SERAH....Azizah
yang mengetuai Wanita umno Bahagian Beaufort menyerahkan laporan polis terhadap
dakwaan Tian Chua kepada wakil Ketua Polis Daerah Beaufort.
Oleh : ABDUL BAKAR ESAH
BEAUFORT: Pergerakan Wanita
Umno Bahagian Beaufort membuat laporan polis terhadap Naib Presiden Parti
Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang telah membuat kenyataan fitnah bahawa
insiden pencerobohan yang berlaku di Lahad Datu adalah sandiwara Kerajaan
BN/Umno.
Ketuanya, Datuk Azizah Mohd
Dun berkata Wanita Umno Bahagian Beaufort menyokong penuh gesaan Ketua Wanita
Umno Sabah, Datuk Armani Mahiruddin agar Tian Chua menarik balik kenyataan yang
tidak berasas itu.
“Perjuangan BN/Umno tidak
pernah berubah sejak dahulu lagi untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa
menjadi keutamaan. Tuduhan yang dilemparkan oleh Tian Chua adalah satu tuduhan
melampau yang bukan sahaja menimbulkan rasa kurang senang dikalangan rakyat
malah telah menghina kewibawaan anggota keselamatan negara yang berjuang
berhabis-habisan demi memelihara kedaulaatan negara ini,” katanya ketika
ditemui selepas membuat laporan itu di Balai Polis Beaufort, kelmarin.
Azizah menyifatkan Tian Chua
adalah satu tindakan yang biadap dan tidak berasas dan berpendapat pemimpin PKR
itu perlu dihalang dari memasuki negeri ini atas dasar Persona Non Grata
(manusia yang tidak dikehendaki.
“Dalam soal keselamatan
awam, semua pihak tidak kira pembangkang mahupun kerajaan mestilah mengutamakan
keselamatan rakyat berbanding dengan kepentingan politik masing-masing. Atas
dasar itu, Wanita Umno Bahagian Beaufort telah membuat laporan polis terhadap
Tian Chua dan mahu beliau bertanggungjawab ke atas semua penghinaan ini.
“Saya bersama semua
jawatankuasa dan ahli Wanita Umno Beaufort sentiasa menyokong penuh keputusan
Perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak demi mempertahankan ketenteraman
negara kita amnya dan negeri Sabah khasnya,” katanya.
Azizah yang juga Exco Wanita
Umno Malaysia turut menegaskan bahawa beliau bersama wanita Umno Beaufort
menyelar sesiapa sahaja yang membuat atau menyokong kenyataan yang tidak
bertanggung jawab seperti yang telah dilakukan Tian Chua itu.
LAPOR......Azizah
mengetuai Wanita umno Bahagian Beaufort membuat laporan polis terhadap
kenyataan Tian Chua, di Balai Polis Daerah Beaufort, kelmarin.
“Sesiapa saja yang buat
kenyataan yang tidak berasas seperti itu perlu diambil tindakan kerana ianya
satu penghinaan kepada pasukan keselamatan yang sanggup bergadai nyawa demi
keselamatan semua rakyat di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, adalah
diluar sifat perikemanusiaan apabila seseorang itu sanggup mempersendakan usaha
pasukan keselamatan yang berjuang di bawah panji-panji Kerajaan BN dan pada
masa yang sama kaum keluarga wira negara yang terkorban demi mempertahankan
kedaulatan negara untuk kesejahteraan semua rakyat di negara ini masih berada
dalam suasana kesedihan.
Azizah yang bersimpati
dengan keluarga wira negara yang terkoraban dalam insiden pencerobohan itu
turut mendoakan keselamatan wira negara yang taat setia berjuang mempetahankan
negara Malaysia yang merdeka,” katanya.
No comments:
Post a Comment