LAPORAN akhbar tempatan kelmarin mendakwa seramai 30 orang penceroboh Sulu terbunuh dalam serangan
besar-besaran melalui Ops Sulu, yang kemudiannya dinamakan Ops Daulat, di
pantai timur Sabah semalam.
“Jumlah tersebut menjadikan
keseluruhan pengganas Sulu yang berjaya ditumpaskan ATM dan PDRM sehingga kini
ialah 49 orang, manakala di pihak anggota keselamatan negara tiada sebarang
kecederaan mahupun kemalangan jiwa berlaku dalam operasi itu,” laporan Utusan
Malaysia dipetik.
Laporan yang tidak
menyatakan sumber maklumat itu juga menyebut, terdapat 'khabar' yang menyatakan
pemimpin kumpulan berkenaan Raja Muda Azzumudie terbunuh namun perkara itu
tidak disahkan.
Sementara itu laporan akhbar
Berita Harian pula yang memetik sumber mendakwa pasukan keselamatan, yang
menjalankan operasi pembersihan selepas pengeboman semalam, menjumpai antara 20
hingga 30 mayat musuh.
Sementara itu, akhbar The
Star pula hari ini melaporkan pasukan tentera memindahkan penduduk dari dua
buah kampung berdekatan - Kampung Labian dan Kampung Batu.
Penduduk tempatan sebelum ini
mendakwa kumpulan penceroboh memasuki kawasan tersebut dan menawan penduduk.
Pasukan keselamatan, setakat
malam tadi, masih belum menyatakan jumlah rasmi yang ditemui dalam operasi
besar-besaran diketuai pasukan polis.
Ketua polis negara Tan Sri
Ismail Omar hari ini pula sekadar menyebut bahawa seorang penceroboh dipercayai
maut selepas berbalas tembak dalam kawasan operasi pada kira-kira jam 6.45 pagi
ini.
"Dengan situasi semasa
ini pasukan keselamatan telah memperluaskan kawasan operasi sehingga melebihi 4
kilometer persegi sepertimana yang telah dinyatakan semalam," kenyataannya
dipetik.
Ismail juga tidak memberi
sebarang pengesahan mengenai status Azzumudie Kiram, yang dilaporkan terbunuh
dalam operasi semalam.
Laporan mengenai kematian
Azzimudie itu dinafikan media Filipina yang memetik kenyataan jurucakap
kesultanan Sulu.
Menurut InterAksyon.com,
portal berita dalam talian saluran TV Filipina TV5, jurucakap kesultanan
Abraham Idjirani telah bercakap dengan Azzimudie melalui telefon di hadapan pemberita
semasa taklimat media di Manila petang semalam.
Lapan buah pesawat tentera
Malaysia semalam dilaporkan menggugurkan sekurang-kurangnya enam bom pemusnah
di kawasan yang didakwa diduduki Azzimudie dan pengikutnya di Kampung Tanduo.
No comments:
Post a Comment