Oleh : BARIS
SEMENJAK tercetusnya krisis
pencerobohan di Lahad Datu sehinggalah pertempuran demi pertempuran yang
berlaku di sana, ada sahaja rintangan yang terpaksa diharungi oleh pasukan
keselamatan kita.
Menurut Pengerusi Persatuan
Bekas Anggota Perisikan Malaysia (BARIS) Negeri Sabah, Syed Kamalrul Sufian
Sekurang-kurangnya ada tiga cabaran utama yang terpaksa kita hadapi sepanjang
tempoh genting ini.
Pertamanya tentangan dari
pengganas Sulu yang mahir dalam peperangan bercorak gerila dan mirip
kelakuannya seperti komunis yang gemar menggunakan pendekatan ganas bermatlamat
untuk menjatuhkan moral dan semangat tempur lawan mereka.
Ini jelas dapat dilihat
selepas dua pertempuran awal yang menyaksikan beberapa anggota keselamatan kita
ada antaranya diseksa dan dizalimi, sementara yang lain ada yang dipenggal
kepalanya.
Keadaan ini amat memilukan
kaum keluarga perajurit yang terkorban dan sedikit mengganggu emosi anggota
keselamatan yang lain, namun pengalaman berdepan dengan kekejaman komunis suatu
ketika dulu mengajar kita erti keteguhan semangat dalam meneruskan perjuangan
yang belum selesai.
Kedua, cabaran yang tidak
kurang hebatnya datang dari media luar negara yang banyak menyiarkan maklumat
propaganda menyebelahi kumpulan pengganas Sulu.
Mereka bukan sahaja cuba
membenarkan tuntutan hak milik ke atas Sabah, malah memanfaatkan media-media
tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk membangkitkan ketakutan di kalangan
rakyat Malaysia khususnya di Sabah.
Lebih mengeruhkan keadaan
apabila ada di kalangan pengamal media elektronik dalam negara yang turut
menjadi penyambung lidah kepada propaganda Jamalul Kiram dan kuncu-kuncunya
sehingga menimbulkan keraguan segelintir khalayak terhadap kemampuan pasukan
keselamatan kita dalam menangani isu ini.
Ketiga, cabaran paling getir
yang perlu dihadapi bila mana wujudnya segelintir rakyat kita yang langsung
tidak memiliki semangat patriotik telah cuba memperlekehkan kesahihan peristiwa
Lahad Datu yang digambarkan oleh mereka ini kononnya ia adalah sandiwara atau
konspirasi yang di ada-adakan.
Selain itu, golongan yang
tidak patriotik ini juga turut meremehkan nyawa anggota keselamatan kita yang
telah terkorban di masa yang sama mereka juga mempersendakan kemampuan pasukan
keselamatan kita untuk berdepan dengan tentangan pengganas Sulu.
Jika boleh mereka seperti
mahu melihat lebih ramai anggota keselamatan kita mati di tangan musuh supaya
bila ia berlaku demikian maka bolehlah dijadikan modal politik untuk menghentam
kerajaan seterusnya menghasut khalayak membenci pimpinan negara kelak. Lagak
mereka seperti agen kepada pengganas Sulu yang melanggar Sabah.
Mungkin hanya bila ada
kenalan atau ahli keluarga rapat mereka yang menjadi mangsa peluru pengganas
Sulu barulah agaknya tika itu golongan tidak patriotik ini akan berhenti dari terus
memperolokkan apa yang berlaku di bumi Sabah. Busuk benar hati golongan ini.
Saya bersyukur, mujurlah
sebahagian besar rakyat Malaysia tetap tinggi semarak patriotiknya sentiasa
mendukung perjuangan para pahlawan kita. Itu satu kebanggaan kerana dengan
adanya sokongan padu rakyat ia mampu menyemarakkan lagi semangat juang anggota
perajurit kita di medan perang.
Mendepani tiga cabaran besar
ini sememangnya menuntut kesabaran dan semangat berkobar-kobar rakyat Malaysia,
doa pengharapan serta dukungan kata-kata semangat perlu diteruskan.
Perkhabaran terbaru
menyatakan Jamalul Kiram III telah pun mengumumkan gencatan senjata sebelah
pihak berkuat kuasa 12.30 tengahari 7 Mac 2013. Ibarat bertepuk sebelah tangan
tidak berbunyi, tawaran tersebut telah pun ditolak oleh Kerajaan Malaysia.
Perkembangan ini menunjukkan
pengganas Sulu di Lahad Datu sedang terdesak selepas di asak teruk dari
pelbagai penjuru, hanya perletakkan senjata mereka tanpa syarat sahaja yang
memungkinkan krisis ini ditamatkan.
Justeru itu teguhkan
keyakinan kita semua dan yakinlah para perajurit kita amat pantang untuk
berundur atau beralah, selagi ada hayat dan selagi darah masih mengalir selagi
itulah perjuangan mendaulatkan bumi bertuah ini mesti diteruskan.
No comments:
Post a Comment