Oleh : DATUK SERI WILFRED
BUMBURING
SAYA menyokong penuh
cadangan dan gesaan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim agar kerajaan
memanggil satu sessi perbincangan meja bulat peringkat Parlimen untuk mencari
penyelesaian terhadap pencerobohan oleh anasir asing di Lahad Datu yang kini
sudah menular ke daerah lain di Sabah.
Dalam hal sama, kerajaan
Negeri Sabah juga harus berbuat demikian melalui Jawatankuasa Keselamatan di
peringkat negeri yang turut melibatkan kerajaan dan pihak pembangkang.
Saya juga menyeru kepada kerajaan
untuk memberikan maklumat serta merta dan tepat kepada rakyat mengenai
perkembangan sebenar dan terkini dan jangan membiarkan rakyat bergantung kepada
berita dari luar negara; khususnya berita melalui talian dari Filipina yang
saya pasti tidak memberikan maklumat sebenar yang memihak kepada negara kita.
Bagi pihak rakyat Malaysia
di Sabah, saya menyalahkan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir sebagai
satu-satunya orang yang bertanggungjawab kepada keadaan yang dihadapi oleh
rakyat Sabah sekarang akibat daripada Projek IC yang dimulakannya; di mana
ribuan rakyat asing telah diberikan kad pengenalan, terutamanya mereka yang
datang dari Filipina sama secara sah atau tidak atas alasan yang hanya dia
sendiri yang tahu.
Saya juga sama sekali tidak
setuju dengan kenyataan beliau yang mengatakan bahawa pasukan keselamatan kita
tidak melepaskan tembakan ke arah pengganas atas alasan mereka adalah Islam.
Pandangan beliau ini bertentangan dengan pendirian yang diambil oleh pihak
berkuasa ke atas insiden Memali and puak Al-Maunnah di Sauk dan kenyataan yang beliau
keluarkan merupakan satu penghinaan kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia secara
keseluruhan dan orang Sabah secara khusus.
Keadaan di Lahad Datu
sepatutnya boleh dikawal dan kehilangan nyawa di kalangan anggota keselamatan
kita boleh dielakkan sekiranya pihak berkuasa telah mengambil langkah yang
sama.
Pencerobohan oleh anasir
asing dan seterusnya kehilangan nyawa di kalangan warga kita boleh dianggap
sebagai satu tindakan menyerang kedaulatan negara kita dan satu cabaran
langsung yang ditujukan kepada DYMM Yang DiPertuan Agong.
Oleh itu segala usaha
seharusnya telah diambil secara langsung bagi menangani masalah ini. Kegagalan
dalam menangani krisis ini secara serta merta menunjukkan bahawa sememangnya
kerajaan persekutuan telah gagal untuk melindungi kita dari pencerohohan anasir
asing.
Sehubungan dengan perkara
ini, saya menyeru kepada semua pihak untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada
pasukan keselamatan kita untuk menjalankan tugas mereka dalam mempertahankan
kedaulatan kita dan saya juga menyeru kepada semua pihak untuk tidak
menyebarkan maklumat yang mungkin akan menjejaskan operasi yang mereka
jalankan.
Saya sesungguhnya bersimpati
dengan keluarga wira kita yang telah terkorban; kehilangan nyawa seperti ini
boleh dielakkan sekiranya kerajaan persekutuan telah mengambil tindakan pantas
sebaik sahaja kedaulatan negara kita berhadapan dengan ancaman sepertimana yang
telah berlaku di Lahad Datu.
Saya juga menyuarakan rasa
turut sedih dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga anggota keselamatan
yang telah terkorban dan berdoa agar mereka tabah menghadapi suasana yang
menyedihkan ini. Inilah doa ikhlas dari saya.
No comments:
Post a Comment