Thursday, 1 November 2012

SAMPAI BILA ST GABREIL TERUS BERSETINGGAN?





Saudara Pengarang,

SEKOLAH Jenis Kebangsaan ST.Gabreil pada mulanya  ditubuhkan oleh  Persatuan  Gereja-Gereja Kristian Sandakan dan dibina di atas tanah persatuan,  termasuklah pentadbirannya. Pada ketika itu para pelajarnya tergolong dari kalangan anak-anak berbangsa Cina yang kebanyakkan ibu bapa mereka adalah orang elit dan ternama serta  kaya raya.

Setelah Sabah merdeka, sekolah unggul ini telah dibuka kepada semua lapisan masyarakat, khususnya anak-anak bumiputera. Alhamdulilah bila peluang ini dibuka, maka lahirlah anak-anak Bumiputera yang cerdik dan pandai.

Hari ini, hampir 80% pelajar St.Gabreil terdiri daripada anak-anak tempatan yang berketurunan Bumiputera Islam Sabah sehingga menyebabkan sekolah tertua ini dinaik taraf daripada SRJK kepada SRK St.Gabreil.





Malangnya, pencapaian rekod pelajaran St.Gabreil ini tidak diiringi dengan penaiktarafan prasarana sekolah kerana sejak tujuh tahun yang lalu, sekolah ini mengalami keruntuhan bangunan kerana terlalu usang dan ketika itu  di sahkan oleh JKR dan Bomba  tidak selamat untuk dihuni.

Senario malang tersebut telah menyebabkan St Gabreil terpaksa 'bersetinggan' di SRK Sri Melanta Jaya sehingga ke hari ini.

Guru Besar St Gabreil bersama PIBG telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mendapatkan kelulusan membaik pulih sekolah tumpang ini setelah dianak tirikan sekian lama, namun sehingga ke hari ini, ketika pilihanraya mula mengetuk pintu, belum ada sebarang berita diterima.

Selaku pemimpin (pembangkang) di Parlimen Batu Sapi, saya menggesa kerajaan yang ada pada hari ini dan Wakil Rakyatnya agar mengambil tindakan segera demi untuk menyelamatkan status sekolah unggul ini agar tidak terjejas.

Persoalannya, kenapa Kementerian Pelajaran mengambil masa terlalu lama, seolah-olah kerajaan BN sudah muflis, sedangkan SK Kg Bahagia (untuk Warga IMM13) dengan secepat kilat boleh dinaik taraf menjadi sekolah tercanggih serta tapak pembinaanya tersedia?




Setahu saya, pembinaan SK Kg. Bahagia ini oleh Kerajaan Barisan Nasional terdahulu adalah untuk memberi pendidikan khas kepada anak-anak PATI dari Filipina supaya apabila mereka  membesar nanti,  mempunyai pengetahuan ilmu dan seterusnya tidak melakukan jenayah.

Penduduk Batu Sapi pada awalnya  menyokong tindakan kerajaan ketika itu, tetapi tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan hari ini sehingga telah menganak-tirikan sekolah yang terdahulu daripada SK Kg Bahagia.

Secara logiknya kenapa perlu SK Kg.Bahagia ini dinaik taraf dan kenapa tidak sekolah SRK Kg Gas yang dinaik taraf sedangkan satu Sandakan tahu status Kg.Gas adalah Perkampungan Bumiputra Sabah dan Kg. Bahagia ini adalah penempatan PATI Filipina. 

Adakah disebabkan mahu menjaga pengundi-pengundi hantu supaya tidak berpihak kepada pembangkang atau lebih tepat kerajaan hari ini mementingkan PATI daripada rakyatnya sendiri .

Sehubungan itu, saya mencabar Menteri Pelajaran turun padang untuk menjelaskan perkara ini kerana mengabaikan prasarana pendidikan dan mengutamakan PATI adalah penderhaka kepada negara.
Salam Hormat,

ZAINUDDIN HASSAN
Timbalan Ketua Cabang PKR Batu Sapi.

No comments:

Post a Comment