Tuesday, 15 November 2011

LUBANG MAUT DI PARKWELL SANDAKAN



Saudara Pengarang,

PETANG kelmarin, 14 November 2011, sesudah solat maghrib, isteri saya meminta saya hantar beliau ke Supermarket Parkwell, di Batu 4, Sandakan untuk membeli sedikit barang keperluan rumah.

Memandangkan barang yang hendak dibeli tidaklah begitu banyak, maka saya buat keputusan untuk menunggu sahaja di kereta bersama anak-anak. Mungkin anak-anak rasa bosan menunggu dalam kereta, maka saya membenarkan mereka bermain-main dekat pondok telefon, lagipun hanya bersebelahan kereta sahaja.

Tanpa saya sedari, rupa-rupanya ada lubang yang sepatutnya ditutup tetapi terbuka dan telah mengakibatkan anak saya jatuh ke dalam lubang sedalam lebih kurang tiga kaki setengah dan mempunyai air bertakung yang amat busuk kerana dipenuhi lemak, minyak dan segala jenis kotoran.

Memandangkan saya masih baru di Sandakan, saya tidak pasti sama ada lubang ini di bawah seliaan Majlis Perbandaran Sandakan atau Pemaju Bandar Indah Jaya.

Saya tidak tahu bagaimana mahu meluahkan perasaan ketika itu kerana bercampur baur, antara geram, marah, kesal dan berbagai lagi. Bagaimana mereka yang sepatutnya bertanggungjawab atas masalah ini, boleh leka dan lalai memastikan keselamatan masyarakat setempat.

Bukan sekadar satu lubang, tetapi dua lubang yang keduanya betul-betul di depan pondok telefon di hadapan parkwell. Sesungguhnya mereka tidak melaksanakan tugas mereka sebaiknya, hanya sekadar melepaskan batuk di tangga, demi kepentingan diri, nyawa anak pula saya di pertaruhkan.

Sewajarnya pihak berkuasa tempatan pastikan semua lubang di parit atau lurang bertutup. Jangan sampai ada orang lain jatuh ke lubang dan maut; barulah sibuk satu Sabah. Fikirkanlah keselamatan pembayar cukai dan sayangilah kanak-kanak yang tidak berdosa.

Salam Hormat,

ANA MASHYUR

No comments:

Post a Comment