Thursday, 14 March 2013

LEGASI KIRAM SUDAH TAMAT PADA 1962





  
Oleh : VAT 69

PADA 12 September 1962, Sultan Sulu, Sultan Muhammad Esmail E. Kiram 1, secara formal menyerahkan (ceded) Sabah kepada Kerajaan Filipina. Peristiwa penting ini berlaku dalam zaman pemerintahan Presiden Macapagal.

Berbeza dengan hak menduduki atau 'hak milikan' sahaja, satu 'penyerahan' (cession) adalah pemindahan hak milik dan kedaulatan atas suatu wilayah oleh satu pemerintah kepada pemerintah yang lain.

Dari sudut undang-undang, antara Sultan Sulu dan Kerajaan Filipina, hak milik terhadap Sabah sudah bertukar tangan.

Oleh yang demikian, jika masih timbul persoalan "Sabah siapa punya?" pihak-pihak yang layak mengemukakan isu ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa di Hague, Belanda adalah Filipina, bukan Sultan Sulu atau waris-warisnya lagi.

Ini membawa kita kepada persoalan berikutnya. Apakah penceroboh bersenjata yang mengganas di Sabah itu waris-waris sah Sultan Sulu? Tanpa bukti yang kukuh dan meyakinkan, sukar bagi kita membuat sebarang andaian atau keputusan.

Saya sempat bertanyakan isu ini kepada seorang pakar undang-undang antarabangsa, pengamal undang-undang Datuk Dr. Tunku Sofiah Jewa. Menurut beliau, daripada apa yang kita pelajari dalam kes Batu Putih (yang mana kita kalah dengan Singapura), asal usul sejarah sesebuah wilayah itu tidak penting lagi.

Yang lebih penting dan diberi keutamaan adalah siapakah yang telah memerintah, mentadbir dan mempamerkan kedaulatannya di wilayah itu untuk satu jangka masa yang lama?

Dalam kes Batu Putih, memang tidak ada ragu-ragu pulau kecil itu pada asalnya adalah milik Sultan Johor. Pun begitu, kita kalah kepada Singapura kerana untuk sekian lama kita biarkan Singapura mentadbir dan melaksanakan kuasanya (mempamerkan kedaulatannya -exercising its sovereignty) di pulau kecil itu.

Dalam kes Sabah, kita telah sekian lama (sejak 1963) memerintah, mentadbir dan mempamerkan kedaulatan kita - bukan Sultan Sulu atau waris-warisnya, sementara Kerajaan Filipina pula (setakat ini) belum memfailkan apa-apa tuntutannya di ICJ. Nampaknya kerajaan itu lebih mengutamakan kerangka kerjasama dalam ASEAN.

Keturunan Sultan Sulu dan pengikut-pengikutnya yang menceroboh Sabah sejak sebulan yang lalu itu tidak lebih sebagai pengganas. Mereka bukan wira atau pejuang seperti yang mereka dakwa, "dalam perjalanan pulang ke wilayah asal mereka." Hujung-hujung ayam terlepas tangan bau tahi.

No comments:

Post a Comment