PULUHAN penduduk bertindak
memukul sehingga mati lelaki bersenjata M16, yang dipercayai terlibat dalam
serangan hendap yang mengorbankan lima anggota polis, di Kampung Sri Jaya,
Simunul, Semporna.
Bagaimanapun sehingga kini
polis belum memberi pengesahan tentang identiti lelaki itu.
Dalam insiden 7 pagi kelmarin, seorang lelaki berbadan besar, berpakaian serba hitam, memegang senjata
M-16 dan berumur dalam lingkungan 50-an turun daripada sebuah bukit dan
melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah surau di Kampung Senallang
Lama, di Semporna.
Seorang penduduk, Abdul Hani
Samaullah, 44, berkata selepas melepaskan tembakan lelaki itu turut menjerit di
hening pagi bahawa "saya yang menembak polis malam tadi".
"Lelaki itu kemudian
membuka setiap pintu rumah penduduk dan mengarahkan mereka berkumpul di satu
kawasan lapang," katanya yang turut berkumpul bersama penduduk di dalam
keadaan ketakutan.
Abdul Hani berkata penduduk
menyerang lelaki terbabit apabila dia bertinggung dan memasang api rokok serta
meletakkan senjatanya.
Beliau berkata lelaki itu
dipukul hingga mati dan mayatnya diletakkan dekat dengan sebuah pokok di
kampung itu.
Wartawan Bernama yang dalam
perjalanan membuat liputan majlis perasmian jambatan baru oleh Menteri Kemajuan
Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Kampung Lihak
Lihak, pada 8.30 pagi iaitu 30 kilometer daripada Kampung Senallang Lama,
sempat melihat mayat lelaki itu dan mendapati kepala lelaki itu berlumuran
darah.
Kelihatan penduduk mengemas
beg pakaian mereka dan mengosongkan rumah mereka dengan membawa anggota
keluarga, termasuk kanak-kanak dan wanita, untuk melarikan diri ke kawasan
kampung lain.
Kebanyakan penduduk adalah
petani dan pekebun ladang kelapa sawit.
Cubaan Bernama untuk
menghubungi Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah untuk
mendapatkan maklumat lanjut gagal. (Bernama)
No comments:
Post a Comment