Oleh : MARKUS LIM
PENULIS pernah terserempak
dengan seekor katak ketika melalui sebuah kawasan paya tidak beberapa lama
dahulu. Wajahnya cukup hodoh manakala saiz badan katak itu pula agak luar biasa
berbanding katak biasa.
Kelihatan ketika itu, katak
tersebut sedang menunggu untuk memerangkap mangsa. Mujur, katak tersebut tidak
merasa terancam dengan kehadiran penulis di kawasan berkenaan. Malahan, katak
itu seolah-olah reda dengan kehadiran penulis.
Haiwan yang tergolong dalam
keluarga amfibia itu mungkin tidak sehebat harimau bintang mahupun seekor
cheetah, namun sekurang-kurangnya ianya mampu berdiri sama tinggi sebagai
seekor haiwan yang digeruni; tidak seperti segelintir katak-katak lain yang
tidak bermaruah dan berintegriti.
Katak yang dimaksudkan
penulis merujuk kepada katak politik yang semakin berleluasa sejak kebelakangan
ini. Katak-katak politik ini nampaknya lebih rela menghambakan diri mereka
dengan elemen kekayaan, kuasa dan pengaruh bagi meningkatkan mobiliti sosial.
Mereka juga tidak mempunyai
rasa malu di atas tindakannya sebaliknya percaya ianya adalah cara terbaik
untuk mencipta kejayaan. Soal prinsip dan ketepatan pada janji hanyalah retorik
semata-mata.
Apabila Ahli Dewan Undangan
Negeri Jelapang, Datuk Hew Yit Foong mengumumkan bahawa beliau akan
mempertahankan kerusi berkenaan di bawah tiket BN, ia bukan sesuatu yang
mengejutkan. Sebagai seorang pemimpin politik, godaan untuk melepaskan jawatan
dan pangkat terlalu sukar untuk dilakukan.
Cumanya, apa yang
mengejutkan ialah keberanian ADUN Jelapang itu untuk meminta bertanding di
kawasan terbabit di bawah tiket BN. Apakah hak YB Yit Foong untuk menuntut
supaya membenarkan beliau bertanding di bawah tiket BN?
Malah menurut Presiden MCA,
Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, persoalan untuk membenarkan Yit Foong bertanding di
bawah tiket BN tidak pernah dibangkitkan dengan Yang Amat Berhormat Perdana
Menteri.
Oleh itu, dimanakah
kewajaran YB Yit Foong untuk menuntut hak sedemikian? Yit Foong perlu ingat
bahawa dirinya sudah pun mengkhianati mandat dan kepercayaan yang diberikan rakyat pada PRU 2008 lalu
dengan berpaling tadah menjadi wakil rakyat Bebas.
Beliau juga harus berpijak
pada bumi nyata dan menerima hakikat bahawa imejnya sebagai seorang figura awam
sudah pun tercalar ekoran tindakan itu. Tuntutan untuk bertanding di Jelapang di bawah tiket
BN seolah-olah memberi gambaran Yit Foong sedang cuba mendapatkan 'political
bargaining' dan menggambarkan dirinya seorang calon yang boleh menang.
Mujurlah Soi Lek tidak
termakan dengan hujah tersebut. Soi Lek
dilihat mengambil pendekatan berhati-hati dalam isu ini kerana sebarang salah
langkah akan mengundang padah yang serius.
Jelas, ianya adalah satu
keputusan yang tepat daripada Soi Lek. Tidak ada jaminan kukuh bahawa selepas
ini ADUN Jelapang itu tidak akan berubah hati. Sememangnya sukar untuk kita
semua menduga tindak-tanduk pemimpin politik. Kebanyakan tindakan berkisar
kepada motif politik. Dalam sekelip mata, mereka boleh berubah. Berubah sama
ada ke arah kebaikan atau sebaliknya.
Oleh itu, setiap parti
politik harus berwaspada dengan kewujudan katak-katak politik yang dimaksudkan.
Katak-katak politik ini ibarat barah yang boleh merosakkan reputasi dan nama
baik profesion kepolitikan. Sering kali orang ramai melihat politik sebagai
sesuatu yang menjijikkan namun apa yang membuatkan politik itu jijik dan kotor
ialah si pelakunya.
Kepada parti-parti politik
baik di pihak pemerintah mahupun pembangkang, pemimpin-pemimpin politik
sebegini tidak seharusnya mendapat tempat. Rakyat pula perlu menghantar mesej
jelas dengan menolak katak-katak politik pada PRU akan datang.
Selagi prinsip dan integriti
mereka terus dipersoalkan, rakyat mempunyai pilihan untuk memilih pemimpin lain
yang lebih bertanggungjawab selaras dengan aspirasi rakyat.
No comments:
Post a Comment