Wednesday, 13 March 2013

PEMBANGKANG TIDAK PEKA SENSITIVITI RAKYAT SABAH






KUTUK....V.K Liew mengutuk pembangkang yang memperlekehkan tragedi berdarah di Lahad Datu.

Oleh: SHAIMON S JUMADI                   Foto : SAFFIE S JUMADI

SANDAKAN: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, menegaskan tindakan sebilangan pemimpin pembangkang yang memperlekehkan tragedi pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Tungku di Lahad Datu mampu mengguris hati rakyat terutama keluarga pasukan keselamatan yang terkorban dan tercedera.

Menurut beliau, sikap pembangkang amat dikesali di saat negara berdepan situasi pencerobohan yang dilakukan kumpulan pengganas dari Selatan Filipina sanggup pula mempersenda soal kestabilan negara ini.

Beliau berkata, tindakan pihak pembangkang ini menggambarkan sikap mereka yang tidak sensitif sedangkan situasi itu adalah melibatkan ancaman kepada kedaulatan negara khasnya kepada negeri ini.

Katanya, pembangkang jangan harap pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan mendapat sokongan berikutan sebilangan pemimpinnya telah mengguris hati dan perasaan rakyat negeri ini sendiri.

"Rakyat Sabah akan menolak mereka kerana tindakan pemimpinnya yang dilihat seolah-olah memandang ringan di sebalik tragedi pencerobohan ini. Sebagai pemimpin pembangkang, sepatut datanglah ke sini untuk bertanya khabar sambil mengucap takziah kepada anggota pasukan keselamatan yang terkorban.

"Namun, kita kesal pemimpinnya tidak peka dengan apa yang berlaku sekarang sengaja pula mempersenda-sendakan. Ini menunjukkan mereka tidak ada simpati langsung terhadap pasukan keselamatan kita yang berjuang mempertahankan kedaulatan negara di perbatasan," jelasnya.

Liew yang juga Ahli Parlimen Sandakan berkata demikian kepada media sejurus selepas mengadakan lawatan ke Kampung Pulau Berhala kira-kira dua batu nautika dari pusat bandar ini kelmarin.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan beg-beg sekolah kepada kanak-kanak TABIKA dan Klas KAFA dan  memberikan sumbangan berupa makanan kepada penduduk kampung dan Tentera yang berkawal di kampung Nelayan itu.

Hadir sama Timbalan Ketua Umno Bahagian Sandakan, Datuk Awang Sham Haji Amit; Pegawai Memerintah di Kem Markas Taktikal Pulau Berhala, Kolonel Robaie Haji Mohamad dan Ketua Kampung Pulau Berhala, Rawi Masud.

Liew yang ternyata kesal dengan sikap pihak pembangkang sekali lagi menegaskan pemimpin pembangkang langsung tidak menghormati nyawa anggota pasukan keselamatan negara yang berkorban menjaga keselamatan negara.

Katanya, rakyat tentu marah dengan lagu yang diubah semula menuduh Sabah seolah-olah tidak diselamatkan.

"Pemimpin pembangkang sepatutnya memberi idea kepada kerajaan, terutama membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara ini," tegasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Liew bersyukur dengan kesiapsiagaan pasukan keselamatan yang mengawal Sandakan termasuk di sepanjang perairan.

Beliau juga berharap isu pencerobohan di Lahad Datu dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Jangan bimbang dan takut ... keselamatan orang ramai di Sandakan adalah terkawal. Pasukan keselamatan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Darat, Tentera Laut, Tentera Udara serta pihak Maritim sentiasa menjalankan rondaan pada setiap masa," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempertimbangkan permohonan penduduk di Kampung Pulau Berhala berhubung kemudahan asas seperti membaik-pulih jambatan termasuk keperluan sebuah dewan serbaguna.

Liew berharap penduduk di situ bersabar dan memberikan masa kepadanya kerana kepulauan itu sentiasa menjadi perhatiannya untuk mengecapi apa jua bentuk pembangunan demi manfaat bersama.

No comments:

Post a Comment