TAHNIAH …Kamarlin diiringi oleh Naib Ketua Pemuda Umno Sipitang Matbali Haji Musa; Guru Besar SAN Gadong Samilin Takri dan Pengerusi PIBG SAN Gadong Haji Ali Rahman Andan ketika menyampaikan sijil anugerah pelajar cemerlang kepada salah seorang pelajar di majlis tersebut.
Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID
KERAJAAN negeri tidak akan mengabaikan pelajar sekolah luar bandar dan pedalaman kerana mereka juga berhak untuk mendapat pendidikan yang baik dan sempurna.
Wakil Rakyat Lumadan, Kamarlin Haji Ombi berkata, pelbagai cara dan strategi digunakan untuk membangunkan sektor pendidikan serta menghasilkan modal insan berilmu di luar bandar.
“Bagi pelajar luar bandar yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah, kerajaan menyalurkan bantuan sewajarnya seperti kewangan dan peralatan belajar untuk memastikan mereka keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya ketika merasmikan hari kecermalangan Pelajar Sekolah Agama Islam Gadong, Beaufort, kelmarin
Hadir sama Naib Ketua Pemuda Umno Sipitang Matbali Haji Musa; Guru Besar SAN Gadong Samilin Takri dan Pengerusi PIBG SAN Gadong Haji Ali Rahman Andan.
Sehubungan dengan itu Timbalan Ketua Umno Bahagian Sipitang ini berharap ibubapa, serta pelajar sekolah akan memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan khusus dalam mencapai tahap kecermalangan akdemik masing-masing bagi membolehkan mereka mampu bersaing bagi mendapatkan tempat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Pendidikan merupakan bekalan utama bagi seseorang individu mampu merubah keadaan masa depannya, keluarga, masyarakat dan Negara. Justeru itu, kerajaan memberikan penekanan yang serius terhadap aspek pendidikan sebagai elemen penting untuk menjana kemajuan negara pada masa akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama Kamarlin yang juga Timbalan Presiden PBBS ini mengingatkan ibubapa agar turut memberikan perhatian yang sama terhadap pendidikan agama untuk anak-anak mereka.
Katanya, pendidikan yang seimbang antara akademik dan agama penting bagi membina sahsiah seorang pelajar itu kerana mereka bukan sahaja perlu memiliki kekuatan dari segi mental, namun perlu memiliki kekuatan rohani bagi membina jatidiri agar mereka tidak terjebak dengan elemen negatif yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
“Dalam bidang pendidikan agama juga pelbagai bidang boleh diterokai bagi seseorang pelajar yang ingin melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi kerana mampu memberikan jaminan masa depan, terutamanya dalam mencari peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian mereka,” jelas Kamarlin.
No comments:
Post a Comment