Sunday, 6 November 2011

DEMI KESEPAKATAN, UMNO BIDAS UMNO


BIDAS....Naib Ketua Pemuda UMNO Sandakan, Syamsy bidas Ketua Pemuda UMNO Negeri.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

TINDAKAN Timbalan Presiden Parti LDP Datuk Chin Su Phin dan Ketua Wanita LDP Nancy Lim Eng Guan yang mendesak agar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Hj Aman supaya meletakan jawatan yang tersebar luas di media telah menimbulkan sedikit kontroversi di kalangan ahli-ahli UMNO, sekadar meluahkan pandangan peribadi mereka sendiri.

Provokasi pemimpin LDP ini mendorong Ketua Pemuda UMNO Sabah merangkap Ketua Pemuda UMNO Sandakan, Hj Awang Kadin Tang, melenting dan membidas habis-habisan pemimpin LDP kerana tidak setuju dengan tindakan mereka yang disifatkan sebagai tidak wajar sebagai ahli parti komponen BN.

Namun tindakan sepontan Awang Kadin telah mengocak arus yang membadai perasan Pergerakan Pemuda UMNO Sandakan sehingga Naib Ketuanya, Shamsy Rizal berani menongkah arus menegur tindakan ketuanya yang disifatkan ‘berpencak’ di pentas yang salah.

“Saya pun hairan kenapa Hj Awang mahu campur tangan dalam soal ini sehingga mengeluarkan kata-kata yang pedas terhadap LDP sebagaimana yang tersiar di media. Tindakan beliau boleh meretakkan hubungan UMNO Sandakan dengan puak kiri LPD Sandakan,” kata Shamsy.

Tegas Shamsy, memandangkan hubungan UMNO Sandakan dengan LDP begitu harmoni sejak dari dahulu lagi, maka tindakan Awang telah menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan segelintir pemimpin UMNO yang telah memandang serong terhadap kepimpinan LDP sebagai rakan komponenan BN.

WAWANCARA....Sahari diwawancara oleh Sabahkini.Net tentang isu segelintir pempimpin UMNO suka mencabar dan membuli parti kecil komponen BN.

Sementara itu, Pengerusi Tetap Persidangan UMNO Sandakan, Sahari Ahmad turut membidas segelintir pemimpin UMNO di peringkat negeri terutama Datuk Seri Mohd Salleh Tun Said dan Datuk Hj Lajim Hj Okin yang sering membuli parti-parti kecil BN terutama LDP, semata-mata kerana tidak sehaluan dengan Ketua Menteri Sabah.

Tindakan kedua-dua pemimpin tetinggi UMNO ini, kata Sahari, benar-benar mengguris hati para pemimpin dan ahli-ahli LDP kerana tersinggung oleh keceluparan mereka.

“Sebagai ahli UMNO Sandakan, saya rasa malu dan jengkel terhadap Salleh dan Lajim yang keterlaluan sehingga tergamak mengusir LDP keluar daripada BN. Tahukah mereka bahawa LDP merupakan parti komponen BN yang tertua di Sabah berbanding UMNO,” kata Sahari yang kesal dengan senario politik yang berlaku.

Sehubungan itu, Sahari mencabar Salleh dan Lajim agar turut mengusir PBS keluar daripada BN kerana perjuangan PBS sudah tidak relevan berbanding LDP.

Kata Sahari lagi, dalam konsep perkongsian kuasa BN, bagi menerajui kerajaan Negeri Sabah, pemimpin UMNO tidak boleh sombong dan bersikap garang; sebaliknya harus bekerja keras dan menumpukan jentera pentadbiran parti masing-masing.

Sementara itu, Sahari turut menggesa agar GERAKAN mengemaskini jenteranya bagi menawan kembali Pulau Pinang sebelum menyimpan angan-angan untuk merebut kerusi di Sabah.

No comments:

Post a Comment