MANGSA…. Norhaidah berdiri di depan rumahnya yang bakal dibakar atau diroboh oleh Corak Nakhoda.
Oleh: SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI
MUNGKIN esok adalah hari paling malang dalam hidup seorang Anak Negeri Sabah, Norhaida Lampakas, 51, kerana pada bila-bila masa sahaja rumahnya akan diroboh atau dibakar Corak Nakhoda Sdn.Bhd setelah rumah menantunya dan semua tanaman kelapa sawitnya dimusnahkan beberapa hari lalu.
Norhaidah mewarisi tanah adat seluas 60 ekar yang ditanami dengan kelapa sawit dan telah mengeluarkan hasil sejak empat tahun lalu kini ranap menyembah bumi, tempat tumpah darahnya setelah nenek moyangnya berjuang berhempas pulas meneroka hutan rimba sejak Sabah masih dijajah British.
“Pada mulanya tanah ini seluas 120 ekar sebelum dibahagi dengan adik beradik. Kami telah ditanami dengan buah-buahan, pisang, ubi dan getah sebelum kami menanam sawit. Sudah 12 Ketua Menteri, belum pernah ada kekacauan, hinggalah sekarang ini tiba-tiba ada pihak yang dapat geran atas tanah adat kami,” kata Norhaidah yang mengakui beliau adalah generasi ke enam.
Tanah ini, kata Norhaidah adalah tanah adat warisan nenek moyang, oleh itu mereka tidak memegang sebarang geran kerana Kerajaan Negeri, termasuk Jabatan Tanah tidak mempunyai kuasa di atas tanah adat.
“Mungkin Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur sudah gila kerana mendesak ibu bapa dan nenek moyang kami memohon PT bagi Tanah Adat, sedangkan mengikut Undang-Undang, hanya PPHT mempunyai kuasa untuk menentukan hak kami, tanpa terlalu banyak birokrasi,” kata Norhaidah yang menjelaskan bahawa geran yang dikeluarkan di atas tanah adat adalah batal tidak sah.
Norhaidah adalah salah seorang daripada 482 Anak Negeri Sabah yang mendapat perintah pengusiran daripada Mahkamah Tinggi Sandakan bagi membolehkan Corak Nakhoda Sdn.Bhd yang dimiliki oleh tiga entiti iaitu Dewan Perniagaan Tiong Hua, Dewan Perniagaan Bumiputera dan Dewan Perniagaan Kadazandusun mengambil alih tanah yang telah dikeluarkan geran atas nama Corak Nakhoda Sdn.Bhd tanpa mengeluarkan hak tanah adat.
“Kami bukan sahaja kehilangan pendapatan RM3,000 sebulan, malah kehilangan tempat tinggal seperti burung layang-layang yang terpaksa tinggal di atas wayar telefon,” kata Norhaidah kesal.
ROBOH...Norhaidah menunjukkan rumah menantunya diroboh oleh pekerja syarikat tersebut dengan bantuan polis.
MUSNAH....Inilah kebun kepunyaan Norhaidah diradu oleh pekerja syarikat dengan kawalan ketat pihak Polis.
Menurut Norhaidah, sebelum beliau menerima surat pengusiran daripada Corak Nakhoda Sdn Bhd tiga bulan lalu, syarikat tersebut telah menggaji pekerja asing tanpa izin Indonesia dan Filipina untuk menceroboh dan menebang lebih 200 pokok durian yang sudah berbuah, pokok pisang dan beberapa tanaman lain.
“Bila kami jumpa pengurus syarikat tersebut, mereka memberitahu ini adalah arahan kerajaan negeri yang mahu mengambil sebahagian tanah kami untuk penanaman baru kelapa sawit, malahan dia cakap lagi sekiranya kami menetang tindakan syarikat tersebut pihaknya akan mengarahkan orang-orang Bugis akan membunuh semua orang Sungai yang ada di Kampung Malagatan,” kata Norhaidah dengan nada yang agak tersekat kerana terbayangkan kengerian.
Kata Norhaidah, ketika operasi penebangan tanaman dilakukan, PATI berkenaan diawasi pihak polis yang diupah sebagai pengawal keselamatan kerana bimbang penduduk kampung bertindak balas ketika dua buah traktor memusnahkan tanaman mereka.
“Di situlah kami nampak jelas kejahilan polis dan nyata polis selama ini kita sanjungi, kononnya untuk menjaga keselamatan masyarakat, tetapi mereka dengan jelas bersubahat dan bersekongkol dengan pihak penjenayah yang memusnahkan semua tanaman kami. Saya teramat sedih kerana daripada 10 orang polis itu, tiada seorang pun yang menunjukkan rasa simpati,” kata Norhaidah, malah memberi amaran akan melepaskan tembakan jika mereka berganjak walau seinci daripada tempat mereka berdiri.
Norhaidah turut kesal kerana tidak ada pemimpin Parti Pembangkang yang tampil membela mereka di mahkamah atau ketika polis mengugut Anak Negeri Sabah sehingga lidah mereka kelu untuk merayu.
“Inilah peluang pembangkang untuk merampas kerusi DUN atau Parlimen di Sabah kerana Anak Negeri Sabah sanggup bergolok bergadai untuk mempertahankan tanah adat mereka. Tidak payah kempen. Bantu kami dapatkan kembali tanah adat ini, kami akan sokong apa juga parti,” kata Norhaidah yang kesal kerana ketiga Dewan Perniagaan yang mewakili tiga etnik di Sabah telah menzalimi Anak Negeri Sabah.
No comments:
Post a Comment