Oleh : MD IZWAN
KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen
(MP) mendakwa penerimaan dana atau sebarang kaitan dengan penyumbang dana
daripada Open Society yang dimiliki George Soros adalah satu bentuk
penderhakaan kepada Malaysia walaupun Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib
Razak sendiri pernah bertemu spekulator itu.
"Penerimaan dana
daripada Soros ini akan timbulkan persepsi kepada masyarakat serta merupakan
satu bentuk ancaman kepada demokrasi berparlimen dan raja. Ini adalah satu
penderhakaan!" kata MP Jasin, Datuk Wira Hj Ahmad Bin Hamzah semasa sidang
Dewan Rakyat, kelmarin.
Perbahasan melibatkan badan
bukan kerajaan (NGO), SUARAM dibangkitkan oleh MP Pasir Emas Datuk Ibrahim Ali
yang mendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) gagal menjalankan
tanggungjawab dalam memantau NGO tersebut.
Susulan pendedahan tersebut,
ia telah menimbulkan satu polemik baru melibatkan NGO di Malaysia walaupun
Najib dalam laporan media awal bulan lalu turut mengakui bertemu spekulator
mata wang asing, Soros tetapi tetapi atas dasar memenuhi permintaan yang dibuat
oleh spekulator mata wang tersebut.
Najib juga berkata pertemuan
tersebut tidak menjadi suatu kesalahan malahan berkata mantan PM, Tun Dr Mahathir
Mohamad turut pernah melakukan perkara sama bertemu Soros.
“Ya, saya ada berjumpa
dengan Soros. Ia hanya sekadar memenuhi permintaan beliau dan adalah satu
kunjungan hormat yang biasa.
“Lagipun dia (Soros) yang
meminta untuk berjumpa dengan saya,” kata Najib.
Selain itu, MP Umno tersebut
juga menuduh Open Society sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam menjatuhkan
negara-negara di Timur Tengah yang dikenali sebagai "Kebangkitan
Arab" (Arab Spring).
"Seperti yang dilakukan
oleh mereka di negara Arab, Open Society ini juga mampu lakukannya di Malaysia.
Ia akan timbulkan kebencian di kalangan rakyat kepada pemerintah dan
kemudiaannya berlakulah penggulingan kerajaan," tambah beliau.
Suaram menjadi sasaran
serangan kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas memfailkan kes ke atas firma
gergasi pembuat kapal perang Perancis, DCNS dengan mendakwa firma pertahanan itu membayar RM540
juta sebagai komisyen kepada syarikat Perimekar dalam perjanjian yang dimeterai
pada 2002 itu.
Tindakan membayar komisen
tersebut dianggap satu jenayah mengikut undang-undang Perancis.
Ekoran serangan tanpa henti
ini, Suaram, dalam kenyataan pada 5 September, menggesa kerajaan menerusi
agensi-agensinya menghentikan tindakan diskriminasi dan keterlaluan ini, serta
berkata ia merupakan satu lagi langkah terdesak kerajaan untuk memaksa Suaram
menghentikan kes mahkamah di Perancis melibatkan kapal selam Scorpene.
Suaram sebelum ini mengakui
menerima dana dari beberapa negara luar termasuk Amerika Syarikat (AS) dan
Finland, namun penasihat Suaram, Dr Kua Kia Soong mempertahankan pendiriannya
melibatkan pembiayaan dana daripada negara asing serta berkata ia bukan suatu
kesalahan disisi undang-undang.
No comments:
Post a Comment