Saudara Pengarang,
SAYA berminat untuk memberi komen satu isu terbaru bertajuk ‘Milik siapakah MyKad 810925-12-5209?’ kerana sesiapa sahaja terbaca artikel ini jelas memeranjatkan kerana individu yang terlibat melakukannya bukanlah calang-calang orangnya kerana bergelar ‘Yang Berhormat’.
Tergamak sekali ‘Yang Berhormat’ melakukan perbuatan seperti itu yang boleh disifatkan sebagai ibarat menyimpan sebutir bom jangka di rumah rakyat tempatan yang sedang tidur nyenyak. Lagi pun perbuatan ‘Yang Berhormat’ itu amat bertentangan dengan usaha kerajaan membersihkan PATI dan penggunaan Kad Pengenalan Palsu di negeri Sabah.
Mungkin juga ‘Yang Berhormat’ tidak berminat menyelesaikan masalah PATI dan Kad Pengenalan Palsu di Sabah, kerana terfikir bahawa tanpa PATI gelaran ‘Yang Berhormat’ akan jatuh terburai pada PRU13 kelak. Mungkin juga isu ini sebahagian daripada punca utama mengapa PATI dan Kad Pengenalan Palsu tidak dapat diselesaikan di Sabah?
Peliknya lagi, mengapakah pihak berkuasa mengambil sikap remeh terhadap isu ini yang melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara? Kenapa tidak lucutkan sahaja gelaran ‘Yang Berhormat’ yang diberikan rakyat setelah diundi dan diangkat menaiki takhta Wakil Rakyat pada PRU12 atau secara gentlemen ’Yang Berhormat’ menyerahkan sahaja takhta Wakil Rakyat itu kembali kepada rakyat yang mengundinya pada PRU12 lalu.
Sudah tentu ‘Yang Berhormat’ telah sedar bahawa menyokong atau menyimpan (harbouring) PATI apatah lagi bersekongkol memalsukan kerakyatan orang asing adalah menjadi suatu kesalahan berat dan boleh dilabelkan sebagai pengkhianat negara dan sepatutnya KDN menyumbatkan sahaja spesis ini ke Penjara Kajang atau diasingkan seperti mengasingkan banduan ke Pulau Jerejak suatu ketika dahulu.
Inilah bentuk penjajahan UMNO sejak bertapak di Sabah kira-kira hampir 20 tahun lalu telah banyak menimbulkan karenah yang amat menyakitkan hati rakyat Sabah dari aspek keselamatan, kerakyatan, ekonomi dan mewujudkan pelbagai penyakit sosial.
Rakyat harus sedar dan berfikirlah dari sekarang sama ada mahu meneruskan talian hayat UMNO dan BN di Sabah atau sebaliknya. Rakyat buatlah penentuan pada PRU13!
Salam hormat,
RAKYAT SABAH YANG PRIHATIN
No comments:
Post a Comment