Saudara Pengarang,
FUNGSI Yayasan Sabah yang ditubuhkan pada 1966 untuk menjamin kehidupan yang lebih baik melalui projek sosio-ekonomi kepada rakyat Sabah daripada hasil jutaan hektar konsesi kayu balak; kini hanya nostalgia silam kerana yayasan berkenaan turut mengalami kesan ekonomi kemelesetan global dan kepupusan sumber hutan.
Di era 70-80an adalah zaman cemerlang Yayasan Sabah sekalipun ditadbir urus seperti ‘Kedai Runcit’ oleh Syed Kechik, Harris Salleh dan Pairin Kitingan; lebih banyak ‘ambilan tunai’ daripada berurus niaga; sehinggalah mula dipulihkan kembali di zaman Barisan Nasional; tetapi payah untuk melangkah segagah era 70-an.
Ibu bapa dan abang-abang saya sempat juga merasa Wang Amanah Tun Mustapha atau Yayasan Tun Mustapha sebelum Sijil Amanah Saham berkenaan diambil oleh Kerajaan PBS dan dilupuskan begitu sahaja; malah Kerajaan Barisan Nasional tidak lagi memandang rakyat Sabah sebagai pemilik ‘benefisial’ Yayasan Sabah.
Dengan dana yang semakin menjunam, Yayasan Sabah masih membelanjakan RM26 juta untuk memberikan biasiswa kepada 370 pelajar dan pinjaman kepada 530 pelajar di dalam dan luar negeri; malah akan menaik taraf Kolej Yayasan Sabah kepada Kolej Universiti bagi memberi manfaat kepada 2,600 pelajar.
Namun nasib rakyat Sabah terutama di pedalaman dan di pesisir pantai masih belum terbela; terutama setelah Kerajaan Negeri mewartakan kawasan hutan tidak produktif untuk program penanaman semula hutan, sedangkan kawasan tersebut sebelum ini menjadi tanah adat, bukan sahaja tempat bercucuk tanam turun temurun; malah menjadi ‘Supermarket’ tempat Anak Negeri mendapatkan ubat-ubatan, sumber protein dan kayu-kayan untuk perkakas rumah.
Semoga kerajaan Negeri Sabah pimpinan Datuk Seri Musa Aman kembali merenung nasib Anak Negeri Sabah yang semakin dirundung malang dengan mengembalikan fungsi Yayasan Sabah sebagai sebuah badan berorientasikan sosio-ekonomi dalam Koridor Sabah dan menyenaraikan Yayasan Sabah melalui ‘Benta Wawasan Berhad’ di Bursa Saham Kuala Lumpur untuk menyediakan ‘wang poket’ kepada rakyat Sabah.
Salam Hormat,
ANAK WAWASAN
No comments:
Post a Comment