Oleh : MEDIA PBRS
PARTI Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mengesa kerajaan persekutuan untuk mengambil pandangan yang diberikan oleh parti-parti tempatan Sabah mengenai kegusaran terhadap masalah pendatang asing, yang bukan sahaja membanjiri negeri ini, malah mendapat kad pengenalan Mykad seperti yang didakwa.
Ketua Pergerakan Pemuda PBRS N.37 Sook, Kahirin Bador berkata, pendirian parti terhadap masalah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negeri ini adalah jelas mahu satu penyelesaian dilakukan, kerana masalah mengenai PATI itu telah lama diperdebatkan oleh parti itu, sepertimana yang disuarakan oleh parti-parti komponen sama ada secara terbuka mahupun melalui mesyuarat tahunan perwakilan.
“Kegusaran kita mengenai masalah ini sudah berlarutan sekian lama. kita desak agar perhatian dan tindakan yang wajar dilakukan. Jangan biarkan rakyat tempatan di negeri ini merasa tidak dipedulikan.”
Beliau berkata, kebimbangan rakyat tempatan haruslah diberi perhatian dan wajar diberi keutamaan melalui penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (SSD) mengenai PATI dan dakwaan pendatang mendapat Mykad.
Kahirin yang juga Exco Pemuda PBRS Pusat berkata Pergerakan Pemuda mendesak kerajaan agar menubuhkan SSD diberi perhatian dengan serius.
“Kita hairan segelintir bangsa asing mengakui mempunyai Mykad, kita tidak tahu bagaimana mereka memperoleh Mykad itu, namun pemilikan mereka terhadap mykad telah menimbulkan perasaan marah di kalangan penduduk tempatan”.
Katanya, selagi tidak ada penyelesaian dilakukan oleh kerajaan Pusat berkaitan dengan pendatang asing, maka selagi itulah rakyat Sabah tetap mempersoalkannya.
Malahan kata Kahirin, media maya seperti facebook, blog, twiter telah menjadi saluran rakyat Sabah melepaskan perasaan mereka terhadap masalah yang tidak mencapai jalan penyelesaian.
Dengan adanya penubuhan SSD kata Kahirin, akan membuka ruang kepada kerajaan untuk mengatasi masalah itu.
“PBRS menyokong penubuhan SSD, perjuangan kami tentang masalah pendatang asing tidak pernah berakhir dan kami tidak pernah berputus asa,” kata Kahirin lagi.
Daerah Kecil Sook, kata Kahirin, hanya sebuah kawasan terpencil di pedalaman Sabah tetapi tidak terkecuali dibanjiri oleh PATI. Malahan kehadiran PATI itu juga telah menjejaskan pendapatan penduduk tempatan selain kes jenayah kerap berlaku yang dikaitkan dengan PATI.
Ketika Banci 1970, kata Kahirin, Sabah mempunyai 636,431 penduduk dan jumlah itu telah meningkat kepada 3.3 juta pada 2005.
“Ini menimbulkan kebimbangan kepada penduduk tempatan yang akhirnya akan menjadi penduduk minoriti di negeri sendiri,” katanya.
No comments:
Post a Comment