Thursday 3 November 2011

MALAYSIA DI BAWAH TANGGA PURATA INDEKS PERSEPSI RASUAH



Oleh : AIDILA RAZAK

MALAYSIA berada pada kedudukan 'di bawah purata' dalam satu kaji selidik tentang kemungkinan syarikat-syarikat memberi rasuah ketika menjalankan perniagaan di luar negara.

Kaji selidik Transparency International ke atas 28 buah negara mendapati bahawa Malaysia mencatatkan 7.6 mata, iaitu di bawah mata purata sebanyak 7.8 daripada 10 mata penuh (tidak kemungkinan langsung memberi rasuah).

"Ini adalah prestasi biasa bagi Malaysia, di mana kita berada sama ada sedikit di atas atau di bawah tangga purata," kata presiden Transparency International Malaysia Paul Low.

"Tetapi Malaysia, walaupun kecil, mempunyai kadar penyertaan tinggi dalam perdagangan antarabangsa jadi masih banyak ruang untuk penambahbaikan prestasi."

Kaji selidik itu dijalankan ke atas 3000 ahli perniagaan, termasuk 148 syarikat yang berpangkalan di Malaysia yang terlibat dalam perdagangan antarabangsa.

Keputusan terbaru itu, bagaimanapun menunjukkan peningkatan yang ketara sejak tahun 1999 apabila Malaysia hanya mampu mencatatkan 3.9 mata. Ia menunjukkan bahawa ahli perniagaan Malaysia mungkin merasuah syarikat-syarikat lain dan pegawai-pegawai di luar negara.

Peningkatan konsisten juga direkodkan sejak negara mencatatkan 4.3 mata pada tahun 2002 dan 5.6 pada tahun 2006.

Keputusan terbaru itu adalah yang terbaik sejak indeks itu mula-mula diperkenalkan pada tahun 1999.

No comments:

Post a Comment