SERAH…..Liew (lapan dari kiri) bergambar bersama-sama warga sekolah berkenaan. Turut kelihatan longgokan komputer yang bakal diageh-agehkan.
Oleh: SHAIMON S JUMADI
TIMBALAN Menteri Di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Sandakan, Datuk Liew Vui Keong menjelaskan rangkaian teknologi maklumat yang telah mengembang dengan pesatnya telah menjadi satu keperluan rakyat terutama kepada mereka yang bergantung kepada informasi terkini, seperti industri, perubatan, saintis dan sebagainya.
“Pada hari ini kita juga dapat mengetahui segala informasi atau berita yang terkini melalui laman web berita, di samping berkomunikasi dengan kawan yang berada di negara luar melalui Facebook, Tweeter, MSN dengan hanya menggunakan sebuah komputer atau Lap Top,” katanya.
Liew menjelaskan demikian semasa berucap di majlis penyampaian komputer kepada 17 buah sekolah bagi kawasan Parlimen Sandakan.
Sesungguhnya tambah Liew, dalam bidang pelajaran, teknologi maklumat yang canggih juga amat diperlukan, khusus untuk meningkatkan kecekapan mengajar dan belajar.
“Misalnya, pengajaran melalui komputer dan projektor dalam kelas pasti akan memudahkan para guru untuk melaksanakan kerja mereka dan dengan penggunaan palbagai software seperti power-point agar mudah difahami murid,” ujarnya lagi.
Kata Liew lagi, sejak Internet diperkenalkan, kerajaan telah komited untuk meningkatkan penggunaan komputer dan internet di kalangan masyarakat kerana kerajaan memahami bahawa matlamat ‘Masyarakat Berpengetahuan’ atau yang disebut ‘Knowledge Society’ hanya dapat direalisasikan, dengan syarat setiap rakyat mampu menggunakan teknologi maklumat.
Dengan adanya sumbangan kemudahan komputer ini, maka peralatan di sekolah-sekolah dapat dilengkap lagi, di samping membolehkan sekolah-sekolah terbabit dapat melangkah ke era aplikasi komputer dan sistematik.
“Sebagai Ahli Parlimen, saya berjanji akan terus membantu sekolah-sekolah di kawasan parlimen Sandakan pada masa yang akan datang,” kata Liew lagi.
Sementara itu, sekolah-sekolah yang turut menerima sumbangan tersebut antaranya ialah SJK Yuk Choi, SKSung Siew, SK Saint Monica, SK Rimba, SK Mawar, SK Sungei Anib 1, SK Sungei Anib 2, SRJK Chi Wah, SK Tanjung Papat 1, SK Tanjung Papat 2, SK St Mary Labuk, SK St Mary Bandar, SK St Mary Convent, SK Muhbbah, SK Bandar, SK Cheng Ming, SMJK Tiong Hua dan SM Yun Yuan.
No comments:
Post a Comment