OLEH: MEDIA PAS SABAH
“TUNTUTAN agar masyarakat Tidung dikitiraf sebagai Bumiputera Sabah yang dibuat oleh Presiden Kelab Masyarakat Tidung Tawau, Yakub Uton, mendapat sokongan kuat PAS Sabah,” demikian ditegaskan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hj. Hamzah Abdullah.
Kegagalan pemimpin UMNO/BN sejak puluhan tahun bagi memperbetulkan kepincangan ini, kata Haji Hamzah adalah bukti kukuh bahawa mereka tidak serius melaksanakan apa yang mereka gelar sebagai program transformasi negara.
"UMNO/BN memang hebat mencanangkan pelbagai slogan dan tema, tetapi hakikatnya mereka hanya serius melakukan sesuatu perkara jika membawa pulangan jutaan ringgit dalam bentuk habuan yang mereka perolehi," sambungnya lagi.
Masyarakat Tidung dan Brunei adalah penduduk asal Negeri Sabah tetapi kedua-dua suku kaum masyarakat ini dikategorikan sebagai pendatang dan tidak layak mendapat hak sebagaimana dinikmati oleh suku kaum Kadazan, Sungai, Suluk, Bajau, Simunol dan Murut yang dikategorikan sebagai Anak Negeri Sabah.
"Apakah usaha yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang sebahagiannya terdiri dari keturunan Brunei dan Tidung? Apakah mereka tidak malu digelar sebagai pemimpin, Menteri dan YB pendatang?" soal Hj.Hamzah lagi.
"PAS mempunyai bukti bagaimana individu yang mempunyai Sijil Lahir yang mencatatkan butiran bangsa sebagai Brunei dan Tidung tidak layak membeli tanah berstatus NT (Native Title).
“Berbeza dengan keturunan Cina, yang hanya membuat perakuan sebagai kononnya keturunan Sino-Native, mereka ini mempunyai kelebihan dan penghormatan dari Jabatan Tanah sehingga dipermudahkan permohonan mereka untuk menukar hakmilik geran tanah berstatus NT ke atas nama mereka. Ini bukan kenyataan perkauman, tetapi satu realiti," jelas Hj. Hamzah lagi.
Sehubungan itu, PAS mengajak masyarakat Tidung dan Brunei supaya menolak kerajaan yang ada sekarang dan memberi kepercayaan kepada pemimpin Pakatan Rakyat mentadbir negeri ini dalam PRU-13 akan datang. Insyaallah, PAS berazam dan komited bagi memperbetulkan pelbagai kepincangan yang telah gagal ditangani oleh UMNO/BN," rayu Hj. Hamzah.
No comments:
Post a Comment