Oleh: ZIELA A
SAH! Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan mesyuarat memilih pemimpin parti bagi Peringkat Cabang dan Majlis Pemimpin Tertinggi pada bulan September dan November 2010 akan datang. Pemilihan pucuk pimpinan di semua peringkat akan berasas kepada Perlembagaan parti yang baru diluluskan dalam Persidangan Agung Tergempar diadakan pada 2010.
Pemilihan yang dirancang diadakan di seluruh negara ini akan menyaksikan buat kali pertama proses pemilihan pucuk pimpinan parti oleh semua ahli parti yang berdaftar. Proses yang julung kali diadakan ini akan merupakan satu cabaran baru kepada Urusetia Parti dalam mengendalikan proses pemilihan pemimpin parti melibatkan ahli parti dari seluruh negara.
Sejak merdeka belum ada parti politik dalam negara pernah melakukan pemilihan pemimpin parti melibatkan semua ahli serentak dari seluruh negara.
Bagaimanapun kredibiliti PKR, yang selama ini mendakwa Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) sebagai berat sebelah; melaksanakan tugas dengan cara tidak adil serta menyoal kejujuran Pengerusi SPR dalam banyak perkara; kini telah mula memperlihatkan bahawa peranan Urusetia PKR juga mengamal proses pemilihan pemimpin parti tidak berasaskan kepada kejujuran. Ramai ahli telah mula menyoal kredibiliti urusetia yang dilihat mengamal proses pemilihan kali ini lebih kurang serupa dengan SPR.
Misalnya, tuduhan bahawa SPR terlibat memindah nama-nama pengundi penyokong kepada parti Pembangkang dari sesuatu kawasan Pilihanraya ke kawasan pilihanraya lain, terbukti ibarat meludah ke langit.
Krew Sabahkini.net mendapat ramai di kalangan ahli PKR menyuarakan tidak puas hati mereka kerana urusetia telah memindah nama mereka dari sebuah cabang ke cabang yang lain tanpa pengetahuan mereka.
“Urusetia pemilihan PKR, sama saja macam SPR, ramai ahli dari sebuah cabang mendapati nama-nama mereka dipindah ke cabang lain tanpa pengetahuan mereka,” sambung ahli berkenaan yang enggan menyatakan namanya.
Siasatan krew Sabahkini.net mendapati, berasaskan senarai nama-nama ahli yang telah dikemaskini, ada ahli, misalnya berdaftar di Cabang Kudat telah dipindah ke cabang lain.
Meninjau perkara ini, Krew Sabahkini.net mendapati kejadian nama ahli parti dari satu cabang di pindah ke cabang lain berlaku di banyak cabang; menyebabkan ada antara ahli yang hendak bertanding di cabang pilihannya, telah dinafikan ‘hak’nya untuk bertanding setelah mendapati namanya tiada dalam senarai cabang PKR berkenaan.
Mengikut peruntukan Perlembagaan PKR yang baru, seseorang calon hanya dibenarkan bertanding dalam cabang di mana ianya berdaftar sebagai ahli sahaja.
Sebagai menyokong rungutan ahli ahli berkenaan Krew Sabahkini.net telah menyenaraikan beberapa nama-nama ahli PKR yang telah ditukar ke cabang lain antaranya Yahya Osman, bekas calon Ahli Parlimen yang menjadi ahli PKR di Cabang Kudat kini di senaraikan sebagai ahli PKR Cabang Ranau.
Manakala Askar Yahya yang menjadi Ketua Cabang Kudat kini disenaraikan sebagai ahli PKR cabang Kota Marudu.
Ekoran terdedahnya insiden nama ahli parti sesuka hati dipindah ke cabang lain tanpa pengetahuan mereka yang terbabit, sebilangan besar pemerhati perkembangan PKR di Sabah beranggapan ianya adalah angkara perbuatan anasir tidak bertanggungjawab yang ingin merosakkan parti dari dalam.
