Friday, 25 January 2013

SALLEH TIDAK PERLU RISAU TENTANG ANWAR







Oleh: JACOB BALANG

KENINGAU: Cabaran Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak yang meminta Ketua Pembangkang Dato'Seri Anwar Ibrahim memberitahu perkara sebenar mengenai pendatang asing tanpa izin (PTI) kepada Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI), dapat dibayangkan Umno Sabah seolah-olah sudah ada petanda takut bayang-bayang mereka sendiri.

Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Keningau Risham Mail berkata demikian pada Rabu sebagai membidas kenyataan Salleh baru baru ini di mana antara lainnya beliau (Salleh) seakan-akan bimbang bahawa berkemungkinan Anwar tidak akan memberi kesaksian yang tepat.

Salleh dipetik sebagai berkata bahawa Anwar perlu berbuat demikian kerana beliau adalah Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu malahan beliau seorang yang amat berkuasa dan tahu apa yang berlaku di Sabah.

Tegasnya, Datuk Seri Salleh yang juga merupakan Speaker Dun Sabah, beliau tidak perlu bimbang sehingga mempastikan Anwar memberi maklumat yang tepat dan memberitahu perkara yang sebenar kepada RCI.

Adalah kerana Anwar lebih peka tentang tanggung jawabnya dan tidak perlu ditunjuk ajar apa yang perlu dilakukannya. Lebih-lebih lagi ketokohan Anwar sebaris dengan pemimpin pemimpin politik lain di peringkat antarabangsa, tegas Risham.

“Anwar merupakan pemimpin yang bertanggung jawab dan berhemah tinggi...kita yakin dengan kewibawaannya untuk memberi keterangan sebagai saksi dalam prosiding RCI (jadi) kenapa bimbang?

“Kita sedia maklum bahawa kedudukan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu dan diberi banyak tanggung jawab mengenai hal ehwal politik di Sabah, namun kuasa untuk memberi keputusan adalah terletak di tangan Perdana Menteri dan Kabinetnya jika berhubung kait dengan polisi kerajaan,” tegasnya.

Sehubungan itu, Risham tidak menafikan malah bersetuju dengan pendapat Datuk Seri Salleh bahawa sebarang kesimpulan setakat ini dan menyalahkan pihak tertentu selepas mendengar keterangan beberapa saksi iaitu bekas tahan ISA adalah tidak wajar dimuktamadkan kerana prosiding RCI masih berjalan.

Bagaimana pun tegasnya, perasaan benci dan geram oleh rakyat apabila mengetahui liku-liku berlakunya punca kebanjiran PATI dan pemilikan kerakyatan serta Kad Pengenalan negara ini tidak dapat disanggah kerana mereka (rakyat) juga mempunyai hak untuk mempertahan hak asasi negara ini dari terus diperkotak-katikkan.

No comments:

Post a Comment