PERANGSANG…Jamawi (tengah) ketika memberikan kata perangsang kepada para pelajar yang terpilih menjadi anak angkat Pemuda Umno Tenom pada majlis tersebut.
Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID
SERAMAI dua belas orang pelajar dari lima buah sekolah menengah yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di daerah dipilih menjadi anak angkat kepada Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tenom.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tenom, Jamawi Jaafar berkata, program tersebut merupakan pendekatan pergerakan itu bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan, namun berpotensi untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan yang bakal mereka duduki.
“Kami memilih dua orang pelajar dari setiap sekolah bagi yang bakal menduduki (SPM) dan seorang bagi yang bakal menduduki peperiksaan (STPM). Pemilihan mereka dilakukan oleh pihak sekolah,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dan penyampaian bantuan kepada pelajar terlibat di Pejabat Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tenom baru-baru ini.
Menurut Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, antara pelajar yang dipilih datangnya dari SMK Tenom, SM St Anthony, SM Entabuan, SM Chung Hwa dan SMK Kemabong. Mereka bukan sahaja dibantu dari segi kelengkapan bagi menghadapi peperiksaan, juga turut dibantu dari segi kewangan bagi meringankan beban ibubapa mereka.
Tambah Jamawi lagi, program ini merupakan pendekatan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tenom dalam usahanya melahirkan modal insan yang cemerlang melalui pendidikan sebagai kesinambungan dengan program yang telah dilaksanakan sebelum ini.
“Kita melihat ada pelajar yang kurang berkemampuan tetapi berpontesi untuk berjaya dalam akademik mereka, namun kerana faktor kemiskinan keluarga meletakkan mereka tidak begitu bersemangat untuk meneruskan pengajian mereka dan melalui program ini, kita berharap mampu memberikan mitovasi kepada mereka untuk terus berjaya,” tambah Jamawi.
Katanya, mereka yang dibantu ini diharapkan akan dapat mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan yang mereka hadapi bagi membolehkan mereka dapat melanjutkan pengajian hingga ke peringkat unversiti dan ini merupakan pelaburan jangka panjang bagi membantu mengeluarkan keluarga mereka dari garis kemiskinan yang sebenarnya.
Selain program ini, Jamawi berkata dalam usaha pergerakan itu memperkasakan mutu pendidikan dan pencapaian cemerlang pelajar dalam bidang akademik mereka, pelbagai program telah dan akan diadakan seperti motivasi, seminar di samping bantuan kepada beberapa buah sekolah yang mengadakan program untuk memperkasakan mutu pendidikan di daerah ini.
No comments:
Post a Comment