Wednesday, 9 November 2011

SAPP DAN UPKO PALU GENDANG SERENTAK?




BERPADU….Para peserta gotong-royong bersama pemuda SAPP, manakala Dagul berdiri kedua dari kiri dan Datuk Frankie keenam.

Oleh: MATURIN MOHAMMAD

KESUNGGUHAN Presiden United Pasokmomogun Kadazandusun dan Murut Organization (UPKO), Tan Sri Bernard Giluk Dompok mahu berjumpa Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu PATI melalui Penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (SSD) amat dialu-alukan Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) Pusat, Edward Ethan Dagul; yang menyifatkan langkah tersebut sebagai jalan terbaik bagi menyelesaikan isu PATI.

Tegasnya, misi SAPP memungut kira-kira 100 ribu tandatangan rakyat Sabah sejak beberapa bulan lalu adalah bertujuan untuk mendesak kerajaan Persekutuan, khususnya Menteri Dalam Negeri supaya menubuhkan segera SSD, namun usaha SAPP itu seolah-olah diremehkan oleh pihak berkenaan.

“Bagaimana pun kita agak kecewa kerana usaha SAPP itu tidak mendapat sokongan padu daripada pemimpin BN Sabah, termasuklah UMNO Sabah. Kita juga tertanya- tanya kenapa UMNO Sabah tidak senada dengan kita dalam memperjuangkan SSD, sedangkan kesan buruknya kita bakal hadapi bersama, tetapi sebaliknya UMNO terus membisu dalam hal ini,” katanya.

Dagul berkata demikian semasa beliau menghadiri aktiviti gotong-royong membaiki rumah seorang warga emas, Amen Duayah, 80, di Kg Tukalilan Ulu menerusi program ‘Dengar, Lihat Dan Selesaikan’ anjuran Pergerakan Pemuda SAPP CLC Melalap di bawah teraju Rudy Sulaiman Mairi dan turut dihadiri Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Frankie Chong dan beberapa pemimpin pemuda SAPP Pusat.

Sungguh pun begitu, Dagul turut bersyukur kerana nampaknya sekarang ini sudah ada kecenderungan pemimpin KDM dalam Barisan Nasional (BN) berminat memperjuangkan masalah tersebut, namun beliau kurang pasti sama ada usaha mereka berterusan selepas pilihanraya umum kali ke-13 atau terhenti selepas itu.

BANTU….Naib Ketua Pemuda CLC Melalap Roger Stimin berbaju T hitam turut menghulurkan bantuan.

Dalam pada itu, ketika menyentuh program SAPP Dagul berkata, mereka akan terus menjelajah ke kawasan kawasan luar bandar untuk memantau masalah rakyat yang memerlukan tindakan dan bantuan segera kerana pemuda SAPP akan terus mengadakan aktiviti gotong-royong sebagai formula mengatasi masalah itu.

“Kita percaya masih banyak masyarakat yang mengalami masalah yang sukar diatasi secara bersendirian seperti masalah kedaifan rumah, jambatan atau perkara lain yang memerlukan kesegeraan untuk dibaiki. (Jadi) kita akan cuba bantu selesaikan masalah tersebut,” tegasnya.

Sementara itu, seorang anak kepada warga emas itu, Paliwong Amen, 48, turut berterima kasih di atas usaha pergerakan itu kerana masalah keluarganya yang mengalami kedaifan rumah sekurang-kurangnya dapat bertahan beberapa bulan lagi sebelum mereka dapat mengumpul wang untuk membina sebuah rumah baru bagi kedua orang tuanya.

Paliwong menambah, sebelum ini pun masalah kedaifan rumah kedua orang tuanya telah pun dilaporkan dalam media supaya dapat perhatian kerajaan tetapi sehingga kini, tiada satu pun agensi kerajaan itu kelihatan melawatnya.

No comments:

Post a Comment