Monday, 21 January 2013

KURUP KATA PELARIAN MORO PATUT PULANG





         
Oleh : NUR ADIKA BUJANG
           
PELARIAN dan pendatang Moro di Sabah sepatutnya mengambil peluang daripada perjanjian damai yang ditandatangani antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kerajaan Filipina untuk pulang ke kampung halaman masing-masing dan memajukan Mindanao, kata Tan Sri Joseph Kurup.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu berkata, beliau yakin sumbangan rakyat Moro di Sabah amat diperlukan di tanah air mereka yang kini kembali aman.

"Berikutan pengakuan kerajaan mereka (Filipina) bahawa Mindanao kaya dengan sumber asli, maka saya percaya rakyat Moro perlu kembali dan memanfaatkan peluang yang terdapat di sana.

"Kerajaan mereka juga meminta kerajaan kita (Malaysia) membantu mereka membangunkan wilayah mereka dan kita bersedia berbuat demikian. Bagaimanapun, rakyat mereka perlu menolong diri sendiri terlebih dulu," katanya kepada Bernama di Kota Kinabalu.

Kurup, yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli, berkata demikian bagi mengulas seruan pengerusi MILF Murad Ibrahim semalam agar rakyat wilayah itu yang berada di Sabah, pulang ke tanah air mereka.

Katanya rakyat Moro tidak perlu takut untuk pulang ke wilayah asal mereka berikutan perjanjian damai yang ditandatangani antara MILF dan kerajaan Filipina tahun lepas, hasil peranan penting yang dimainkan Malaysia.

Kurup berkata peranan Malaysia dalam proses damai itu merupakan satu lagi usaha ikhlas kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantu rakyat Sabah menyelesaikan masalah pendatang yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri di negeri ini, termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang asing tanpa izin di negeri ini. (Bernama)

No comments:

Post a Comment