Saturday, 23 March 2013

TUNAIKAN IMBUHAN PEJUANG DARURAT





 Oleh: JACOB BALANG

TENOM: Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) cawangan disini Haji Maribin Rugin (gambar), menggesa kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar menunaikan janji janji mereka sebelum ini untuk memberi imbuhan sebanyak RM3,000 setiap seorang anggota PDRM yang pernah berkhidmat semasa tempoh darurat.

Beliau berkata, imbuhan tersebut diumumkan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet Negara untuk tahun 2012, di mana ekoran dari pengumuman itu sebahagian besar daripadanya telah pun menerimanya.

Maribin menegaskan bahawa tujuan imbuhan tersebut sebagai mengenang jasa anggota PDRM yang terlibat dengan tugas tugas mempertahankan kedaulatan Negara menentang serangan komunis semasa darurat antara Tahun 1950-an sehingga tahun 1970-an.

“Kita kesal kerana seolah olah janji itu meleset daripada matlamat asalnya kerana ramai yang layak menerimanya kini tertunggu tunggu bila ianya menjadi kenyataan.

“Malahan ada yang tanpa segan silu berkata, kalau mahu bayar, bayar sahaja tanpa banyak alasan dan kalau pun tak mahu bayar lebih baik berterus terang supaya kita tidak tertunggu tunggu...tidak baik kami diperlakukan sedemikian rupa,” kata beliau pada Selasa.

Katanya lagi, beliau kesal kerana ramai ahli ahli dari persatuan itu yang telah disenaraikan layak untuk mendapat imbuhan tersebut namun ia terpaksa dilupakan sahaja oleh keluarga mereka selepas ahli itu telah meninggal dunia.

Dalam pada itu, ketika menyentuh perkembangan lain, Maribin turut sependapat dengan syor Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) yang diutarakan Mutang Dawat baru baru ini untuk menaiktarafkan aset dan kelengkapan senjata di beberapa Balai Polis di Pedalaman terutamanya daerah Nabawan dan pembinaan Balai Polis Kemabong adalah tepat sekali.

Maribin yang juga bekas anggota Pasukan Polis Hutan (PDRM) berpangkat Sarjan dan pernah bertugas menentang komunis di Sarawak sekitar tahun 1972 menegaskan bahawa sudah sampai masanya Pasukan Keselamatan khususnya PDRM ditingkatkan keupayaan persenjataan mereka untuk menentang pengganas sepertimana apa yang berlaku di Tanduo Lahad Datu baru baru ini.

“Dua faktor penting perlu ada dalam pasukan dimana peralatan atau aset logistik peperangan dan disiplin tinggi perlu ada pada diri setiap perwira kita...kerana tanpa disiplin yang tinggi menyebabkan ada anggota yang dengan sewenang wenangnya membocorkan kerahsiaan pasukan.

“Apa tah lagi jika segala rahsia itu jatuh ke tangan musuh..ianya amat membahayakan pasukan,” tegas Maribin sambil merujuk kepada laporan terdapat kes segelintir anggota yang difahamkan menjadi pemberi maklumat kepada pengganas Sulu baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment