Oleh : MUHAMMAD AFIQ MOHD
ASRI
RANAU : Jika ada yang
bercerita mengenai kawasan rekreasi air panas, mungkin ia perkara biasa tetapi
tidak di Poring, di mana air panasnya dipercayai boleh memulihkan penyakit
kulit.
Menurut penduduk setempat,
Salabiah Mahmood, 45, yang telah berniaga empat tahun di hadapan kawasan Poring
Hot Spring (PHS) berkata air panas itu mengandungi asid sulfurik, yang boleh
menyembuhkan penyakit kulit tertentu seperti ruam atau gatal-gatal.
"Nak percaya atau tidak
terpulanglah kepada individu itu sendiri kalau tak nak niat mengubati penyakit,
niat sahajalah untuk beriadah pun bagus jua bah," katanya ketika ditemui
Bernama.
Beliau berkata mandi air
panas sekitar 32 hingga 35 darjah celcius mampu membuka ruang yang dapat
mengeluarkan toksin dalam badan.
"Mandi air panas juga
dipercayai dapat membantu menurunkan paras gula dalam darah selain menyembuhkan
sakit otot dan menjaga usus besar supaya bekerja dengan baik.
Beliau menyarankan waktu
yang sesuai untuk berendam ialah antara 10 hingga 25 minit.
PORING
Perkataan Poring berasal
daripada bahasa masyarakat Kadazandusun yang diberikan bagi sejenis spesies
pokok buluh yang tumbuh di kawasan itu.
Perjalanan dari Kota
Kinabalu ke PHS mengambil masa kira-kira dua jam kerana jalannya yang
bengkang-bengkok dan mencabar.
Namun, yang pasti, tidak
akan ada perasaan bosan kerana di sepanjang perjalanan terbentang luas
pemandangan indah Gunung Kinabalu.
PHS terletak kira-kira 40 km
dari Taman Negara Kinabalu dan kira-kira 13 km dari Ranau dan terkenal kerana
kolam air panas dan jambatan gantungnya yang unik.
TAPAK WARISAN DUNIA
Poring Hot Spring, yang
terletak dalam Taman Kinabalu, diwartakan sebagai Taman Negara pada 1964.
Manakala ia diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada Disember
2000 dan menjadi satu daripada tarikan pelancongan negara.
Di Poring, para pelancong
berpeluang menikmati pemandangan yang indah apabila menyusuri jambatan gantung
sepanjang 157.8 m dan setinggi 41 meter di atas pokok.
Apabila berada di atas
laluan kanopi pula pengunjung dapat menghayati pemandangan Hutan Borneo dan
jika bernasib baik berpeluang melihat hidupan liar yang berhabitat di sekitar
kawasan itu.
Terdapat tempat menarik lain
yang berdekatan dengan PHS, antaranya Air Terjun Kipungit dan Langganan, Gua
Kelawar, Taman Kupu-Kupu dan Pusat Pemuliharaan Orkid.
--BERNAMA
No comments:
Post a Comment