LAHAD DATU: Ketua Polis
Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan lima anggota polis terbunuh dalam
kejadian tembakan di Semporna pada Sabtu malam. Selain itu menurut Ismail dua
penjenayah turut ditembak mati ketika serbuan berkenaan.
Bercakap kepada pemberita di
sini pada Ahad, Ismail berkata selain memantau kumpulan penjenayah di Semporna,
polis juga turut memburu satu lagi kumpulan bersenjata di Kunak, iaitu
kira-kira 70km dari Semporna.
Tambah Ismail, polis turut
menahan tiga penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina di Kampung Tanduo,
semalam ketika cuba keluar daripada kepungan pihak berkuasa.
Katanya lagi, penceroboh di
Semporna dan Kunak berpakaian seragam tentera.
Sementara itu Bernama
melaporkan bahawa kelima-lima anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah
Semporna itu ditugas untuk menjalankan siasatan di kampung berkenaan berikutan
polis mendapat maklumat mengenai sekumpulan lelaki bersenjata di kampung itu.
Ismail berkata anggota polis
itu ditembak semasa menuju ke sebuah premis di kampung berkenaan dan mereka
membalas tembakan untuk mempertahankan diri.
Menurut Ismail lagi, polis
juga sedang menyiasat sama ada kumpulan bersenjata itu mempunyai kaitan dengan
lebih 150 orang kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu,
yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Semporna.
TEMBAKAN.....Pemandangan
kawasan perkampungan air Simunul, Sabah iaitu lokasi tembakan yang
mengakibatkan lima anggota polis terkorban dalam kejadian pada Sabtu.
Bagaimanapun Ismail berkata
identiti pegawai dan anggota polis yang terkorban di Semporna itu akan
dimaklumkan kemudian.
Sementara itu, Ismail
berkata polis mengesan sekumpulan 10 lelaki dengan tiga daripada mereka
bersenjata api di Kampung Lomalong dan Kampung Dasar Lama, Kunak, kira-kira 60
km dari sini, pada pukul 10 malam Sabtu.
“Sehingga kini polis sedang
menjejaki pergerakan dan tujuan kumpulan itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment