Tuesday, 5 March 2013

BANK UPAH SAMSENG CURI KERETA!






Saudara Pengarang,

KATA orang, ikan busuk bermula dari kepalanya. Bila busuk kepala ikan, maka ia menjangkit sehingga ekor ikan akan turut serta busuk. Begitulah juga sikap institusi kewangan di negara ini. Perangai busuk pengendali institusi kewangan mula dijangkiti oleh busuknya peneraju pemerintah negara ini.

Sebuah institusi kewangan yang beribu pejabat di Kuala Lumpur, Ambank Berhad, bertindak dengan perangai busuk apabila mengupah samseng mencuri kereta milik anak saya  ketika kereta Honda Accordnya di letakkan di tempat letak kereta di Cyberjaya semasa anak saya menghabiskan cuti Tahun Baru Cina di Kota Kinabalu bersama isteri dan ahli keluarganya baru-baru ini.

Malangnya, sekembali beliau dari bercuti, didapati kereta telah hilang dari tempat diletakkan di Cyberjaya. Anak saya memaklumkan kepada saya dan saya katakan mungkin kereta itu dicuri oleh bank.

Diringkaskan cerita, rupanya kereta beliau memang sah telah dicuri oleh samseng yang diupah oleh Ambank, institusi kewangan tempat anak saya mendapatkan pinjaman bagi membiayai pembelian kereta tersebut. Kereta telah dicuri dan disimpan selama lebih sepuluh hari.

Saya menelefon Ambank KL dan dapat bercakap dengan seorang staf wanita yang hanya memperkenalkan diriya sebagai Net. Dengan nada tegas dan keras, saya mengutuk perbuatan Ambank mencuri kereta tersebut.

Saya tegaskan; tentunya ada cara yang lebih beradab jika benar kereta tersebut telah tertunggak bayarannya selama 3 bulan. Apakah tidak wajar Ambank sekurang-kurangnya menghantar SMS kepada anak saya memaklumkan kereta telah di repossessed?

Pertanyaan saya telah dijawab oleh Net dengan mengatakan bahawa kereta itu kereta baru dan tidak perlu bagi mereka mamberi apa-apa maklumat apabila di repossesed. Saya jawab kembali bahawa patutlah ramai 'car reposessor' yang mati dibunuh yang semuanya berpunca dari kerakusan mereka untuk mendapatkan komisyen daripada bank yang mengupah mereka untuk reposses kereta walau dengan apa cara sekalipun.

Laporan polis telah dibuat dan anak saya akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya untuk menuntut ganti rugi disebabkan kereta tersebut telah mengalami kerosakan semasa dalam simpanan Ambank.

Untuk pastikan ikan tidak lagi busuk, maka potong kepala ikan agar tidak menjangkiti seluruh badan termasuk ekornya. Ertinya kalau mahu menikmati suasana yang menyenangkan bagi rakyat negara ini, maka UMNO/BN hendaklah ditumbangkan pada PRU 13 ini dengan memberi peluang kepada PR membuktikan kewibawaan dan kreadibilitinya menjaga kebajikan rakyat negara ini.

Salam Hormat,

HAMZAH HJ ABDULLAH

No comments:

Post a Comment