Thursday 3 January 2013

DEEPAK TAK PERNAH BERI RAFIZI DOKUMEN




           
Oleh :   ZULAIKHA ZULKIFLI

AHLI PERNIAGAAN Deepak Jaikishan berkata beliau tidak tahu menahu mengenai dokumen yang dikemukakan pengarah strategi PKR Rafizi Ramli hari ini berhubung dakwaan pembelian barang kemas - didakwa sebahagian daripada sogokan untuk melicinkan satu urusniaga tanah.

Menurut Deepak lagi, beliau juga tidak pernah menyerahkan apa-apa dokumen sama ada kepada Rafizi mahupun Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan pembelian barang kemas tersebut.

"Saya tak pernah beri (Rafizi) apa-apa dokumen. Saya sendiri tidak pernah lihat dokumen yang dikatakan.

"Oleh itu saya bersama peguam akan meneliti tentang perkara ini," katanya pada sidang media di ibu negara petang ini.

Deepak juga berkata beliau dinasihatkan peguam supaya tidak mengulas lanjut mengenai dakwaan bahawa beliau membeli barang kemas tersebut.

"Saya dinasihatkan oleh peguam supaya tak cakap apa-apa. Beri saya dua tiga hari.

"Saya tak tahu apa-apa mengenai kandungan dokumen itu. Saya juga tak tahu apa yang dia (Rafizi) katakan. Saya disini bukan untuk politik tapi untuk kebenaran.

"Saya akan meneliti dokumen itu dulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan," katanya lagi.

Deepak ditanya mengenai tuntutan PKR hari ini supaya Datin Seri Rosmah Mansor menjawab dakwaan Deepak bahawa dia telah membayar RM13 juta untuk membelinya barang kemas.

Deepak dikatakan telah mendakwa bahawa pembelian 19 keping barang kemas tersebut dari dua firma di Hong Kong adalah sebahagian daripada sogokan untuk melicinkan satu urusniaga tanah.





Dalam satu kenyataan berasingan, Deepak kecewa kerana Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihatnya masih tidak memberi sokongan secara terbuka ke atasnya walau beliau telah membuat beberapa pendedahan sebelum ini.

"Saya sangat menghargai media yang menyokong saya tetapi saya tidak nampak perkara ini daripada pembangkang.

"Saya telah menyatakan hasrat saya sejak minggu lalu kepada Anwar untuk tampil dan menyokong saya secara terbuka, bukan dengan berdolak-dalik tetapi bertemu saya atau menyokong apa yang saya buat," katanya.

Katanya beliau kecewa kerana Anwar tidak menyatakan sokongan tersebut tetapi menggunakan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli untuk menyampaikan perkara itu.

Tambahnya, beliau tidak begitu menghargai sikap yang ditunjukkan Anwar seperti itu.

Deepak juga mengakui bahawa beliau telah bertemu dengan Anwar pada malam 28 November, sehari sebelum beliau tampil ke mahkamah.

Deepak turut meminta agar pemimpin daripada parti pembangkang lain untuk turut menyatakan sokongan kepadanya.

Katanya, beliau memerlukan sokongan berkenaan memandangkan isu yang dihadapinya kini, kata Deepak, memberi tekanan kepadanya.

"Anwar kalau nak (memberi sokongan kepadanya), dia perlu datang ke hadapan. Saya di sini untuk membuat pendedahan.

"Saya juga minta pembangkang lain untuk berdiri di belakang saya. Saya hanya perlu sokongan yang ikhlas. Saya berdiri di sini seorang. Dan saya perlukan sokongan.

"Saya tak boleh tidur malam. Saya ambil pil tidur. Tak ada sesiapa dengan saya," katanya lagi. (MKINI)

No comments:

Post a Comment