Oleh : BOO SU-LYN
KOTA KINABALU : Dua orang
warga asing Pakistan dan India memberitahu inkuiri Suruhanjaya Di Raja (RCI)
mengenai pendatang asing mengakui mereka mendapat kad pengenalan biru kurang
dari 10 tahun selepas tiba di Sabah pada tahun 1980an.
Mohamed Hussein, dilahirkan
di Pakistan, dan Aziz Kasim, dilahirkan di Tamil Nadu, India, berkata mereka
menukarkan tempat lahir dalam kad pengenalan biru Malaysia kepada Tawau dan
Kunak di Sabah.
“Dalam kenyataan kamu kepada
pegawai penyiasat suruhanjaya ini, kamu kata kamu bekerja di Tawau pada tahun
1988, seorang warga Pakistan dan beberapa rakyat Malaysia bertanya adakah kamu
mahukan pasport Malaysia, dan memberitahu syaratnya jika kamu mahu tinggal di
Malaysia, tolong kerajaan dengan mengundi,” kata pegawai Jamil Aripin di RCI
hari ini.
“Mereka berikan saya kad
pengenalan,” kata Mohamed, menambah beliau juga menerima pasport Malaysia.
Mohamed berkata beliau tiba
di Sabah untuk mencari pekerjaan dan menerima kad pengenalan biru dua atau tiga
tahun kemudian.
Beliau menambah turut
mengundi empat hingga lima kali pilihan raya semenjak itu.
Aziz berkata beliau tiba di
Sabah pada tahun 1980 dan mendapat kad pengenalan biru pada 1987.
Tetapi mengikut
Undang-Undang Kewarganegaraan 1964, seseorang yang mahu menjadi warganegara
Malaysia melalui naturalisasi mesti menjadi penduduk tetap sehingga 12 tahun
dan berada di Malaysia lebih dari 10 tahun.
Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak berkata semalam bahawa tidak ada salahnya memberi kewarganegaraan
kepada warga asing asalkan ia diberi secara sah melalui undang-undang.
Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana
Menteri paling lama berkhidmat — dari 1981 hingga 2003 — dituduh menjadi dalang
kepada 'Projek IC', di mana kewarganegaraan didakwa diberikan kepada pendatang
asing sebagai pertukaran untuk mendapatkan undi.
Namun begitu bekas ketua
menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh, yang mentadbir negeri dari 1976 hingga
1985 menafikan kewujudan 'Projek IC'.
Dr Mahathir berkata
pendatang asing memang menerima kewarganegaraan, tetapi menegaskan ia masih 'mengikut
undang-undang'.
Aziz berkata pegawai
kerajaan bertemu dengannya dan rakan sekerjanya di sebuah restoran di negeri
ini pada tahun 1987 dan menawarkan kad pengenalan biru, tetapi beliau tidak
ingat dari jabatan mana pegawai kerajaan itu.
“Selepas empat bulan,
pegawai tersebut datang semula dan berikan kamu kad pengenalan biru?” tanya
Jamil.
“Ya,” kata Aziz, 54, yang
kini bekerja sebagai seorang tukang masak.
Beliau menambah beliau
menerima pasport Malaysia pada tahun 1995, tetapi hilang pasport Indianya.
Aziz berkata beliau mengundi
sebanyak empat kali, termasuk pilihan raya negeri dewan undangan negeri Likas
tahun 1990 dan 1994.
Mahkamah tinggi memutuskan
pilihan raya di Likas pada tahun 1999 adalah tidak sah selepas mendapati daftar
pemilih mempunyai pengundi hantu, termasuk warga negara asing.
Aziz berkata beliau
menganggap dirinya sebagai rakyat Malaysia dan tidak mahu pulang ke India,
menambah ketiga-tiga anaknya mempunyai MyKad.
Mohamed, 48, berkata orang
yang memberi kad pengenalan biru itu memberitahunya untuk mendaftar sebagai
pengundi, tetapi tidak mencadangkan parti politik mana yang perlu diundi.
“Adakah kamu masih warga
Pakistan?” tanya Jamil.
“Tidak, saya rakyat
Malaysia,” kata Mohamed, yang memakai kopiah putih.
Mohamed dan Aziz berkata
mereka tidak mempunyai sijil kelahiran dari negara asal.
Inkuiri akan diteruskan pada
29 Januari oleh bekas ketua hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip
Kiong. (TMI)
No comments:
Post a Comment