“Di dua pilihanraya (Tahun 2004 dan 2008) PKR telah pun menyaksikan kejayaan pengkhianatan kumpulan ini hingga menyebabkan PKR lemah dan lumpuh akibat perbuatan kumpulan ini,” keluh seorang lagi ahli setia PKR yang juga enggan namanya disebut.
Tambah ahli itu lagi, kemudian setelah berjaya lumpuhkan PKR dari dalam, mereka pula rancang hendak hancurkan parti dengan mencabar pucuk pimpinan parti supaya penuhi tuntutan mereka, jika tidak mereka ramai-ramai keluar PKR dan tubuhkan Parti lain untuk saingi PKR.
Mengikut rekod Sabahkini.net apabila tuntutan kumpulan ini, dikenali di kalangan ahli PKR sebagai ‘Trojan Horse’ dalam PKR tidak dituruti, mereka telah tubuhkan Parti Cinta Sabah (PCS).
Antara pemimpin PKR yang terlibat adalah ketua beberapa cabang yang merupakan penyokong kuat kepada Datuk Dr. Jeffry Kitingan. Mereka termasuk Ahmad Shah, Daniel John dan beberapa orang lain seperti disenaraikan dalam borang penubuhan PCS.
Berikut adalah Jawatankuasa Penaja Parti Cinta Sabah seperti yang dinyatakan dalam Borang Pendaftaran yang diperolehi daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia;
01. Daniel John Jambun (Presiden)
02. Awang Ahmad Sah (Timbalan Presiden)
03. Moses @ Mozes Michael Iking (Setiausaha)
04. Nicholas James Guntobon (Bendahari)
05. Paul Kerangkas (Ketua Penerangan)
06. Slyvester @ Balon Mujim (AJK)
07. Innocent Makajil (AJK)
08. Nasir Samie (AJK)
09. Harry Kajukok (AJK)
10. Rubbin Guribah (AJK)
11. Gosibin Yosundang (AJK)
12. Guandee Kohoi (AJK)
Penubuhan PCS adalah susulan daripada tindakan beberapa ketua Cabang yang menyerah memorandum kepada Presiden Parti mahukan supaya jawatan YB Azmin Ali selaku Pengerusi Badan Perhubungan PKR Sabah diganti dan diberikan kepada Datuk Dr. Jeffry Kitingan.
Sebagai respon pucuk pimpinan PKR menolak cadangan kumpulan ini dengan memilih Thamrin Jaini sebagai pengganti kepada YB Azmin Ali.
Ramai ahli PKR berpendapat, tidak mungkin PKR akan dapat menawan tampuk pemerintahan Negeri Sabah jika kumpulan ‘Trojan Horse’ ini dibiar bermaharajalela.
Namun yang menjadi persoalan, mengapa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikenali dengan ketegasannya di Semenanjung Malaysia, menjadi lemah dan lesu apabila berhadapan dengan kumpulan yang terang-terangan bertindak mengkhianati PKR.
“Sekarang ahli parti sudah mulai menyoal apakah Anwar masih boleh dipercayai lagi?” kata seorang Ketua Cabang yang pernah dikhianati kumpulan ‘Trojan Horse’ itu.
Pada 20 Disember 2009, ketika berucap di Konvensyen PKR Negeri Sabah, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tegas menyatakan dan berjanji akan ambil tindakan terhadap semua ahli parti yang terlibat dengan penubuhan PCS. Sehingga kini janji Anwar belum ditunaikan.
“Dikhabarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan kunjungan singkat ke Sabah pada 28 Ogos 2010 ini, tapi saya rasa tidak perlulah dia datang kalau janjinya mengenakan tindakan terhadap pengkhianat parti masih belum tertunai. Siapa mahu percaya dia lagi,” demikian tambah seorang Ketua Cabang PKR dari Pantai Timur Sabah.
No comments:
Post a Comment