KOTA KINABALU : Suruhanjaya
Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat masalah pendatang tanpa izin di Sabah
diberitahu Rabu bahawa sejumlah 127,949 kad pengenalan dikeluarkan di Sabah
dari 1979 hingga 1996 disyaki mempunyai masalah.
Roslan Alias, Penolong Ketua
Unit Khas Sabah dan Sarawak, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata daripada
jumlah itu 91,656 kad pengenalan dibatalkan selepas disyaki pengeluarannya
tidak teratur.
Ketika diminta menjelaskan
bagaimana perkara itu boleh berlaku sama ada ia satu kecuaian, Roslan berkata
JPN telahpun menjalankan siasatan pada tahun 1996 apabila ada kakitangan
jabatan itu ditahan terhadap penyelewengan kad pengenalan itu.
Beliau berkata demikian
ketika diminta memberikan penjelasan oleh seorang anggota panel Suruhanjaya,
bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu.
Semasa menjelaskan apa tugas
unit khas itu, saksi kesembilan itu berkata antaranya menjadi urusetia kepada
Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kad Pengenalan Sabah.
Menjawab soalan pegawai
pengendali Datuk Azmi Ariffin, Roslan berkata fungsi jawatankuasa itu antaranya
untuk menilai semua permohonan dikenal pasti bermasalah di Sabah.
Beliau berkata permohonan
yang dikatakan bermasalah itu membabitkan butiran pemohon yang tidak jelas,
juga masalah cap jari.
Roslan berkata jawatankuasa
itu setakat ini hanya ditubuhkan di Sabah kerana didapati sejumlah permohonan
kad pengenalan yang bermasalah di negeri itu perlu diberikan pertimbangan
kerana permohonan itu tidak dapat diluluskan melalui penilaian biasa seperti di
kaunter.
Beliau berkata anggota
jawatankuasa itu yang ditubuhkan sejak 1999 terdiri daripada pegawai JPN Sabah
yang dipengerusikan ketua pengarahnya, timbalan ketua pengarah operasi,
pengarah bahagian kad pengenalan dan ketua unit khas Sabah dan Sarawak.
Roslan berkata pada 1972 kad
pengenalan plastik dikeluarkan bagi menggantikan 'Orange IC' yang mempunyai
tiga kategori iaitu berwarna biru kepada penduduk Sabah bertaraf warganegara,
warna merah kepada penduduk Sabah bertaraf pemastautin tetap manakala hijau
bagi taraf pemastautin sementara diberikan kepada mereka yang tidak mempunyai
apa-apa taraf.
Beliau berkata pada tahun
1972 hingga 1990 dokumen yang perlu diserahkan kepada JPN untuk mendapatkan kad
pengenalan plastik ini ialah surat beranak atau sijil taraf penduduk.
"Sijil taraf ini perlu
disokong oleh penghulu dan disahkan pegawai daerah atau penolong pegawai daerah
yang menyatakan pemohon lahir di tempat itu," katanya sambil menambah
bahawa JPN tidak mengesahkan semula maklumat dalam permohonan itu kerana ia
telah disokong oleh penghulu.
Roslan berkata sementara kad
pengenalan mereka diproses pemohon diberi resit sementara yang mempunyai nombor
kad mereka.
Sementara itu, lima bekas
tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berhubung pengeluaran kad
pengenalan biru kepada pendatang asing, turut memberikan keterangan mereka.
Mohd Nasir Sungip, bekas Timbalan
Pengarah di bahagian kad pengenalan, JPN Sabah, berkata beliau ditangkap pada
30 Mei 1995 dan ditahan di pusat tahanan perlindungan Kamunting, Perak, hingga
30 Mei 1998 kerana dituduh mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang asing
yang tidak layak mendapatkannya.
Ketika ditanya adakah dia
mendapat apa-apa imbuhan daripada perbuatan yang dilakukan itu, beliau berkata
tidak.
Ramli, pengarah JPN Sabah
pada 1993 hingga 1995 pula berkata beliau ditahan di Pusat Tahanan Kamunting
pada 1995 hingga 1997 berhubung pengeluaran kad pengenalan bermutu tinggi
kepada pendatang.
Beliau mendakwa melakukan
perbuatan itu kerana menerima arahan daripada seorang Bekas Timbalan Menteri.
Akop Damsah, ketua pejabat pendaftaran
di JPN, Sabah dari 25 Mei 1972 hingga Jan 1996 berkata beliau dipanggil untuk
ke Kuala Lumpur atas tugas khas masa itu dengan beberapa pegawai lain.
Bekas tahanan ISA itu
memberitahu antara tugasnya ialah menandatangani kad pengenalan yang telah
diluluskan.
Menjawab soalan Azmi, saksi
ke-14 itu berkata lebih kurang 40,000 lebih kad pengenalan ditandatanganinya
dalam masa sebulan.
Saksi itu berkata pemohon
yang paling banyak memohon kad pengenalan itu adalah dari Filipina dan
Indonesia.
Kee Dzulkifly Kee Abdul
Jalil yang bertugas sebagai penulis kad pengenalan di JPN, Kota Kinabalu pada
1986 hingga 1995, berkata sepanjang tempoh dia bekerja lebih kurang 100,000 kad
pengenalan telah diberikan kepada warga Filipina, Indonesia dan Pakistan.
Satu unit khas dikenali
sebagai G17 ditubuhkan pada 1990 terdiri 17 anggota bagi membuat kerja-kerja
memproses kad pengenalan dan sijil kelahiran, kata bekas tahanan ISA itu.
(Bernama)
No comments:
Post a Comment