BEKAS Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad melihat keperluan untuk mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja
(RCI) bagi mencari dalang di sebalik insiden pencerobohan di Sabah.
"Kita mempunyai kerajaan
yang terbuka. Kita boleh siasat siapa dalang di sebalik insiden ini. Semua
boleh ditubuhkan," katanya selepas menyampaikan cek sumbangan sebanyak
RM80,000 daripada Perdana Global Peace Foundation (PGPF) kepada Tabung
Kebajikan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
PDRM diwakili Timbalan Ketua
Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Kuala Lumpur hari ini.
Semalam Menteri Dalam Negeri
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan mencadangkan perlunya kertas
putih atau RCI diwujudkan bagi mencari dalang insiden pencerobohan di Sabah.
Hishammuddin juga dilaporkan
berkata siasatan menyeluruh perlu dibuat bagi mengenal pasti motif pencerobohan
itu termasuk kemungkinan ada pihak yang membiayai militan dari selatan Filipina
itu untuk menggugat keamanan dan kedaulatan negara.
Artikel agensi berita
Reuters sebelum ini memetik seorang pegawai tentera Filipina sebagai berkata
penceroboh datang atas jemputan seorang ahli politik pembangkang Malaysia untuk
membincangkan isu tanah.
Akhbar The Manila Times pula
dilaporkan mendakwa pencerobohan itu mempunyai kaitan dengan kempen pembangkang
Malaysia untuk memberi autonomi kepada Sabah jika mereka menang.
Dr Mahathir turut mempersoal
sumber kewangan yang diperoleh penceroboh yang mendakwa mereka mewakili
'Kesultanan Sulu' sedangkan kerajaan Filipina memaklumkan mereka bukan golongan
berada.
"Secara peribadi saya
mahu tahu dari mana mereka mendapat wang sebanyak itu (untuk membeli senjata
dan datang ke Sabah). Rakyat pun hendak tahu.
"Saya tidak fikir dia
(Jamalul Kiram) orang kaya. Semua operasi itu melibatkan wang yang banyak.
"Jika dia betul-betul
bankrap, macam mana dia boleh memiliki wang itu,"katanya.
Terdahulu dalam ucapannya,
Dr Mahathir yang juga Presiden PGPF berkata tuntutan penceroboh kononnya Sabah
milik mereka memang tidak berasas kerana Malaysia ialah sebuah negara merdeka
yang telah diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan penduduknya berhak
mempertahankan negara ketika diancam musuh.
"Kita mempertahan
negara kita, kita mempunyai hak yang sah untuk mempertahankannya. Dalam hal ini
kita dapat melihat orang berkorban nyawa dalam mempertahan negara.
"Sebelum ini kita
berdepan dengan pemberontakan, kita menghadapi banyak situasi termasuk cubaan
menggulingkan kerajaan, tapi kini situasinya berbeza," katanya.
Beliau berkata kerajaan
mengiktiraf kewujudkan orang Sulu di Sabah yang telah pun menjadi rakyat
Malaysia sejati dan mereka ini sememangnya menolak idea penceroboh untuk
menakluki Sabah.
"Dia tidak patut cuba
menuntut negara kita, tapi bila dia menggunakan kekerasan, kita tiada pilihan
lagi.
"Orang kita bersedia
untuk mati kerana negara dan saya fikir kita perlu menghantar mesej ini kepada
semua rakyat Malaysia.
Dalam pada itu Khalid ketika
ditemui berkata sumbangan itu diharap dapat membantu meringankan beban lapan
keluarga anggota polis yang terkorban sebelum ini.
"Setiap persatuan telah
bersama-sama dengan kita dalam semua krisis termasuk pencerobohan ini.
"Sumbangan ini akan
menaikkan semangat kita dan kita sanggup melakukan apa sahaja untuk
mengembalikan keamanan di Sabah," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment