Oleh : LO_PHUNK
PILIHANRAYA Ke-13 semakin
dekat. Ianya bakal menjadikan pertembungan yang sangat hebat antara parti
pemerintah dengan parti pembangkang di Sabah. Seluruh rakyat Sabah
tertanya-tanya apakah parti yang bakal dipilih? Rata-rata masih berada dalam
dilema untuk mengundi siapa; sama ada parti pembangkang atau parti pemerintah?
Parti pembangkang pula
dilihat terbelah dua iaitu parti pakatan rakyat dan STAR yang tidak sebulu
dengan Pakatan Rakyat. Sementara SAPP dilihat menuju ke arah Parti Perikatan
Pakatan Rakyat dan membiarkan STAR dengan agenda tersendirinya.
Namun mampukah STAR
membentuk kerajaan di Sabah selepas PRU 13 ini atau Pakatan akan bakal
menerajui Putrajaya dan kerajaan di Sabah?
Parti Bersatu Sabah (PBS) yang
dahulunya mewujudkan gelombang yang sangat hebat, menumbangkan gergasi dan
menghidupkan demokrasi telah kini semakin tenggelam dan tidak mampu menjaga
kebajikan penyokongnya; serta tidak mampu melaksanakan dasar perjuangan asal
mereka.
STAR dengan Agenda Borneonya
sangat yakin bahawa perjuangan mereka akan diterima oleh rakyat Sabah. Mereka
juga mendakwa bahawa Pakatan Rakyat tidak akan mengembalikan autonomi rakyat
Sabah seperti yang terkandung dalam Perjanjian Penubuhan Malaysia 1963 dan Perkara
20 setelah kerana Anwar tidak menandatangani Deklarasi Tambunan.
Namun hakikatnya, Pakatan
Rakyat telah menandatangani Deklarasi Kuching yang lebih kurang sama
kandungannya dengan Deklarasi Tambunan yang dikatakan tidak ditandatangani oleh
Anwar Ibrahim.
Kandungan Deklarasi Kuching
Oleh Pakatan Rakyat
PERKARA 1: Kerjasama Bersekutu
Memulihara intipati
Perjanjian Malaysia dan memperkasakan kedudukan Sarawak dan Sabah setanding
dengan Semenanjung Malaysia dengan mengembalikan autonomi Sarawak dan Sabah
mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.
PERKARA 2: Perwakilan Yang
Adil
Mempertingkatkan integrasi
nasional di antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia melalui
penggemblengan tenaga dan perkongsian kuasa secara adil yang menjunjung
semangat Perjanjian Malaysia.
PERKARA 3: Kewarganegaraan
Menubuhkan Suruhanjaya
DiRaja bagi menyelesaikan masalah nasional berkaitan pendatang tanpa izin dan
isu-isu kerakyatan, khususnya di Sarawak dan Sabah.
PERKARA 4: PENGIKTIRAFAN HAK
KE ATAS TANAH ADAT
Menghormati dan mengiktiraf
hak anak watan ke atas tanah adat sepertimana yang tertakluk dan termaktub
dalam Undang-undang Negeri Sarawak dan Sabah dengan menubuhkan Suruhanjaya
Tanah untuk menyiasat, menyelesaikan pertikaian, memperbaharui, menyelidik dan
memulihkan Hak Adat Peribumi ke atas pemilikan Tanah Adat.
PERKARA 5: Kecekapan Dan Kemandirian Sarawak Dan Sabah
Mengiktiraf perlantikan
rakyat Sarawak dan Sabah untuk memimpin dan memegang jawatan di Jabatan
Kerajaan di negeri masing-masing, dikuatkuasakan oleh Setiausaha-setiausaha
kerajaan kedua-dua negeri dan memberikan keutamaan kepada rakyat Sarawak dan
Sabah di peringkat Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan tugas di negeri
masing-masing.
PERKARA 6: Keadilan Dalam
Isu Minyak
Menaikkan bayaran royalti ke
atas petroleum dan sumber hidrokarbon kepada Sarawak dan Sabah dari 5% ke 20%.
PERKARA 7: Pembangunan
Sekata
Membawa tahap kemajuan
infrastruktur di Sarawak dan Sabah setanding dengan perkembangan di Semenanjung
Malaysia.
Pakatan Rakyat menjelaskan
deklarasi ini merupakan satu perjanjian yang tidak boleh disangkal serta
dipersoalkan, ia termaktub di antara Pakatan Rakyat dan segenap lapisan
masyarakat Malaysia.
Perjanjian yang
ditandatangani pada 16 September itu juga bermatlamat agar kebebasan dapat
dicapai dan masyarakat boleh hidup bersatu pada dalam suasana aman dan damai.
7 Agenda Borneo Oleh Star
AGENDA 1: Menuntut supaya
Kerajaan Persekutuan mewujudkan 'Mekanisme Pelaksana' untuk menyusuli pematuhan
Perjanjian Malaysia 1963 serta memulihkan status Sabah Sarawak sebagai rakan
kongsi setaraf dengan Malaya.
AGENDA 2 : Menuntut supaya
satu formula untuk agehan yang adil dalam aspek hasil cukai, minyak dan
perjawatan.
