Oleh: JACKSON LU
TENOM: Kerajaan digesa khususnya
Kementerian Infrastruktur Sabah agar menunaikan kata-kata mereka (walk the
talk) untuk mempertingkatkan perkhidmatan Keretapi Negeri Sabah yang telah
wujud sejak zaman kolonial lagi supaya rakyat termasuk pelancong akan mendapat
manfaatnya.
Ini disebabkan rakyat
seakan-akan kebosanan mendengar kenyataan yang serupa berhubung perkara itu
yang pernah diungkapkan oleh pemimpin mereka (Barisan Nasional) sejak tahun
2009 tetapi sehingga sekarang tiada tanda-tanda telah dilaksanakan.
Demikian dinyatakan bekas
calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) MP Tenom tahun 2008 Adris Taripin (gambar)
pada Sabtu yang mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri
Pembangunan Infrastruktur Tan Sri Joseph Pairin Kitingan baru-baru ini
berhubung cadangan kerajaan meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan Jabatan Keretapi
Negeri Sabah (JKNS).
“Kami berharap kerajaan
benar-benar membuktikan janji mereka kepada rakyat khususnya penduduk di sepanjang
landasan Pangi-Rayoh dan seterusnya ke Beaufort (kerana) niat kerajaan bukan
baru, malah ia bermula sejak tahun 1994 lagi.
“Kita juga mahu mempamerkan
kemodenan infrastruktur kita di mata pelancong yang berkunjung ke pusat riadah 'White
Water Rafting' di Pangi-Rayoh bahawa kemudahan kita sudah beralih ke tahap
moden dan selesa untuk setiap pengguna supaya eko-pelancongan di situ semakin
rancak, terutama pertambahan kedatangan pelancong asing,” tegas Adris.
Adris menambah, adalah tidak
wajar bagi kerajaan BN untuk tidak mentransformasikan perkhidmatan keretapi
yang telah berkhidmat kepada masyarakat lebih 30 tahun lalu termasuk menukar
ganti jentera lokomotif kepada jenis baru yang lebih berkeupayaan tinggi
termasuk gerabak-gerabak penumpang.
Pernah berlaku beberapa
ketika dulu, kata Adris, apabila jentera lokomotif mengalami kerosakan teruk
sehingga tidak ada langkah langkah alternatif lain dapat dilakukan memaksa
perkhidmatan harian keretapi ke Pangi-Rayoh dan seterusnya ke Beaufort terpaksa
ditutup sehingga berminggu-minggu lamanya.
“Apabila perkhidmatan
ditutup, banyak perkara yang turut bermasalah seperti pengangkutan guru-guru
yang mengajar ke SK Pangi termasuk beberapa murid sekolah, para peniaga sayuran
dan buah buahan ke Beaufort dan juga para pelancong asing yang ke pusat riadah
white water rafting Pangi-Rayoh.
“Apa yang lebih penting
ialah keseriusan kerajaan dalam melengkapkan kemudahan kerajaan yang telah
dirancang lebih awal tanpa menunggu di saat -akhir khususnya apabila sesuatu
pilihanraya umum menjelang tiba,” tegas Adris.
Sekitar tahun 2008, satu
insiden terburuk pernah berlaku apabila kepala keretapi (jentera lokomotif)
tergelincir dari landasan sebelum terbabas dan terjunam ke Sungai Padas kira-kira
2 km dari stesen Tenom menuju ke Beaufort disebabkan landasan yang rosak akibat
beberapa batang 'seliparnya' terlibat dengan tanah runtuh.
Keretapi yang membawa 3
gerabak penumpang itu turut mengorbankan satu nyawa dan 3 cedera parah manakala
lebih 10 penumpang mengalami cedera ringan dan dimasukkan ke dalam wad Hospital
di dalam kejadian tersebut.
No comments:
Post a Comment