Sunday 6 November 2011

HAYATI PENGORBANAN DEMI NEGARA




Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

PENGHAYATAN sebenar istilah pengorbanan bukan sahaja mampu melahirkan perpaduan utuh rakyat pelbagai kaum malah boleh menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan stabil.

Pengerusi Perhubungan Sukarelawan Pertubuhan Kebajikan Malaysia (PERKIM), Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin (gambar) berkata, sambutan Hari Raya Aidiladha hari ini yang berasaskan pengorbanan perlu dijadikan pegangan hidup seluruh rakyat supaya lebih memahami antara satu sama lain.

‘‘Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha hari ini yang berteraskan pengorbanan, merupakan saluran terbaik bagi seluruh rakyat untuk menghayatinya”

‘‘Nilai-nilai murni yang terdapat dalam erti kata pengorbanan itu patut dimanfaatkan bagi mencapai masa depan lebih gemilang dalam mengangkat martabat negeri dan negara,” katanya dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha.

Menurut Lajim umat Islam perlu mencontohi pemimpin terdahulu yang sanggup berkorban demi membangunkan negara yang diwarisi sekarang.

Lajim pada masa sama turut mengingatkan seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan ideologi politik supaya mengorbankan sikap yang boleh menghancurkan tahap perpaduan dan keharmonian yang dinikmati oleh negara ketika ini.

Katanya, ini penting bagi mempastikan tahap keharmonian kaum dapat dipertahankan yang boleh menjadikan negara dalam keadaan aman makmur kerana rakyat boleh meneruskan aktiviti kehidupan seharian tanpa sebarang gangguan dan masalah selaras dengan Gagasan 1 Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak.

‘‘Pengorbanan semua pihak amat penting dalam mencapai kesepakatan jitu bagi membina 1Malaysia yang bermartabat dan bermaruah tinggi,” katanya.

Beliau yang juga Bekas Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) yakin, jika masyarakat mempunyai penghayatan pengorbanan ,maka tidak mustahil masa depan negara terus cerah dan maju dalam pelbagai bidang.

‘‘Menerusi semangat pengorbanan juga Malaysia akan terus disanjung di seluruh dunia sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan toleransi dan kesaksamaan sejagat yang tinggi,” katanya.

No comments:

Post a Comment