AGENDA 3 : Menuntut supaya
hak-hak pribumi Sabah Sarawak dihormati dan kekal seperti yang termaktub dalam
perjanjian dan Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.
AGENDA 4: Menuntut supaya
Dasar Kabotaj (Dasar Perkapalan) dimansuhkan. Dasar ini menyebabkan impak
negatif terhadap ekonomi Sabah sejak 1/1/1980.
AGENDA 5 : Menuntut supaya
fokus pembangunan ditumpukan kepada Sabah dan Sarawak di samping mengurangkan
jurang ekonomi dan digital antara dua wilayah.
AGENDA 6 : Menuntut supaya
masalah PTI/Projek IC diselesaikan secara tuntas dan integriti sempadan Sabah
Sarawak diperketatkan, termasuklah hukuman yang berat ke atas mereka yang
memberikan status kewarganegaraan kepada pendatang tanpa izin.
AGENDA 7 : Menuntut supaya
kajian semula terhadap kehadiran dan peranan agensi-agensi Persekutuan di
Sabah/Sarawak bahkan syarikat-syarikat dari Semenanjung yang mendapat konsesi
tanah di Sabah.
DEKLARASI TAMBUNAN
1. Melaksanakan 20 Perkara
yang masih relevan dan Perjanjian Malaysia.
2. Melantik seorang Timbalan
Perdana Menteri daripada Malaysia Timur (Sabah/Sarawak).
3. Menaikkan royalti minyak
daripada 5% sekarang kepada sekurang-kurangnya 20%.
4. Menambah: (a) peranan
Sabah dalam Kabinet Persekutuan, (b) kerusi Parlimen di Sabah dan (c) peranan
Sabah di Kedutaan Malaysia mengikut formula keseimbangan yang patut.
5. Mewujudkan Suruhanjaya
Diraja untuk memastikan hak-hak kedaulatan dan Rukun Negara terjamin dan
terpelihara termasuk penyiasatan masalah Projek IC dan PTI.
6. Menghormati semua kaum
dan budaya mereka.
7. Membenarkan Sabah
menggariskan Agenda Pembangunan dan Ekonomi sendiri selaras dengan agenda
nasional.
Perjuangan Parti Bersatu
Sabah (PBS)
1. Memperjuangkan demokrasi
dan mempunyai wawasan untuk membina negeri Sabah yang maju, harmoni dan bersatu
melalui proses demokrasi berparlimen yang tulen.
2. Berusaha menjaga hak-hak dan kuasa autonomi
Sabah, hak asasi manusia dan menegakkan keadilan.
3. Memperjuangkan hak-hak
istimewa kaum Bumiputera dan kepentingan kaum lain, memelihara budaya
tradisional setiap kaum di Sabah serta kebebasan beragama di Malaysia.
Antara isu yang paling
lantang disuarakan parti itu adalah isu pendatang tanpa izin di Sabah, Projek
IC, pembangunan tidak seimbang, pengundi hantu dan 20 Perkara perjanjian
kemasukan Sabah ke dalam Malaysia.
Apa yang kita lihat di sini,
semua parti memperjuangkan autonomi rakyat sabah tapi jika dikira perjuangan
PBS yang sudah menjangkau 27 tahun langsung tidak dapat memenuhi teras
perjuangan mereka apatah lagi mengembalikan autonomi Negeri Sabah yang sama
taraf dengan persekutuan tanah melayu dan Sarawak.
STAR pula mempunyai
persamaan dengan agenda pakatan di Sabah dan Sarawak namun STAR memilih untuk
bersendirian dan tidak mahu Pakatan bertanding di Sabah.
STAR juga dilihat tidak
menyebelahi mana-mana pihak sama ada Pakatan atau Barisan Nasional kerana mereka
beranggapan bahawa merekalah yang menjadi penentu kerajaan jika keputusan
adalah seri atau memerlukan kerusi STAR untuk menang dan menerajui kerajaan.
Nampaknya mereka akan
melompat ke mana-mana yang mereka suka dan sekiranya mereka bekerjasama dengan
BN, maka keadaan seperti sekarang tetap akan berlaku.
Apa yang kita harapkan
sebagai rakyat sabah adalah perubahan harus dilakukan. Pakatan sudah
menunjukkan komitemen untuk mengembalikan autonomi rakyat Sabah jadi
sama-samalah kita menilai sendiri agar kita dapat memilih parti yang sesuai
untuk membela nasib rakyat Sabah 5 tahun akan datang.
Tiada apa yang dijanjikan
oleh Barisan Nasional untuk mengembalikan autonomi Sabah. Mereka hanya meminta
rakyat untuk memberi mereka peluang untuk memerintah semua selepas PRU 13.
Persoalannya, sampai bilakah
rakyat Sabah akan memberi peluang kepada kerajaan BN sedangkan kerajaan BN
tidak menjaga kebajikan dan autonomi serta menghormati Perkara 20 dan Perjanjian
Malaysia 1963?
Kalau Tidak Ngam Aturan... TUKAR
KERAJAAN LAH!.
No comments:
Post a Comment