SIDANG MEDIA....VK Liew sedang diwawancara dalam satu sidang media
mengenai fungsi-fungsi PDM kawasan Parlimen Sandakan.
OLEH: SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI
SANDAKAN: Timbalan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, yang juga Ahli Parlimen Kawasan Sandakan
berkeyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) akan dapat
mempertahankan semula ketiga-tiga kerusinya di kawasan Parlimen P.186 Sandakan DUN Tg Papat dan DUN Elopura menjelang Pilihan
Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.
Beliau berkata, parti itu tiada
masalah untuk berdepan dengan mana-mana pembangkang berikutan kesiapsiagaan
komponen kini berada dalam tahap paling terbaik.
Katanya, kekuatan parti turut
didorong hasil semangat semua pihak terutama program Jalinan Rakyat (JR)
menambah keyakinan rakyat terhadap BN apabila pelaksanaan program murni ini
sampai ke peringkat akar umbi sekali gus mendengar apa jua permasalahan.
"Kita sudah pun siap sedia dan
perkara menggembirakan saya apabila rakan-rakan komponen BN menunjukkan laporan
yang semuanya bersiapsiaga menghadapi PRU-13 yang akan diadakan tidak lama
lagi," jelasnya semasa ditemui wartawan pada Taklimat Pusat Daerah
Mengundi (PDM) Sandakan Kali Kedua di di Ballroom Sabah Hotel di sini, kelmarin.
Hadir sama Ketua Umno Bahagian
Sandakan, Tan Sri Haji Ampong Puyon; Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun)
Elopura, Au Kam Wah; Timbalan Ketua Umno Sandakan, Datuk Awang Sham Haji Amit
dan Ketua Parti MIC Sandakan, K.Ganesan serta pemimpin-pemimpin komponen BN lain.
Sehubungan dengan itu, Liew yang juga
Ahli Parlimen Sandakan menegaskan perpaduan dalam kalangan anggota BN khususnya
di kawasan ini harus dipupuk bagi memastikan kemenangan mutlak menjelang
PRU-13.
Menurutnya, setiap anggota parti
komponen perlu bersatu hati dalam usaha meraih sokongan rakyat terhadap BN.
Tambah beliau, perkara yang
mendatangkan masalah kepada parti hendaklah dielakkan kerana ia tidak membawa
apa-apa kebaikan sebaliknya permasalahan kepada parti.
"Namun begitu, saya gembira dan
berpuas hati dengan tahap kerjasama semua komponen BN di Sandakan yang
menunjukkan satu semangat berkobar-kobar saya yakin dan percaya, kita akan
beroleh kemenangan nanti.
"Ditambah lagi apabila semua PDM
berjalan dengan baik dan bersedia melaksanakan peranan masing-masing pada
PRU-13 kelak," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Liew meminta
rakyat supaya tidak memperbesar-besarkan kejadian di Kampung Sim-Sim di mana
tiga orang lelaki mencurigakan dilaporkan.
Beliau berharap rakyat jangan membuat
andaian sendiri, tetapi sebaliknya menghubungi polis untuk menyiasat.
"Sebenarnya, kejadian ini sudah
dapat diatasi apabila pasukan keselamatan bertindak segera selepas mendapat
maklumat orang awam. Jadi, tidak perlu lagi merasa bimbang keadaan adalah
terkawal," katanya.
No comments:
Post a Comment