Wednesday 6 March 2013

JANGAN AMBIL KESEMPATAN ISU PENCEROBOHAN



 


SIDANG.....OCPD ACP Rowell Marong sedang menjelaskan sesuatu kepada media mengenai tahap keselamatan di daerah Sandakan sambil diperhatian Datuk V.K Liew, MP Sandakan.


Oleh: SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

SANDAKAN : Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rowell Marong, menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak menyebarkan sesuatu maklumat yang kesahihannya belum terbukti; sebaliknya segera membuat laporan di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Menurut beliau, menyebarkan maklumat tidak sahih boleh dianggap satu khabar angin kerana memungkinkan cerita direka-reka sendiri atau mendengarnya daripada individu-individu tertentu yang cuba mengambil kesempatan daripada insiden pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Tungku di Lahad Datu.

Beliau berkata, pihak polis mengambil berat sebarang maklumat yang disebarkan sama ada melalui SMS mahu pun di laman sosial memandangkan kesan buruk kepada masyarakat dan mengganggu ketenteraman awam.

Katanya, apa yang paling penting, orang ramai perlu membantu polis agar apa jua maklumat yang mereka terima terus disalur ke balai-balai polis berhampiran bagi memudahkan penyiasatan dan bukan bertindak menyebarkannya kerana hanya mengeruhkan lagi keadaan; sekaligus disifat sebagai membantu pengganas. 

"Jangan mempercayai khabar angin yang tidak menentu sekarang. Sebaik-baiknya salur sesuatu maklumat kepada kita dengan menghubungi talian 089-212222 dan 089-242234 bagi membolehkan kita menjalankan siasatan selanjutnya.

"Saya mendapat maklumat dan bermacam-macam khabar angin, tetapi apa yang penting di sini orang ramai bertenang dan memberikan kerjasama kepada polis untuk menangani apa jua situasi.

"Situasi di bandar Sandakan adalah terkawal dan orang ramai tidak perlu merasa bimbang. Kita sudah membuat rondaan yang sangat rapi di setiap kawasan," jelasnya.

Rowell menyatakan demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di Bilik Mesyuarat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Sandakan, dekat sini, kelmarin.

Sebelum itu, beliau menerima sumbangan sebanyak RM5,000 untuk Tabung Wira Lahad Datu yang disumbangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Sandakan, Datuk Liew Vui Keong.

Hadir sama menyaksikan majlis penyampaian secara ringkas itu termasuk Timbalan Ketua Polis Daerah, Supt. Fadzil Mohd Ali dan beberapa pegawai polis.

Rowell merakamkan ucapan terima kasih kepada Liew atas sumbangan yang sudah pasti memberi sokongan moral kepada pasukan polis yang berkhidmat demi mempertahankan kedaulatan negara ini.

Liew pula memberitahu dia terpanggil untuk menghulurkan sumbangan itu kerana pengorbanan anggota pasukan keselamatan yang terkorban akibat insiden di Kampung Tanduo dan Semporna amat besar maknanya kepada negara.

"Mereka telah berjuang untuk mempertahan dan menjaga kedaulatan negara daripada diceroboh oleh kumpulan pengganas yang tidak bertanggungjawab ini. Justeru, saya menyeru kepada masyarakat agar tampil menghulurkan sumbangan sebagai menunjukkan sokongan padu kita kepada pasukan keselamatan seperti polis," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rowell memberitahu sebuah balai polis bergerak akan ditempatkan di kampus Sekolah Pertanian Lestari, Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Batu 10, Jalan Sungai Batang bagi menjaga keselamatan pelajarnya.

Ia berikutan terdapat pelajar UMS dikatakan menangis setelah dimaklumkan keluarga ekoran situasi tidak menentu akibat insiden pencerobohan bersenjata dilakukan kumpulan pengganas yang menggelar diri sebagai Tentera Diraja Kesultanan Sulu.

Sehubungan itu, katanya, beliau telah pergi ke UMS bagi menenangkan para pelajar dengan memberikan taklimat dan memberi jaminan keselamatan mereka adalah terkawal dan tidak perlu panik atau bimbang.

"Dengan adanya balai polis bergerak ini memudahkan pelajar mendapat maklumat dan tidak perlu lagi bimbang kerana keselamatan mereka terjamin," ujarnya.

No comments:

Post a Comment