Friday 6 August 2010

KERAJAAN TIDAK SEKAT BELIA CAPAI INTERNET




ALBUM......Abdul Raman mengabdikan album kenangan bersama Pegawai JBDS Persekutuan, Ahli Kelab Rakan Muda Parlimen Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai Anak Angkat dan juga penduduk Kampung Labuan pada majlis itu.


Oleh : ISMAIL MOHD ROSLI

GENERASI muda di negeri ini dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan fitnah yang disebar luaskan dari pelbagai sumber yang begitu mudah diperolehi menerusi laman internet, ini kerana ia bertujuan menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan yang menjadi pemerintah di negara ini.

Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan berkata generasi muda perlu berhati-hati dan tidak cepat terpengaruh dengan apa yang dibaca oleh mereka di laman internet.

Menurut Abdul Rahman, terdapat sumber-sumber menerusi laman internet yang melontarkan fitnah dan tohmahan yang tidak berasas kepada para pemimpin serta kerajaan Barisan Nasional.

Katanya, fitnah dan tohmahan itu bukan sahaja bertujuan mengelirukan pemikiran generasi muda malah juga rakyat secara keseluruhan demi kepentingan mereka sendiri.
“Saya minta kepada adik-adik dalam masa kita melayari di laman internet, adik-adik kena berhati-hati, jangan dengar dan cepat percaya segala tomahan serta fitnah yang tertulis di dalam pelbagai sumber yang boleh diperolehi menerusi internet.”

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Dan Penyerahan Balik Anak Angkat Program Rakan Muda Wawasan Desa (RMWD) Komuniti Parlimen 2010 anjuran bersama Jabatan Belia Dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah (JBDS) dengan Persatuan Perisai, Kota Belud yang telah diadakan di Dewan serbaguna Kampung Labuan dekat sini, baru-baru ini.

Jelas Abdul Rahman yang juga Setiausaha Barisan Nasional Sabah, kerajaan yang ada sekarang tidak akan melarang generasi muda untuk mencari maklumat menerusi laman internet namun demikian generasi muda perlu bijak menganalisis setiap maklumat yang dibaca.
“Saya tidak akan mengatakan kepada generasi muda jangan melayari internet, jangan baca blog tetapi di kala kita melayari internet jangan cepat percaya dengan apa yang diperkatakan atau diceritakan dalam blog-blog individu tertentu. Timbang-timbanglah kesahihannya, analisalah maklumat yang diperolehi menerusi internet sebelum membuat keputusan samada menyokong dasar kerajaan atau sebaliknya,“ tambah beliau lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 34 belia yang terdiri daripada Ahli Kelab Rakan Muda Parlimen Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah menjayakan program Anak Angkat yang diadakan selama tiga hari.

Antara objektif program tersebut ialah mewujudkan dan menanam nilai-nilai kepimpinan di kalangan generasi muda intelek terutama di dalam membantu kerajaan mengukuh dan membangunkan jalinan integrasi yang erat di kalangan rakyat masyarakat setempat.

Turut hadir pada majlis itu antaranya Timbalan Pengarah JBDS Persekutuan Persekutuan Sabah, Mohd Yusuf Long; Pegawai Rakan Muda Wilayah Persekutuan Labuan, Yaman Yahya; Penyelaras Rakan Muda Wawasan Desa Komuniti Parlimen, Fatimah Abdul Rahman; Pegawai Belia Dan Sukan Keningau, Sukarnih Sidik; Pegawai Kepimpinan Siasah, Siti Fatimah Mohd Rosli serta para pemimpin setempat yang lain.

No comments:

Post a Comment