BANCUH….Jamawi bersama ibubapa sedangkan memasukan pasir ke mesin bancuhan simen semasa turut serta dalam gotong-royong tersebut.
Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID
SABAH wajar diberikan keutamaan dalam peruntukan yang membabitkan RM1 Bilon yang disediakan melalui tabung khas penyelenggaraan sekolah, khususnya keperluan mendesak sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak semasa membentangkan Bajet 2012, bulan lepas.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Tenom, Jamawi Jaafar berkata, kewajaran bagi Sabah diberikan keutamaan dalam peruntukan tersebut sememangya relevan memandangkan masih banyak sekolah, khususnya di luar bandar di negeri ini masih dalam keadaan daif kerana keperluan asas yang diperlukan masih belum mencukupi.
Mengambil contoh pembinaan sekolah-sekolah kabin yang dibina di beberapa buah daerah di negeri ini, walaupun telah dipasang dengan sistem pendawaian elektrik, namun tidak berfungsi apabila bekalan tenaga elektrik tidak dibekalkan, menjadikan pelajar terpaksa belajar dalam keadaan yang tidak selesa.
“Saya telah melawat ke beberapa buah sekolah khususnya di kawasan Tenom ini dan memang jelas kemudahan asas prasarana di beberapa buah sekolah begitu menyedihkan. Bahkan, saya fikir keadaan ini juga berlaku di daerah lain yang menjadi faktor utama kenapa kita menuntut agar Sabah diberikan peruntukan yang lebih dari peruntukan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri dan merasmikan program gotong-royong bersama Persatuan Ibu Bapa Guru SK Kemabong, Tenom, pagi kelmarin.
Menurut Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, bukan sahaja setakat sekolah kabin yang berhadapan dengan masalah ini, malah makmal komputer yang dibina sebelum ini juga gagal digunakan oleh para pelajar dan guru-guru kerana menghadapi masalah yang sama iaitu ketiadaan bekalan elektrik.
“Sebab itu, Sabah memerlukan perhatian dan peruntukan yang lebih tinggi agar segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan sebelum ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar dan ini sudah tentu akan turut membantu memperkasakan kualiti dan pencapaian akademik pelajar khususnya di luar bandar,” jelas Jamawi.
BELUM LENGKAP…Jamawi semasa melawat sekolah Kabin SK Kemabong yang belum dibekalkan dengan bekalan elektrik.
Selain itu, tambah Jamawi, keuzuran bangunan beberapa buah sekolah dan rumah guru juga memerlukan penyelenggaraan segera dari peruntukan tabung khas ini, sementara menunggu peruntukan untuk membina bangunan baru; sama ada bangunan sekolah mahupun rumah guru di kawasan yang terlibat.
Mengulas program gotong-royong tersebut, Jamawi berkata ia merupakan antara program yang mampu melestarikan lagi semangat kerjasama antara pihak sekolah, guru-guru dan ibubapa pelajar yang perlu diamalkan bagi mewujudkan budaya bekerja berpasukan demi kepentingan pelajar-pelajar yang belajar di sekolah berkenaan.
“Amalan murni dalam konsep bergotong-royong ini wajar dibudayakan sebagai amalan yang dapat menyelesaikan masalah kecil terutamanya dalam penyediaan kemudahan asas tanpa menunggu peruntukan dari kerajaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment