HULUR....V.K.Liew sedang menghulurkan sumbangan duit raya kepada warga emas.
Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI
LEBIH 1,000 warga emas di Parlimen Sandakan yang berumur 55 tahun ke atas, tanpa mengira fahaman ideologi politik mereka, masing-masing menerima sumbangan Hari Raya Korban (Aidil Adha) berupa wang tunai, beras, peralatan dan pakaian solat daripada Ahli Parlimen Sandakan, Datuk Liew Vui Keong.
Dalam ucapannya di majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Korban kepada warga emas yang diadakan di Dewan Masyarakat Sandakan kelmarin, antara lain V.K.Liew mendoakan agar warga emas yang ada pada hari ini dilanjutkan umur mereka dan dapat berjumpa kembali di tahun hadapan.
Menurut V.K.Liew, semenjak menjadi Ahli Parlimen Sandakan pada 2008 sehinggalah kini, ini merupakan kali pertama beliau memberikan sumbangan sebegini kepada warga emas yang membabitkan lebih 1,000 orang kawasan yang diwakilinya.
Katanya, ini adalah amanat daripada pucuk pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya Perdana Menteri yang menyarankan kepada semua Ahli Parlimen termasuk Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di seluruh pelusuk tanah air; agar bangkit untuk membantu warga emas dan suri rumah serta kanak-kanak sekolah ini, selaras dengan Bajet 2012 yang telah dibentangkan pada 7 Oktober lalu, kerana kerajaan akan sentiasa membantu meringankan beban para ibubapa.
RIBUAN....V.K Liew dikerumuni sebahagian ribuan warga emas yang menerima sumbangan hari raya Korban.
Kata V.K.Liew, dengan adanya sumbangan tersebut, akan mengurangkan sedikit beban warga emas yang menyambut hari raya korban, di samping menasihatkan mereka agar berbelanja secara berhemah memandangkan harga barangan melambung tinggi.
Dalam perkembangan lain, V.K.Liew turut menyentuh isu sampah sarap di Sandakan yang berpunca dari kelemahan operasi pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang kurang prihatin dan proatif untuk menangani masalah kebersihan ini.
Bagaimanpun, kata V.K.Liew, masyarakat tidak boleh menyalahkan MPS bulat-bulat, sebaliknya harus celik mata dan jangan membuang sampah sarap dengan sewenang-wenangnya di merata tempat sehingga menimbulkan pandangan yang kurang elok di mata pelancong asing.
Ketika ditanya mengenai tindakan Timbalan Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin dan Ketua Wanita LDP, Nancy Lim yang dalam ucapan mereka di Kongres LDP baru-baru ini mendesak dan mencabar Ketua Menteri Sabah agar meletakan jawatan, V.K Liew hanya mengangkat bahu dan enggan mengulas isu tersebut.
No comments:
Post a Comment