LAPOR.....Citra
(tiga dari kanan) bersama Mohammad Hussain (tiga dari kiri) dan Idris Jakirun
(dua dari kanan) serta AJK Pakatan Rakyat menunjukkan Laporan polis yang dibuat
di pintu masuk Balai Polis Tawau.
Oleh : JAYANTHI GEETHA
SUKUMARAN
PAKATAN Rakyat Sabah hari
ini mendesak agar Panel RCI yang bermesyuarat kelmarin menjalankan siasatan
rapi terhadap Adun Sekong, Datuk Samsudin Yahya dan gundiknya, Pia Bte Dahlan;
kerana disyaki PATI yang mendapat kerakyatan songsang melalui IC Projek.
Ketua Penerangan AMK Parti
Keadilan Rakyat Sabah, Citra Masadi, yang menjadi jurucakap Pakatan Rakyat
Sabah menjelaskan bahawa mereka membuat laporan polis bagi membantu Panel RCI
yang diketuai Mantan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip
Kiong setelah menjalankan siasatan selama lebih lima bulan lalu hasil
pendedahan melalui Sabahkini.net.
"Kita telah mendapat
maklumat daripada Team Kita di Tambisan dan Batu Sapi serta meminta Peguam kita
membuat carian di Jabatan Pendaftaran Negara sebelum datang ke Balai Polis
Tawau untuk membuat laporan polis, agar siasatan segera dijalankan terhadap dua
suspek utama ini; bagi membuka jalan kepada siasatan terhadap suspek lain yang
memperolehi kerakyatan secara tidak sah iaitu melalui jalan tipuan, culas dan
memalsukan keterangan diri untuk mendapatkan MyKad Malaysia," kata Citra
di pintu masuk Balai Polis Tawau sebentar tadi.
Citra yang ditemani oleh
Yang DiPertua PAS Tawau, Mohammad Hussain; Ketua AMK Kalabakan, Idris Jakirun
dan beberapa AJK Pakatan Rakyat menjelaskan pihaknya turut kesal kerana ketika
membahaskan Bajet 2013 di Dewan Undangan Negeri Sabah, Samsudin menuduh Ketua
Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu sebagai PATI semata-mata kerana bapa Lahirul
warganegara Indonesia dan mendesak RCI menjalankan siasatan; sedangkan
kerakyatan Lahirul adalah sah kerana mengikut ibunya berketurunan Murut.
"Oleh kerana Samsudin
tidak tahu undang-undang, maka kita ajar dia bagaimana mahu mengenalpasti PATI
sebelum membuat tuduhan liar terhadap warganegara Malaysia yang mendapat
kerakyatan yang sah seperti Lahirul," kata Citra.
Bagaimanapun Citra menafikan
laporan ini dibuat sebagai 'Balas Dendam' terhadap Samsudin; sebaliknya secara
kebetulan setelah pihaknya mendapat bukti yang lengkap untuk membantu Panel
RCI; sesuai dengan pelawaan Panel RCI yang meminta pihak yang mempunyai bukti
tampil membantu.
"Hasil carian di JPN dan
atas nasihat peguam, kita membuat laporan polis kerana MyKad 550208125619/H0254832
yang diperolehi Samsudin dan 670315125012 yang digunakan Pia boleh
ditarik balik sesuai dengan Seksyen 30 (3) kerana telah mengenalpasti mereka membuat
kenyataan palsu," kata Citra yang memaklumkan hasil carian peguamnya, JPN bukan
sahaja tidak pernah mengeluarkan sijil lahir kepada Samsudin, malah tidak
mempunyai maklumat ibubapanya.
Citra memklumkan pihaknya
akan membuat lebih banyak pendedahan berhubung beberapa VIP dalam masa yang
singkat bagi memudahkan tugas Panel RCI menjalankan siasatan.
Sementara itu, dalam
laporannya TAWAU/RPT/015980/12 yang dibuat pada jam 5 petang tadi, Citra
mendakwa bahawa;
"PADA lebih kurang jam
2.10 petang tadi saya menerima email daripada Team Pemantau AMK PKR di Kota Kinabalu
berhubung rekod Adun Sekong, Datuk Samsudin Yahya yang saya percaya mendedahkan
identiti sebenar beliau iaitu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang mendapat
kad pengenalan 550208125619/H0254832 melalui ikrar palsu atau memalsukan
keterangan diri; sejajar dengan keterangan dalam rekod Jabatan Pendaftaran
Negara iaitu Warganegara secara kuatkuasa undang-undang Perkara 30 (3).
Setelah merujuk Perlembagaan
Persekutuan Fasal 30 (3) iaitu "Bagi maksud menentukan sama ada seseorang
dilahirkan sebagai warganegara Persekutuan, apa-apa soal sama ada dia dilahirkan
sebagai warganegara suatu negara lain hendaklah diputuskan oleh Kerajaan
Persekutuan dan perakuan Kerajaan Persekutuan mengenai soal itu adalah
konklusif (melainkan jika dibuktikan bahawa perakuan itu telah didapati dengan
cara fraud, nyataan palsu atau penyembunyian sesuatu fakta material).
Selaku Ketua Penerangan AMK
PKR, maka saya datang ke balai membuat laporan agar Panel RCI yang ditubuhkan
Kerajaan Malaysia menyiasat Samsudin kerana beliau seorang Wakil Rakyat UMNO
(Penggubal Undang-Undang) yang saya percaya ada kaitan dengan Sindiket MyKad
Palsu dan kerakyatan songsang; termasuk sebagai dalang mendapatkan Mykad 670315125012
untuk
gundiknya, Pia Binti Dahlan.
Memandangkan Samsudin tidak
mempunyai Sijil Lahir dan rekod JPN menunjukkan beliau memperoleh kerakyatan
melalui jalan songsang; maka saya
mendesak agar kewarganegaraannya ditarik balik, sejajar dengan peruntukan Fasal
30 (3). Bersama ini disertakan salinan rekod Samsudin dan Pia serta cabutan
Fasal 30 (3) Perlembagaan Persekutuan."
BUKTI.....Rekod Samsudin ini membuktikan bahawa beliau bukan lahir di Sabah dan mendapat MyKad berdasarkan Surat Akuan sejajar dengan Perkara 30 (3) Perlembagaan Persekutuan.
SAMA......Pia juga mendapat kerakyatan melalui modus operandi yang sama dengan Samsudin.
MAKSUD....Cabutan Fasal 30 (3) Perlembagaan Persekutuan yang menerangkan maksudnya sendiri.
No comments:
Post a Comment