Oleh : ZULAIKHA ZULKIFLI
PENGARAH Suruhanjaya Pilihan
Raya Sabah, Datuk Idrus Ismail berkata suruhanjaya itu akan membuat keputusan
berhubung penangguhan pilihan raya 'apabila tiba masanya' jika darurat terpaksa
diisytiharkan di negeri itu.
“Kita akan putuskan apabila
tiba masanya. Marilah kita (bersikap) positif dan berdoa agar (kejadian
pertempuran melibatkan penceroboh asing) akan tamat secepat mungkin,” katanya
ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Beliau berkata demikian
ketika ditanya sama ada pilihan raya boleh ditangguhkan sekiranya darurat
diisytiharkan selepas parlimen dibubarkan.
Idrus diminta menjelaskan
perkara itu susulan serangan demi serangan oleh penceroboh bersenjata di
kawasan pantai timur Sabah.
Katanya, pilihan raya
tersebut tetap perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas parlimen dibubarkan.
“Tidak timbul sebarang
penangguhan kalau perdana menteri sudah bubar parlimen. Ikut undang-undang,
pilihan raya umum mesti diadakan dalam 60 hari,” katanya.
Beliau juga menyerahkan isu
berkenaan untuk diputuskan pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Yusof.
Abdul Aziz pula ketika
dihubungi Malaysiakini berkata beliau perlu mengkaji peruntukan undang-undang
sebelum dapat memberi kenyataan berhubung soal berkenaan.
"Biar saya kaji dulu
dengan teliti semua undang-undang yang berkaitan sebelum menjawab
soalan-soalan," katanya melalui SMS kepada Malaysiakini.
Beliau ditanya demikian hari
ini susulan serang hendap oleh satu pasukan bersenjata ke atas sepasukan
anggota polis kita di Semporna, Sabah dalam kejadian pada malam tadi.
Serangan mengorbankan lima
orang polis dan dua penceroboh itu berlaku susulan pertempuran pertama di Lahad
Datu pada hari Jumaat lalu, yang mengorbankan dua orang anggota keselamatan.
Seramai 100 orang penceroboh
dianggarkan masih terkepung di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan polis menyatakan
kumpulan penceroboh juga mendarat dan menyusup ke dua buah kampung di Kunak
yang terletak di antara Semporna dan Lahad Datu.
Jumlah kematian melibatkan
anggota kita kini meningkat kepada tujuh orang dalam tempoh dua hari dalam
kejadian serangan dipercayai paling buruk sejak pemberontakan komunis.
No comments:
Post a Comment