PERISTIWA
enam pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia dibunuh dan diseksa di Kampung
Simunul, Semporna, Sabah pada 2 Mac lalu
tidak mungkin dapat dilupakan oleh seluruh rakyat di negara ini.
Dalam
kejadian itu, tiga pengganas militan Sulu juga berjaya ditembak mati. Namun,
disebabkan faktor keselamatan, tiga mayat pengganas tersebut tidak dapat
dikeluarkan dalam insiden tersebut.
Memandangkan
ia terbiar agak lama, mayat-mayat ketiga-tiga pengganas itu mula membusuk
hingga meresahkan penduduk di kampung berkenaan.
Perkara
tersebut kemudian disampaikan kepada Ketua kampung, Ramlee Saraman (gambar sisipan di atas).
Walaupun
marah dengan pengganas yang terbunuh itu, namun Ramlee sedar sebagai orang
Islam, mayat itu harus disempurnakan seperti yang dituntut syarak.
"Memang
saya marah dengan yang mati itu, tetapi saya kena rasional dan tak boleh
terikut-ikut dengan emosi…yang mati itu seagama dengan saya, saya tak boleh
biarkan ia terus di situ, mayat mereka mesti diuruskan, bab dosa dan pahala
mereka adalah urusan Allah.
"Lagipun
saya faham benar keluh resah penduduk, bayangkan anak-anak mereka menggunakan
laluan yang sama untuk ke sekolah, trauma mereka jadinya nanti.
”Bab
bau jangan ceritalah, bukan seorang, tetapi tiga!,” katanya
Ramlee
bersyukur kerana pihak keselamatan memahami keresahan beliau dan penduduk
kampung.
Malah,
katanya, Ketua Polis Daerah sendiri bersedia menawarkan perlindungan
keselamatan kepada beliau dan penduduk kampung sekiranya mereka mengambil
keputusan untuk menguruskan mayat-mayat itu.
Menurut
Ramlee, beliau kemudiannya bermesyuarat dengan penduduk kampung terutama pihak
surau untuk mengangkat mayat-mayat itu dari lokasi kejadian.
Tetapi,
katanya, seperti mana pasukan keselamatan, beliau dan penduduk kampung juga
merasai kebimbangan yang sama, terutama memikirkan ‘perangkap’ yang mungkin
dibuat oleh pengganas-pengganas Sulu yang lain ketika kerja mengangkat mayat
itu dilakukan.
Apatah
lagi, katanya, bila mengenangkan kemungkinan ada ‘pengkhianat’ di situ yang
mungkin hendak membalas dendam terhadap kematian rakan-rakan mereka.
”Saya
akhirnya nekad, dengan airmata yang berlinang, saya merayu kepada mereka yang
ada di situ agar memberikan kerjasama dan tidak melakukan apa-apa kepada kami
yang hendak mengangkat mayat yang terbujur kaku itu.
”Saya
kata pada mereka, sebagai orang Islam, adalah menjadi tuntutan kita semua untuk
menyelesaikan urusan kematian pengganas-pengganas Sulu ini, kita tidak boleh
membiarkan kehadiran mayat-mayat itu menganggu kehidupan kita di kampung ini, ”
katanya.
Ketika
diminta menceritakan proses mengeluarkan mayat-mayat itu, Ramlee berkata, hanya
Allah yang tahu betapa sukarnya mereka untuk berbuat demikian.
Menurutnya,
kerja-kerja itu mungkin nampak mudah tetapi keadaan mayat yang mula membusuk
telah merumitkan keadaan.
Tambahnya,
mereka bimbang sekiranya ia tidak dilakukan secara berhati-hati, akan ada
anggota tubuh pengganas ini yang akan ‘lerai’ kerana ia sudah membengkak.
”Selepas
mayat itu kami angkat, kami letakkannya di simpang jalan…lalu saya hubungi
pihak berkuasa yang kemudiannya membawa mayat-mayat itu ke hospital.
”Saya
sempat melihat wajah-wajah mereka, ternyata ia bukan penduduk kampung ini,
malah tiada siapa pun mengenali mereka kecuali mayat yang dalam sampan itu, ada
penduduk mendakwa pernah melihat dia solat Jumaat di kawasan berhampiran, entah
betul entahkan tidak,” katanya.
Dalam
pertemuan kami itu, Ramlee turut meminta semua pihak agar tidak terus
melabelkan kampungnya sebagai ‘kawasan hitam’ hanya kerana berlakunya insiden
tersebut.
Katanya,
beliau sedih kerana banyak pihak mula melabelkan kampung mereka sebagai sarang
pengganas dan sebagainya.
Jelasnya,
insiden tersebut adalah satu perbuatan yang tidak dapat dimaafkan tetapi tidak
adil untuk menghukum semua yang ada di situ.
”Kampung
ini banyak sejarahnya, ia telah mula dibuka sejak tahun 1939 dan sejak itu,
kami semua hidup dalam aman dan harmoni.
”Benar,
ada penduduk yang datang secara haram tetapi perkara begini bukan hanya berlaku
di kampung ini…tetapi apa boleh buat, hidup mesti diteruskan.
”Mengenai
pandangan banyak pihak yang mahu kampung kami dirobohkan, saya harap kalau ia
benar-benar dilaksanakan, kebajikan penghuni perlu diambil kira, kami ini
kebanyakannya nelayan, sebab itu rumah kami dibuat di tepi laut…kalau ia dibuat
di lokasi yang terlalu jauh, ia sudah tentu menyukarkan keadaan,” jelasnya. (Mynewshub.my)
No comments:
Post a Comment