Wednesday 16 January 2013

PENJARA DI MALAYSIA SEMAKIN SESAK






KUALA LUMPUR : Kurang menggunakan alternatif lain berbanding hukuman penjara dan skim banduan prabebas telah menjadikan penjara di Malaysia sesak.

Anggota Majlis Eksekutif Pusat Antarabangsa Undang-Undang dan Pengajian Perundangan (I-Cells) Profesor Dirk Van Zyl Smit berkata kajian I-cells mendapati daripada sejumlah 37,625 banduan pada 2011, seramai 12,338 orang adalah mereka yang menjalani hukuman penjara di bawah lima tahun.

"Bagi tempoh sama, seramai 6,927 banduan merupakan warga asing yang melakukan kesalahan imigresen atau jenayah ganas," katanya ketika membentang kertas kerja bertajuk 'The Malaysian Criminal Justice Audit: Preliminary Findings' pada Persidangan Transformasi Perundangan Berhubung Dengan Keselamatan dan Hak Asasi di sini Selasa.

Beliau berkata pada Julai 2012, daripada sejumlah 36,728 banduan, seramai 9,757 orang merupakan warga asing dengan peratusan tertinggi adalah di Tawau, Sabah, yang mencatat 64 peratus banduan asing (888 warga asing daripada sejumlah 1,377 banduan), Sandakan 66 peratus (420 warga asing daripada 636 banduan) dan Kota Kinabalu 40 peratus (621 warga asing daripada 4,547 banduan).

Zyl Smit berkata kajian itu turut mendedahkan bahawa 90 peratus defendan di mahkamah rendah tidak diwakili peguam manakala banyak pengakuan salah dicatat pada 2011.

Beliau berkata di Mahkamah Sesyen, kira-kira 42.2 peratus pengakuan salah dicatat daripada sejumlah 313,609 kes jenayah manakala 52.3 peratus pengakuan salah dicatat daripada sejumlah 26,416 kes jenayah di Mahkamah Majistret.

Zyl Smit juga berkata audit keadilan jenayah merupakan gambaran keseluruhan sistem keadilan di Malaysia yang berfungsi sebagai pangkalan data, mengenal pasti isu serta cabaran utama, membantu penggubal dasar mengenal pasti bidang untuk penambahbaikan dan merupakan satu laporan interaktif. (Bernama)

No comments:

Post a Comment