Monday, 12 November 2012

KEUNIKAN KADAVALI DI SABAH





Oleh : SITI ZUBAIDAH ABDULLAH

PENAMPANG : Kata pujangga 'tak kenal maka tak cinta'. Siapa sangka Negeri di Bawah Bayu menjadi titik permulaan penyatuan dua insan daripada latar belakang berlainan, India dan Kadazandusun; membina perkahwinan untuk sehidup semati.
Selepas empat tahun berkawan dan saling menyelami hati budi, pasangan Mohan Raju, 50, dan Genevieva, 47, akhirnya mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan selama setahun sebelum melangkah ke alam rumahtangga pada 1988.

"Jodoh... siapa sangka tilikan saya bertemu jodoh dengan orang 'luar' jadi kenyataan. Dahulu orang kata jaga-jaga pergi Sabah, kahwin dengan bukan bangsa sendiri tetapi bangsa lain.

"Saya beritahu mereka kahwin lain bangsa okay dan ini saya kira kalau sudah jodoh, saya terima," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Pegunon, di sini, baru-baru ini.

Mengimbas kembali detik pertemuannya dengan Genevieva, Mohan berkata program lawatan untuk penjawat awam di Sabah yang mereka sertai ketika itu menjadi titik permulaan kepada percintaan mereka.

Katanya, meskipun daripada latar belakang berbeza, wanita itu bijak memenangi hati ibu bapanya, tidak tertekan untuk mempelajari cara hidup dan adat resam kaum India, malah turut pandai memasak pelbagai masakan India.

Anak kelahiran Kulim, Kedah itu berkata mereka meraikan Deepavali secara meriah bersama sahabat-handai dan saudara terdekat dengan mengadakan rumah terbuka dan menyajikan pelbagai masakan India serta tempatan selain menyambut Krismas pada 25 Dis.

"Kemeriahan Deepavali tetap terasa dengan kunjungan pelbagai lapisan masyarakat termasuk orang tempatan yang memang peramah dan mereka sudah seperti ketagih masakan India dan menggemarinya. Ada yang akan 'order' roti canai, tosei, capati, putu mayam...," katanya.

Setiap kali meraikan Deepavali, Mohan akan membawa isteri dan ketiga-tiga anak perempuan mereka berkunjung ke kampung asalnya selain menyediakan pakaian tradisional India untuk keluarganya itu.

Sebagai pemastautin selama lebih 30 tahun di Sabah, Mohan berpendapat perkahwinan campur dapat menyumbang kepada pembinaan bangsa dan mewujudkan hubungan antara kaum yang lebih harmoni di negeri ini yang dihuni lebih 32 suku kaum peribumi dengan Kadazandusun sebagai etnik terbesar.

"Saya bagaikan membesar di Sabah. Selepas sekolah saya datang bertugas di sini pada usia 20 tahun sekitar tahun 1983. Sabah negeri yang bagus dan menjadi keunikan terbaik dalam perpaduan kaum sesuai dengan Gagasan 1Malaysia.

"Sabah negeri yang kaya dengan kemesraan orangnya. Saya akan kekal menetap di sini... asal kita berusaha untuk pandai 'tackle' hati orang kampung, ikhlas dan jujur, kita akan berjaya untuk hidup dan 'masuk' di kalangan mereka," katanya.

Sementara itu, Genevieva berkata saat dipinang adalah detik yang sangat 'mencabar' untuk memperkenalkan Mohan kepada anggota keluarga yang sedikit menghalang perkahwinan berlainan kaum di awal perkenalan.

"Saya pilih siapa yang saya rasa 'ngam'. Bila berkenalan, mula rapat dan suka saya pilih dia sebagai suami. Cabaran utama untuk kenalkan dia kepada keluarga dan mereka ada sedikit tidak suka tetapi lama-lama mereka akan mula terima dia dalam anggota keluarga," katanya.

Pasangan suami isteri itu, yang mengadakan perkahwinan mengikut adat tradisi masyarakat Kadazan dan masyarakat Hindu di Kedah, percaya perkahwinan campur dapat membina masyarakat yang lebih berintegrasi pada masa depan. (Bernama)

(NOTA : KADAVALI adalah cipta Sabahkini.net iaitu akronim Kadazan dan Deepavali).

No comments:

Post a Comment