Saturday 19 January 2013

PAS MUNGKIN TANDING DI KINABATANGAN?






SEMANGAT...Hj Ahdah bersama pemimpin kanan parti Pakatan Rakyat Kinabatangan. Gambar sisipan Nizar.

OLEH:  RICHARD P ANDIANG    Foto : JUHARI KADIR

PERHIMPUNAN  Kebangkitan Rakyat Kinabatangan siri kedua yang diadakan di kawasan kediaman  Haji Adhah Sulaiman Kampung Batu Putih Kinabatangan anjuran PAS Pusat  kelmarin telah dihadiri lebih 500  orang.

Kedatangan beberapa orang pemimpin kanan PAS pusat yang diketuai  Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Dato'  Mahfuz dan para pemimpin Pas Negeri Sabah  merupakan satu rahmat kepada para penyokong parti Pakatan Rakyat di kawasan Kinabatangan.

Antara ceramah yang disampaikan oleh Nizar ialah mengenai RCI di Sabah dan kepimpinan BN/UMNO yang sekarang kurang mendapat sokongan khususnya di Semenanjung; malah  semakin merosot terutama sekali bagi masyarakat Cina dan India yang sudah menolak kepimpinan BN di Negara ini.

“Saya tahu rakyat Kinabatangan memang memerlukan bantuan dan pembelaan sewajarnya daripada parti yang boleh membawa kemajuan rakyatnya untuk  menikmati pelbagai kemudahan asas dan sebagainya,” ujar Nizar.

Kata Nizar isu di Sabah sekarang yang menjadi tarikan dan perhatian penduduk setempat khususnya rakyat Kinabatangan ialah isu tanah; iaitu tanah-tanah mereka yang sudah diusahakan sejak beberapa generasi dengan pelbagai tanaman, telah diceroboh oleh saudagar atau Mafia tanah dari Semenanjung yang didalangi oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Datuk Osman Jamal dengan restu Ketua Menteri Sabah,  Datuk Musa Hj Aman.

“Bila kita lihat secara dekat, penghidupan masyarakat kaum Sungai di DUN Sukau dan Parlimen Kinabatangan, amat menyedihkan berbanding dengan kehidupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang menduduki perkampungan Kinabatangan yang telah diberikan Mykad oleh kerajaan BN/UMNO yang bertaraf bumiputera,” ujarnya.

Kata Nizar lagi, PAS juga mendapat maklumat terperinci bahawa populasi  penduduk asal yang terdiri daripada suku Sungai baru  mencecah jumlah  seramai 31 orang berbanding PATI yang bergelar Bumiputera celupan seramai 174 ribu termasuk yang bekerja di ladang-ladang sawit.

Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan BN/UMNO di Kinabatangan,  kata Nizar mengutamakan PATI daripada rakyat tempatan. Apa tidaknya kerana PATI yang sudah mendaftar sebagai pengundi tegar BN/UMNO terus mendapat pembelaan yang sempurna dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti di Kampung Muhibbah, Bukit Garam; Kampung Paris 1; Kg Paris 2 dan Kampung Paris 3 yang majoritinya warga negara songsang.

Sementara suku Sungai lainnya, terus terpinggir dan kalau dapat kemudahanpun hanya terdiri daripada kroni-kroni dan suku sakat ADUN dan ADR sahaja, makala yang lainnya hanya menelan air liur.

"Inilah kita datang ke kawasan Kinabatangan untuk memberi tahu sekiranya PAS bertanding di kawasan DUN Sukau, maka ahli Parti KeAdilan Rakyat (PKR) Kinabatangan harus bersatu memberikan kemenangan kepada calon PAS yang bertanding atas tiket Pakatan Rakyat," ujar Nizar dengan wajar penuh ceria.

Begitu juga, kata Nizar, jika PKR bertanding di Parlimen Kinabatangan, maka ahli-ahli PAS harus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi dan kerjasama keras. Yang pastinya, calon-calon pakatan rakyat sama ada dari PAS atau PKR dapat  merampas kerusi DUN dan kerusi Parlimen dari  kedua-dua kawasan berkenaan,” tambah Nizar.

Nizar menambah walaupun kerajaan BN/UMNO memberikan pelbagai bantuan kepada rakyat, ini semuanya menggunakan wang rakyat untuk memancing undi, konon-kononnya UMNO/BN kerajaan yang baik namun sebaliknya rakyat diperbodoh-bodohkan rakyat tanpa disedari.

No comments:

Post a Comment