Tuesday, 19 March 2013

PUTERI PASTIKAN SEMUA KERUSI BN KEKAL






HADIAH.....Haiba memberikan hadiah kepada salah seorang yang menyertai program PDM tersebut.



Oleh: SHAIMON S JUMADI


SANDAKAN : Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Sandakan, Siti Haiba Majid, berkata jenteranya sudah bersiap sedia bagi memastikan kemenangan calon-calon Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Menurut beliau, kekuatan BN terutama di Parlimen P.186 Sandakan tidak perlu dibimbangi kerana setiap sayap yang sedia ada telah pun digerakkan dengan melibatkan kerjasama rakan-rakan komponen BN.

Beliau berkata, sokongan rakyat dilihat terus bertambah apabila setiap kali mereka turun padang masyarakat setempat memberikan maklum balas yang positif sekali gus menunjukkan bahawa sokongan kepada BN tidak pernah berbelah-bahagi.

Katanya, keyakinan rakyat itu hasil daripada keikhlasan dan keprihatinan kerajaan yang mampu memikul tanggungjawab ditambah lagi pendekatan murni Puteri Umno yang sentiasa mendekati golongan wanita muda.

"Saya yakin pada PRU-13 calon-calon BN di kawasan ini akan beroleh kemenangan mudah memandangkan sokongan rakyat tidak pernah pudar; malahan semakin baik. Ini dapat dibuktikan menerusi program yang kami jalankan mendapat reaksi sangat baik.


"Saya mengambil contoh program yang dilaksanakan pada petang ini telah dihadiri kalangan beliawanis. Ini menunjukkan bahawa hubungan parti dengan semua golongan kian akrab," jelasnya.

Siti Haiba menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Belia Parlimen Sandakan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Indah Jaya, dekat sini kelmarin.

Hadir sama Bendahari Bahagian, Jainudin Brahim dan Ketua Penerangan Bahagian merangkap Pengerusi PDM Taman Indah Jaya, Abdul Hamid Sabal.

Dalam pada itu, Siti Haiba memberitahu program sepetang ini adalah bertujuan untuk mendekati dan memperkukuhkan lagi hubungan di antara Puteri Umno dengan masyarakat setempat terutama anak-anak muda.

Menerusi program itu, katanya, memberi peluang kepada parti untuk mengenal pasti apa jua keperluan mereka supaya tidak terpinggir dari arus kemajuan perdana.

"Dengan pendekatan ini, membolehkan kita menarik lebih ramai golongan wanita muda untuk menyertai Puteri Umno sekali gus membantu memperkukuhkan kekuatan parti.

"Usaha secara berterusan ini akan dilaksanakan kerana matlamat kita adalah bagi memastikan kekuatan parti supaya menjelang pilihan raya kemenangan mudah memihak kepada kita," ujar beliau.

Dalam pada itu, Haiba menasihatkan kepada ahli-ahli Puteri UMNO Sandakan agar tidak mendengar khabar-khabar angin yang kini masih lagi disebarkan oleh beberapa orang yang tidak bertanggungjawab yang sengaja menakut-nakutkan; kononnya keadaan daerah Sandakan kurang selamat itu sama sekali tidak betul.

“Kita tak perlu takut kerana pihak keselamatan seperti Polis dan Tentera kini telah membuat kawalan ketat disetiap sudut tempat sama ada diteluk-teluk persisiran pantai mahupun di darat khususnya disepanjang jalan Sandakan ke Kota Kinabalu dan Sandakan ke Lahad Datu,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment