah semula. Kami berpendapat bekas tahanan ISA
kerana memalsukan kad pengenalan tidak dibenarkan memegang jawatan dalam
politik dan kerajaan selama lima (5) tahun atau selama-lamanya kerana perbuatan
tersebut menjual hak rakyat negara Malaysia dan boleh menggugat keselamatan
negara.
BERJAYA......Samsul Alang antara PATI yang berjaya mengukir nama dan kaya raya di Malaysia hasil IC Projek.
Lebih malang lagi dia
mendakwa jawatannya sebagai Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri Sabah
juga kekal. Katanya gajinya berjalan selama dalam tahanan ISA dia telah
mendapat tuntutan pembayaran gaji lebih RM80,000 selepas keluar daripada ISA!
Saya kesal kerana wang rakyat digunakan untuk membayar gaji penjenayah.
Selain daripada terkenal
membuat kad pengenalan palsu dan projek, status Samsul Alang Hamsah juga
membingungkan. Apa yang saya tahu Samsul Alang Hamsah adalah rakyat Indonesia.
Semasa bekerja di JKR Tawau, dia memegang pasport. Tapi bagaimana dia mempunyai
surat lahir. Rakan saya, Abdillah Bin Ahmad telah membuat laporan polis di
Balai Polis Karamunsing Kota Kinabalu terhadap status Samsul Alang beberapa
tahun lalu, tetapi sehingga sekarang belum ada tindakan dibuat.
Mutalib:
Adakah sesiapa lagi yang saudara yakin PATI yang memiliki kad ASPAL?
HAMID: Ada. Bukti terbaru
yang saya perolehi ialah Andi Baso Bin Basir K/P H0392277 bekas Ketua Cawangan
UMNO Kampung Sentosa Blok 4 (kod 096) telah hilang hak sebagai ahli UMNO kerana
dikatakan kad pengenalannya tidak betul. Memang dia betul rakyat Indonesia.
Tetapi pada tahun lalu
dengan menggunakan nama Raba Bin Bella @ Andi Baso telah memperolehi kad
pengenalan yang bernombor H0293741. Maklumat tersebut telah saya terima daripada
seorang kawan yang bertugas di Pejabat Parti Bersatu Sabah (PBS) Merotai yang
mengatakan orang kamu keluar UMNO masuk PBS.
PALSU.....Kad Pengenalan milik Tham Vui Henn ini telah diguna pertama kalinya oleh Andi Baso untuk menjadi Ketua Cawangan UMNO Kampung Sentosa Blok 4.
BARU.....Setelah kad pengenalan H0392277 didapati palsu, maka Andi Baso mendapat satu lagi kad pengenalan H0293741 dan menukar namanya kepada Raba Bin Bella.
Mutalib:
Selain maklumat dokumen yang telah disebutkan, pernahkah saudara membuat tinjauan
atau siasatan sendiri mengenai perkara ini?
HAMID: Ya ada. Beberapa
orang peniaga di gerai berhadapan panggung wayang Kong Fah pernah saya tanya.
Kamu orang sinikah? Mereka menjawab ia. Kad pengenalan kami sekarang Mykad.
Lalu saya bertanya, berapa kali
kamu sudah tukar kad pengenalan? Mereka menjawab dua (2) kali. Terus terang
saya berkata kepada mereka, kamu orang Indonesia kerana kalau kamu orang
Malaysia seperti umur saya lebih 52 tahun sudah tiga (3) kali dan ibu bapa saya
sudah empat (4) kali mempunyai kad pengenalan.
Kad pengenalan saya yang pertama 320000, manakala yang kedua H0083280
dan sekarang bernombor 550513-12-5471. Mereka terus mengaku, kami memang orang
Indonesia dan kami datang hanya untuk mencari makan.
Mutalib:
Adakah apa-apa tanda yang jelas kelihatan yang boleh membezakan orang tempatan
dengan PATI?
HAMID: Mudah sahaja dan
sebagai panduan untuk semua rakyat Malaysia, rakyat tempatan Sabah Malaysia
mempunyai tanda suntikan cacar di lengan berbentuk bulat, manakala PATI
bergaris panjang.
Tidak payah periksa kad pengenalan.
Tengok tanda cacar sahaja sudah boleh mengenali spesis PATI yang ASPAL ini. Kalau
polis atau rela mahu membuat pemantauan atau operasi dengan pantas dan
menjimatkan masa, periksa tanda cacar sahaja! Jika tanda cacar mereka panjang
tetapi mengaku lahir di Sabah, mereka adalah PEMBOHONG PALING BESAR DI DUNIA!
Mutalib:
Adakah siapa lagi yang saudara kenal benar dan pasti status PATI yang berjaya
dengan kad ASPAL?
HAMID: Memang ramai yang
saya kenal, dua minggupun tidak selesai kalau mahu di senaraikan. Ramai di
antara mereka telah mendapat lesen berniaga, permit teksi, permit bas dan
sebagainya. Mereka mula mahu menjadi pemimpin dan tidak mahu dipimpin lagi.
Mereka mula mahu menjadi Ketua Kampung. Ada yang menjadi Pengerusi JKKK dan
Pengerusi PIBG.
PALSU..... Kita tidak tahu IC siapa yang benar kerana wanita ini berdaftar sebagai pemilih sedangkan nombor Kad Pengenalan lamanya pernah digunakan Harris Laksamana. Tiada siapa tahu apa dokumen yang Harris gunakan sekarang, tetapi beliau bebas ke sana ke mari?
Sebagai contoh, Haris Laksamana
Bin Hj Bahrum yang memegang kad pengenalan bernombor H0513979. Saya
mengenalinya sebagai Bob sekitar tahun 1980. Haris Laksamana ini kerjanya
menjual ubat di kaki lima kedai gambar Dahlia di waktu siang dan menjual ubat
tahan lama di tangga hotel pelacuran pada waktu malam.
Kakitangan Majlis
Perbandaran Tawau juga sangat mengenalinya. Harris Laksamana adalah rakyat
Indonesia pernah berkata kepada saya pada Februari 1998 lalu bahawa kad
pengenalannya sah dan ada surat pengesahan daripada Pengarah Pendaftaran Negara
Sabah Kota Kinabalu.
Selain Harris, ada juga yang
menjadi Pemaju Mukim, Ahli Majlis Perbandaran Tawau dan amat memeranjatkan
seorang Ahli Majlis Perbandaran Tawau telah dipenjara beberapa tahun lalu
kerana mempunyai dua kad pengenalan.
Mutalib:
Baru-baru ini Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti telah
menjemput saudara memberi keterangan di Parlimen, namun saudara tidak hadir.
Apakah sebab-sebab yang menghalang saudara menghadiri sesi pendengaran awam berkenaan?
HAMID: Saya memohon maaf
daripada Jawatankuasa berkenaan kerana tidak dapat hadir sebab uzur dan
bersedia untuk hadir pada bila-bila masa jika keadaan kesihatan saya
mengizinkan. Jika boleh saya mohon agar sesi pendengaran ini diadakan di
kediaman saya di Tanjung Pukat, Tawau
agar jawatankuasa dapat MERASAI dan MENIKMATI suasana ’AMAN DAMAI’ dan
indahnya tinggal di celah-celah PATI.
Mutalib:
Apakah harapan saudara berhubung isu PATI dan kad pengenalan ASPAL ini? Ke arah
mana hendak dihalakan perjuangan saudara?
HAMID: Saya akan terus
menerus menghantar surat kepada pihak berkuasa dan memberi kerjasama kepada
semua pihak agar masalah ini dapat diselesaikan secara bijaksana.
Sebagai rakyat Sabah, saya
berikrar akan berjuang selagi hayat di kandung badan. Saya tidak akan jemu-jemu
membuat teguran dan menghantar petisyen. Saya percaya lambat laun Perdana
Menteri akan akur dengan kehendak rakyat kerana tidak akan ada pemimpin yang
kekal di dunia jika MENGKHIANATI RAKYAT.
Merekrut PATI sebagai warga
ASPAL atas apa juga sebab, tidak boleh dimaafkan dan penjenayah warga dihukum.
Ingatlah. Insaflah. Jika
mereka tidak menerima balasan di dunia, mereka akan menerima di alam barzah dan
di akhirat. Kalau bukan mereka, anak cucu mereka. Tuhan telah memberi
peringatan adanya hari pembalasan.
Menghalalkan warga ASPAL ini
adalah alasan meramai umat Islam adalah MEMPERSEKUTUKAN Allah kerana Allah akan
menjaga agamanya dan bukan pemimpin yang berjubahkan agama untuk kepentingan
politik.
BERANI...
Hamid menunjukkan Bab 8 buku IC PROJEK-Agenda Tersembunyi Mahathir? yang
mengandungi kenyataannya dengan tajuk Kerajaan BN Telinga Kuali?
Mereka yang merekrut PATI sebagai
warga ASPAL dengan melacurkan agama ISLAM adalah MURTAD dan SYIRIK kerana menyekutukan
Allah dan mencemar agama Islam yang suci.
Kepada yang terlibat dengan
sindiket haram ini segeralah BERTAUBAT selagi pintu taubat masih terbuka atau
mati di dalam kekufuran. Mufti Negeri Sabah hendaklah memberi fatwa bahawa
merekrut PATI sebagai warganegara melalui jalan songsang adalah HARAM!
SEKADAR RENUNGAN:
ANGKASAWAN...
Setelah 49 tahun rakyat Malaysia menghirup udara Merdeka yang diwarnai
penghantaran angkasawan pertama ke angka lepas,
Rakyat Sabah masih tergapai-gapai mencari identiti kerana dibelenggu isu
kewarganegaraan songsang yang tidak berkesudahan. Sabah seolah-olah berada di
luar Malaysia apabila terpaksa berperang sendiri dengan dasar kerajaan sekalipun
diberikuasa untuk mengawal pintu imigresen sendiri. Dengan kuasa Imigresen
terletak di bawah potfolio Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Sabah bagaikan
petani yang menghalau burung pipit dengan menarik tali yang tergantung tin yang
bertong tang, tang ting. Pipit sekadar terbang sebentar dan kembali ke sawah
yang bolos kerana ’tiada sempadan yang nyata’. Pipit akan menganggap petani
sekadar mampu menghalau namun tidak mempunyai mekanisme untuk menghalang
daripada pipit datang balik. Pemilik tanah tidak ubah seperti ’orang-orang’
(scare-crow) yang sepatutnya menakutkan pipit, sebaliknya menjadi tempat pipit
hinggap dan bersarang.
No comments:
Post a Comment