Thursday 3 November 2011

PROJEK BELB, KEPUTUSAN KKLW



TENAGA Nasional Berhad menepis kritikan prestasi yang dilemparkan terhadap firma utiliti negara itu apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendapati ratusan ribu ringgit dibelanjakan dalam projek-projek yang boleh dipersoalkan untuk membekalkan tenaga elektrik.

Menjawab laporan yang disiarkan di Malaysiakini, TNB berkata ia hanya pelaksana dan bertanggungjawab menyediakan bekalan elektrik ke kawasan-kawasan yang diputuskan oleh Kementerian Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Menurut Ketua Pegawai Operasinya, Azman Mohd, keputusan pemilihan dan kelulusan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) adalah di bawah bidang kuasa kementerian itu dan peruntukan disalurkan oleh Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE).

"Bagi projek yang diketengahkan dalam laporan anda (Malaysiakini), TNB semata-mata melaksanakan peranannya dengan memastikan elektrik dibekalkan ke kawasan di luar bandar yangdikenal pasti oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah," kata Azman yang juga adalah Pengarah Eksekutif TNB dalam satu kenyataan media.

Jawapannya adalah berhubung pendedahan laporan audit bahawa TNB membelanjakan RM770,000 untuk membekalkan tenaga elektrik kepada sebuah rumah di bawah projek BELB.

Menurut laporan projek BELB, dana itu sepatutnya bagi membekalkan elektrik kepada 17 buah rumah di sebuah kampung di Indera Mahkota, Pahang.

Bagaimanapun lawatan audit ke tapak berkenaan mendapati hanya terdapat sebuah unit rumah di kampung itu.

Dalam penjelasannya, TNB mendakwa ketika projek itu diluluskan, 17 rumah sedang dalam proses dibina tetapi akhirnya hanya sebuah yang disiapkan.

“Pada pendapat audit kelulusan projek BELB di kawasan ini tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan iaitu jenis rumah di kawasan berkenaan hendaklah merupakan rumah kekal dan didiami serta sesuai dibuat pendawaian elektrik.

“Ini mengakibatkan kerajaan mengeluarkan perbelanjaan berjumlah RM0.77 juta bagi membekalkan elektrik untuk sebuah rumah sahaja di kampung ini,” kata laporan itu.

Laporan audit juga mendedahkan bahawa TNB meluluskan projek bernilai RM65,193 bagi membekalkan elektrik kepada lima buah rumah terbengkalai di sebuah kampung di Bera, Pahang.

Sehubungan itu, laporan berkenaan menilaikan prestasi projek BELB sebagai tidak memuaskan dengan hanya 43.2 peratus atau 16 daripada 37 projek yang disiapkan pada tahun lalu.

No comments:

Post a Comment